Sejak akhir-akhir ni macam-macam berita yang ada kat media sosial. Ada yang tengah rebut player bola, ada yang confident menang pilihan raya dan ada tengah gaduh pasal Akta Hasutan. Hari ni kami nak kongsi cerita yang patutnya lebih sensasi, tapi tak ramai orang ambil tahu atau sensasikan cerita ni. Penatlah asyik cerita politik memanjang, baik kita baca cerita-cerita yang boleh menyenangkan hati.
Sebelum tu kami nak tanya – masa kalian sekolah rendah dulu ada ambil kelas KAFA tak? Kalau ambil berapa keputusan? Bagi yang takda ambil, subjek Pendidikan Agama Islam selalu dapat keputusan apa? Percaya tak kalau kami kata (baca slow-slow eh); ada seorang pelajar perempuan yang beragama Buddha dapat keputusan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).
Bukan Islam. Cina. Buddha. UPKK. 8A.
Jap, UPKK ni binatang apa sebenarnya?
Jangan risau, anda tak berseorangan. Ramai ja sebenarnya orang tak tahu apakebenda UPKK ni, UPSR tahulah sebab semua orang kena ambil.
UPKK ni sebenarnya peperiksaan bersijil yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Peperiksaan ni dijalankan ke atas semua pelajar darjah 5 di sekolah KAFA seluruh Malaysia berdasarkan kehendak dan syarat-syaratnya.
Sijil ni diperakui di seluruh Malaysia sebagai salah satu dokumen sokongan untuk permohonan pelajar masuk ke tingkatan satu Sekolah Menengah Agama di seluruh Malaysia terutamanya sekolah dibawah pentadbiran Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sukatan pelajaran yang diambil kira dalam UPKK bermula dari pelajaran darjah 1 sehingga 5. So kiranya kena ambil UPKK ni setahun sebelum UPSR.
Walaupun bukan Islam, adik-beradik beragama Buddha ni cemerlang dalam UPKK
Berbalik kepada cerita asal – seorang pelajar berbangsa Cina, Por Hui Ling, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jiring dapat keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK). Dia dapat keputusan semua A dalam mata pelajaran Ulum Syariah, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Penghayatan Cara Hidup Islam , Adab, Amali Solat, Sirah dan Al-Quran. Power berhabis!
Apa yang lebih menarik, sebelum ni abang dia pun pernah ambil UPKK. Keputusan abang dia pun boleh tahan jugak. Nama abang dia; Por Jie Hua, dia dapat 5A 3B dalam peperiksaan sama tiga tahun lalu. Kalian pernah fikir tak macam manalah agaknya kalau pelajar Islam ambil peperiksaan tentang agama lain? Agaknya boleh tandingi keputusan mereka ni?
Eh jap. Macam susah ja – sebab kebanyakan orang kita ni nampak tanda salib pun takut, rasa nak terbakar. Apa lagi nak jawab exam, terpaksa bawa Yassinlah nampaknya.
Pada awalnya dia keberatan, bila dah yakin siap ajar adik umur 6 tahun baca jawi lagi
Awal-awal tu dia berdepan dengan banyak kesukaran, tapi dengan usaha gigih, tunjuk ajar serta bantuan guru serta rakan lain, Hua Ling berjaya menguasai kemahiran membaca dan menulis Jawi dengan baik dan lancar. Kalian pandai tak tulis jawi?
“Pada mulanya saya agak keberatan untuk mengikuti kelas KAFA tetapi ibu bapa dan abang selalu memberi galakan kerana jika pelajar Melayu boleh mempelajari Bahasa Cina dengan baik kenapa pula kami tidak boleh. Saya juga selalu mengajar adik bongsu (lelaki), Por Jing Yi, 6, menulis Jawi di rumah dan nampaknya dia juga berminat untuk sertai kelas KAFA dua tahun lagi kerana sekarang ini dia masih di pra-sekolah,” katanya yang juga boleh membaca Al-Quran,” – Hua Ling
Apa yang lebih menarik, ibu bapa budak ni – Por Kim Sin, 62, dan Yeap Bee Fai, 43, pula tak pernah anggap perbezaan agama sebagai halangan untuk seseorang itu mempelajari mengenai agama lain.
https://www.youtube.com/watch?v=GRKU-eBhpZM
“Mula-mula sahaja nampak susah tetapi selepas setahun saya dah boleh mahir menulis dan membaca Jawi dan Al-Quran sedikit-sedikit,” – Hua Ling
So kami harap daripada cerita ni kalian dapatlah ambil pengajaran sikit-sikit. Lebih-lebih lagi bila ramai yang tengah berbalah sebab isu bangsa dan rasisme. Tengok keluarga budak ni, tak prejudis langsung dengan Islam, mereka siap hantar anak-anak mereka untuk belajar tentang. Apabila kita belajar tentang budaya orang lain, sedikit sebanyak ia akan buang sikap prejudis kita terhadap mereka.