Memandangkan artikel ini mendapat sambutan ramai akibat isu Rohingya di Malaysia, artikel ini diterbitkan semula pada 29 April 2020. Tarikh asal artikel ini diterbitkan adalah 23 Julai 2019.
Sejak sekian lama, Ashin Wirathu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Buddhist bin Laden’, telah dikecam oleh banyak pihak, kerana sering menyebarkan kebencian terhadap umat Islam yang tak berdosa, khususnya golongan minoriti Rohingya.
Baru-baru ni, polis Myanmar telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Wirathu, seorang pengganas yang menyalahgunakan label agama sebagai asas perjuangannya, kerana melontarkan tohmahan kepada Aung San Suu Kyi. Wirathu dianggap sebagai pemimpin spiritual kepada 969 buah gerakan pelampau dan ketua kepada Ma Ba Tha, sebuah organisasi yang mendakwa membela agama Buddha dan bangsa Myanmar.
Pencetus keganasan agama di Myanmar, waran tangkap dah dikeluarkan
Wirathu telah dituduh sejak sekian lama sebagai pencetus keganasan agama ke atas umat Islam kat Myanmar, khususnya Rohingya, menerusi siri ucapan serta ceramah kebencian berbentuk Islamophobia. Sami yang jadi ketua kepada gerakan nasionalis radikal kat Myanmar tu, menyokong keganasan yang dilakukan oleh pihak tentera rejim ke atas orang Rohingya pada Ogos 1917 di Rakhine. PBB telah mengklasifikasikan tindakan tu sebagai pembersihan etnik menerusi pembunuhan besar-besaran yang dilakukan dengan niat.
Pihak polis Myanmar mengesahkan bahawa satu waran tangkap telah dikeluarkan untuk menahan Wirathu di bawah Perkara 124 (a) kanun undang-undang. Ia merangkumi ucapan menghasut, yang didefinisikan sebagai cubaan untuk mendatangkan kebencian atau penghinaan, atau mendatangkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan. Hukuman ini membawa kepada 20 tahun penjara atau denda.
Sami ultra-nasionalis tu dengan bongkak mengatakan tak takut dan akan menanti penahanannya selepas waran dikeluarkan. Ketika waran tu dikeluarkan, dia berada di Yangon untuk menghadapi Majlis Sagha Kawasan Yangon, yang memanggilnya untuk memberikan amaran, agar tidak terlibat dengan urusan-urusan ‘sekular’.
Wirathu percaya bahawa kerajaan Myanmar adalah kerajaan demokratik yang tak akan menahannya untuk tempoh yang lama. Mahkamah daerah kat Yangon mengeluarkan waran tangkap ke atasnya kerana cuba menyebarkan kebencian terhadap pihak kerajaan. Menteri Hal Ehwal Agama Myanmar sebelum ini turut menyatakan bahawa Wirathu akan didakwa kerana mengeluarkan komen serta kata-kata yang berniat buruk terhadap Suu Kyi.
Punca Tragedi 2012 dan 2013, menyebabkan ramai terkorban
Dia yang berpengkalan kat Kuil Ma Soe Yein di Mandalay, mula menjadi perhatian selepas 2012, apabila berlaku tragedi berdarah antara penganut agama Buddha dan Islam di Rakhine. Akibat daripada keganasan agama tu, Myanmar menyaksikan kebangkitan para nasionalis, khususnya yang anti dengan agama Islam. Dia juga menentang sebarang usaha yang dilakukan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menyiasat jenayah ke atas orang Rohingya di Rakhine. Dengan angkuh, dia berjanji akan memikul senjata bersama para pengikutnya, jika delegasi ICC datang ke sana.
Ucapan kebenciannya pada 2012 itu, menyebabkan rusuhan berlaku di Meiktila, sebuah bandar di tengah Myanmar, menyebabkan sebuah masjid musnah dibakar dan ratusan yang lain terkorban.
“Saya seperti anjing, yang memberi amaran kepada tuan rumah jika ada orang asing menceroboh rumah. Anggaplah saya seperti anjing itu,” katanya tanpa berfikir panjang, dalam satu temubual.
Pada 2013, belaku rusuhan Mandalay – ramai sami dilihat menyimpan pisau serta parang di bawah jubah mereka, kebanyakan daripada mereka memakai seluar jeans denim.
Wirathu yang mengepalai pergerakannya, pernah menyatakan bahawa lebih baik wanita Buddha mengahwini sami dan anjing berbanding umat Islam. Dia juga menggalakkan orang Buddha memboikot perniagaan orang Islam. Dengan alasan bahawa agama Buddha sedang diancam, dia sering meniup sentimen agar penganut Buddha membenci orang Islam. Hanya 5% daripada 54 juta rakyat Myanmar merupakan orang Islam, tapi Wirathu dan pengganas lain di sana mendakwa agama Buddha sedang terancam.
Selepas National League for Democracy (NLD) menang dalam pilihan raya pada 2016, dia dan ramai nasionalis lain mengadakan kempen menyokong tentera rejim di seluruh Myanmar. Mereka menentang usaha meminda perlembagaan oleh NLD yang disokong oleh majoriti rakyat, yang percaya bahawa perlembagaan yang dibuat oleh rejim adalah tak sesuai dengan reformasi yang ingin dibuat kat negara tu.
Wirathu mengatakan bahawa ahli Parlimen yang dilantik oleh tentera ‘perlu disembah’. Hal ni kerana dakwanya, kerajaan Myanmar lebih mengutamakan hak asasi manusia berbanding agama Buddha. Dalam satu demonstrasi di selatan Myanmar, dia memperlekeh Suu Kyi dengan kata-kata yang kesat. Baru-baru ni, pihak berkuasa Thai di Phuket telah melarang Wirathu daripada menyampaikan ucapan di sana, kerana khuatir akan berlaku kekecohan.
Pernah dipenjara, tetapi dibebaskan sebelum waktunya
Pada 2003, Wirathu dijatuhkan hukuman 25 tahun penjara kerana ucapan anti-Islamnya, tetapi dibebaskan 9 tahun kemudian. Dia percaya bahawa gerakan pelampaunya akan terus berkembang. Dengan menggunakan analogi nyamuk, dia pernah mengatakan bahawa seseorang penganut Buddha mesti mengasihi nyamuk, kerana jika membunuhnya, keluarga nyamuk itu tidak akan dapat bekalan makanan.
Malangnya, nyawa umat Islam Rohingya pada dia lebih rendah nilainya daripada nyamuk. Meskipun ajaran sebenar Buddha menolak keganasan dan menggalakkan perdamaian, Wirathu menyatakan bahawa dia berbangga digelar penganut Buddha yang radikal. Dalam satu ceramah pada 2013, dia mengatakan bahawa ‘kami boleh menjadi orang yang penuh dengan kasih dan sayang, tetapi kami tidak boleh tidur di sebelah anjing yang gila’, merujuk kepada umat Islam di Myanmar.
Wirathu mengatakan bahawa orang Rohingya adalah pendatang asing tanpa izin, meskipun sejarah mengatakan sebaliknya. Umat Islam Rohingya telah bertapak ratusan tahun lamanya di Rakhine, sehingga mempunyai kesultanan serta mata wang sendiri. Dia malah menggelar mereka orang ‘Benggali’ dan ‘Bangladesh’, meskipun orang Rohingya mempunyai etnik mereka sendiri.
Wirathu juga mendakwa kisah Rohingya adalah palsu, dan kem-kem pelarian yang ada di sempadan Bangladesh dan Myanmar adalah penipuan, kerana ‘terdapat banyak makanan yang dijual dan dicuri oleh orang Rohingya’. Dia juga menafikan wanita Rohingya diperkosa oleh tentera rejim, kerana ‘tubuh mereka terlalu menjijikkan’.
Jauh sebelum isu hasutan ni berlaku, Wirathu terkenal dengan retorik anti-Islamnya. Pada 2017, dia dilarang daripada berceramah selama setahun kerana sering menghina serta mengeji umat Islam. Dia juga disekat oleh Facebook kerana hantaran-hantaran anti-Islamnya. Namun, sehingga ke hari ini, masih tiada laporan berkenaan penangkapannya. Terdapat pihak yang menuntut Suu Kyi memulangkan Hadiah Nobelnya, kerana gagal menangani krisis kemanusiaan dan pelarian di Rakhine.
Dia juga gagal menepati janjinya sendiri, untuk memperjuangkan hak asasi mereka yang tertindas. Tatkala umat Islam Rohingya terus dibelenggu kezaliman serta penindasan sejak berdekad lamanya, Kerajaan Myanmar masih tidak serius menyelesaikan kemelut yang berpunca daripada para pengganas yang menggunakan label agama. Semoga ada jalan keluar yang baik, buat saudara kita di sana. Doa mengiringi perjuangan.