Semalam kami dijemput oleh Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) untuk menghadiri peluncuran sebuah buku tentang Rukunegara. Boleh tahan gak lah acara tu, ia dihadiri oleh ramai wakil media, ahli akademik dan rakan-rakan dari keluarga besar Allianz Malaysia. Sebagai orang suka baca buku (tapi muka tak nerd mana), kami memang suka diundang ke acara yang macam ni. Lagi-lagi kalau ada makan free, memang kami akan datang.
Kerjasama untuk rakamkan semula sejarah ni dilakukan oleh PUSAKA dan Allianz Malaysia
Acara ni dianjurkan oleh PUSAKA dan Allianz Malaysia sempena ulang tahun ke-50 pengisytiharan Rukunegara. Naskah ni merupakan naskah pertama daripada penerbitan bersiri Projek Bina Bangsa, Rukunegara: Selayang Pandang.
Untuk pengetahuan korang, Pusaka merupakan sebuah pertubuhan kebudayaan yang bermatlamat untuk mewujudkan sebuah arkib ilmu mengenai budaya, sejarah dan gagasan. Melalui penganjuran projek penurunan ilmu tempatan dan pendidikan masyarakat, PUSAKA memperkasa komuniti setempat untuk menggali pemahaman yang lebih dalam mengenai rumpun diri serta masyrakat.
Naskah ni ditulis oleh Eddin Khoo, seorang penulis, penyelidik budaya dan anak kepada sejarawan negara, iaitu mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Khoo Kay Kim. Bagi yang tak tahu, Dr. Khoo Kay Kim merupakan salah seorang daripada perangka Rukunegara. Naskah ini memberikan kita maklumat tentang sejarah yang membawa kepada pengisytiharan prinsip kebangsaan ni.
Selain daripada pelancaran Rukunegara: Selayang Pandang, majlis memperlihatkan video berkenaan Projek Bina Bangsa, sesi bacaan petikan buku oleh Eddin Khoo, dan bicara dua hala di antara Eddin Khoo dan Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir. Diorang sembang pasal renungan ke atas sejarah Malaysia dan semangatnya terhadap masyarakat sezaman.
“Ingatan bersama yang hampir tiada adalah salah satu keparahan terbesar yang dialami negara ini. Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita semua ini dijalin kebersamaan dalam kelompok masyarakat sebelum kita wujud sebagai sebuah negara. Maka, prinsip-prinsip dalam Rukunegara perlu menjadi suatu saluran untuk kita berpakat menyuburkan ingatan bersama melangkaui catatan dalam nota sejarah,” – Eddin Khoo
Menurut Zakri pula, badan-badan korporat seperti Allianz Malaysia harus memainkan peranan aktif untuk memupuk kepelbagaian, perpaduan dan semangat kekitaan melalui setiap daya usaha yang dijalankan. Kami begitu bangga menjadi sebahagian daripada ikhtiar dan cita-cita Projek Bina Bangsa dalam memupuk keharmonian masyarakat melalui cabang pendidikan.
Selain tu, Projek Bina Bangsa berhasrat untuk menyuntik kedalaman intelektual dan pemahaman sejarah dalam memupuk suatu kesedaran menjadi rakyat Malaysia. Hasrat ini cuba dicapai melalui penerbitan 10 naskah buku yang secara khusus untuk meneroka asas-asas pembentukan bangsa Malaysia. Projek Bina Bangsa bakal sediakan bahan penting untuk pendidikan masyarakat dan perbincangan yang lebih luas tentang sejarah Malaysia, baik hari ini ataupun masa hadapan.
Di antara judul lain daripada siri penerbitan ni termasuklah Kesatuan Malaya, Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Pembentukan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan dan Kongres Kebudayaan Kebangsaan, Undang-Undang Melaka, Perjanjian Pangkor, Undang-Undang Tanah Rezab Melayu, Dasar Ekonomi Baru, dan Wawasan 2020.
Usaha ni bakal libatkan golongan belia, pelajar, kumpulan-kumpulan masyarakat sivil, media, wakil-wakil masyarakat dan masyarakat Malaysia lain melalui penganjuran bengkel, wacana dan perkongsian renungan terhadap sejarah Malaysia dan kebersamaan hidup sebagai rakyat.
Usaha seperti ini seharusnya disokong, fakta sejarah yang benar harus diketahui oleh rakyat Malaysia
Melihat keadaan yang sedang berlaku dalam negara kita, usaha seperti ini patut diberikan pujian. Pertama sekali, hal penting yang kami boleh sebutkan dari projek ini adalah – pengarkiban. Kerja-kerja nak arkibkan sejarah ni bukan sesuatu yang mudah, sebabnya ia memerlukan penelitian dan keadilan dalam mengarkibkan sesuatu.
Korang kena ingat, sejarah ni adalah sesuatu yang ditulis. Untuk memastikan sejarah tu “asli”, penulis sejarah yang berkaliber dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan perlu bekerja keras untuk melakukan penulisan. Kami lihat, benda ni merupakan salah satu objektif yang ingin dicapai oleh Allianz Malaysia.
Eddin Khoo yang merupakan anak sejarawan tersohor negara, adalah orang yang tepat untuk melakukan hal ini. Melalui pembentangan yang dia lakukan pada program ini, kami dapat lihat dia bekerja keras untuk menghasilkan karya ni. Penting untuk generasi yang pada hari ini membaca, dan memahami sejarah yang pernah berlaku di negara kita. Sejarah-sejarah yang bakal dikumpulkan dalam projek ini merupakan sesuatu yang membentuk Malaysia sehingga ke hari ini.
Jadi, ayuh rakyat Malaysia! Mari kita meneliti sejarah negara yang ditulis dengan fakta dan kajian yang rapi. Biar kita tanamkan sejarah ini di dalam diri kita, supaya kita menjadi rakyat Malaysia yang tahu sejarah negara. Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan Rukunegara: Selayang Pandang, ia boleh didapati melalui pesanan dalam talian di [email protected] bermula 14 September, dan bakal berada di kedai-kedai buku utama pada hujung September.