Mohon waspada jaminan naik haji guna visa furada, rupanya tak sah sejak 2019

haji f1

Tak lama lagi, kita di Malaysia bakal sambut Hari Raya Aidiladha sempena haji pada tahun ni. Sementara tu, jemaah haji kita kini sedang beribadat mengerjakan haji di tanah suci. Kali ni kita bertuah sebab Kerajaan Arab Saudi sudi beri penempatan baharu dan khemah yang berdekatan dengan masjid di Mina. Siap berikan laluan khas untuk jemaah haji kita di sana.

Walau bagaimanapun, ada jugak pihak nak ambil kesempatan apabila diorang tawarkan visa haji di luar kuota yang ditawarkan oleh Lembaga Tabung Haji. Ini pesan Menteri Agama tentang isu visa furada…

Haji Kaabah 1
Via Oh Media

Jemaah Malaysia tinggal di tapak baharu dengan kemudahan yang baik, empat lapangan terbang untuk kita

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman kata tahun ni, kerajaan Arab Saudi sudi berikan penempatan baharu dan kawasan khemah yang dekat dengan masjid ketika di Mina nanti.

Kelebihan ni boleh dimanfaatkan jemaah haji kerana diorang boleh solat di masjid dan menggunakan kemudahan baharu yang tengah disiapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Katanya:

“Tahun ini semua tapak di Arafah, Muzdalifah dan Mina adalah tapak baharu. Walau bagaimanapun kemudahan dan kedudukannya masih lagi dalam suasana yang baik dan memberi kelebihan kepada jemaah haji Malaysia.

Terutama kita lihat perkhemahan di Mina adalah berdekatan dengan Masjid Kuwait yang merupakan salah satu masjid di Mina. Sudah tentunya kemudahan itu dapat dinikmati jemaah haji Malaysia…mereka boleh ke masjid untuk solat dan gunakan kemudahan masjid itu,”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian

malaysia haji
Via Utusan Digital

Persiapan fasiliti di Arafah, Muzdalifah dan Mina untuk ibadah wukuf kini pada tahap 50-60%. Kerja-kerja penyediaan fasiliti tu dilihat berjalan ikut jadual dan akan disiapkan menjelang tibanya hari wukuf dengan pemantauan dari pihak muassasah dan Lembaga Tabung Haji (TH).

“Persiapan untuk Arafah mencapai tahap hampir 50 peratus dan Mina 60 peratus. Ini mengambil kira, ada lagi 10 hari jemaah haji akan tiba.Tahun ini makanan untuk di Arafah dan Mina berjumlah 16 sajian, iaitu lima sajian akan guna konsep sedia dimakan,”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian

mina haji
Via Suara Kutim

Difahamkan jugak, sebanyak 75 khemah pelbagai saiz disediakan di Arafah manakala lebih 600 khemah akan disediakan di Mina. Selain tu, pelbagai perkhidmatan lain telahpun dinaiktaraf oleh pihak kerajaan Arab Saudi seperti sistem pengangkutan dan pelaksanaan prosedur kesihatan awam bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Bukan tu je, dari awal lagi prosedur operasi diorang jugak turut mengutamakan jemaah haji dari Malaysia. Inisiatif ni akan mudahkan proses kemasukan bakal jemaah haji Malaysia dengan lebih pantas. Syed Saleh menjelaskan;

“Pasukan Imigresen dan Kastam Arab Saudi akan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memeriksa pasport jemaah haji, jadi apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah mereka tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam.

Jemaah haji akan terus menaiki bas ke hotel masing-masing sama ada di Madinah atau di Makkah, manakala beg mereka akan diuruskan pihak agensi dari Arab Saudi untuk dihantar ke hotel. Proses ini bukan sahaja tidak mengambil masa lama, malah memberi kemudahan yang sangat baik kepada bakal haji,”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian

bas haji
Via Al-Arabiya

Menteri Agama nasihatkan isu visa furada, sebenarnya Arab Saudi belum keluarkan visa tersebut sejak 2019

Sejak 31 Mei lalu, beberapa rombongan jemaah haji kita dahpun selamat terbang ke sana. 2 Julai ni merupakan rombongan terakhir yang akan dilepaskan untuk mengerjakan haji tahun ni. Memandangkan kuota yang disediakan oleh Lembaga Tabung Haji ni selalunya terhad, kadangkala ada jugak yang nak datang sendiri ataupun lebih suka nak pilih pakej kemudahan tersendiri.

Salah satu cara lain untuk masuk ke Arab Saudi atas niat nak kerjakan haji ni adalah visa furada. Visa furada ni adalah visa yang diuruskan sendiri dan dikatakan dikeluarkan oleh pihak Arab Saudi tanpa ikut jumlah kuota dari TH. Sebenarnya, visa furada dah tak dikeluarkan lagi kepada jemaah haji sejak 2019.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham kata tahun ni Arab Saudi tak keluarkan visa tersebut kecuali atas syarat tertentu, kepada individu tertentu je.

“Visa furada adalah visa jemputan, di mana ia berdasarkan budi bicara duta Arab Saudi untuk diberikan kepada sesiapa yang dijemput duta sendiri, namun visa furada bukanlah diberi khas kepada syarikat komersial tetapi bergantung kepada keadaan.

Selalunya, visa ini adalah atas budi bicara duta Arab Saudi untuk diberikan kepada individu tertentu seperti ketua kerajaan atau mana-mana badan atau institusi yang dikenali oleh kedutaan Arab Saudi. Bilangan visa yang diluluskan juga terletak kepada budi bicara duta Arab Saudi sendiri,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

Visa furada ni memang wujud dan popular khususnya untuk golongan yang nak tunaikan haji dalam kadar segera tanpa perlu tunggu giliran kuota haji. Malangnya, ada sesetengah pihak menyalahgunakan konsep visa furada ni kepada golongan tersebut. Malahan, ada sesetengah orang yang nak ambil visa furada ni kumpul duit hasil dari jual tanah atau duit pencen.

Perkara ni tak hanya berlaku di Malaysia je. Kat luar negara, banyak je agensi yang tak sah menawarkan pakej haji dengan menggunakan visa furada. Ramai terpedaya dengan skim dan iklan terbabit, jadi hal tersebut sememangnya menjadi duri dalam daging untuk isu jemaah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad nasihatkan agar berhati-hatilah dan teliti sebaik mungkin sebelum gunkaan khidmat mana-mana pihak yang tawarkan visa furada untuk musim haji.

“Visa furada adalah visa yang tidak berkaitan dengan Tabung Haji (TH). Kita harapkan biar ‘verify’ (sahkan) elok-elok. Kita tak mahu nanti apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, bebannya nanti diletakkan pada TH.

Sebab itu kita harapkan supaya apa sekalipun, pastikan supaya visa itu memang tulen dan ada penerbangan dan penginapan di sana. Itu yang kita harapkan kepada mereka kalau ditawarkan dengan visa furada ini,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Menerusi tinjauan Bernama di media sosial, diorang mendapati promosi berkaitan visa furada ni rancak dilakukan oleh pihak bertanggungjawab. Diorang janji kalau ambil pakej dengan diorang, bakal jemaah haji boleh berlepas pada 5 Julai. Promosi tu agak meragukan sebab Arab Saudi dah tetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai. Nak terbang lebih lewat, takut tak sempat untuk hari wukuf.

Pakej yang ditawarkan bermula dari RM38,000 hingga mencecah RM56,000. Bayaran pendahuluan RM15,000 diperlukan atas tujuan urusan visa di Kedutaan Arab Saudi. Walaupun dah bayar beribu-ribu sebagai deposit, peluang ke Tanah Suci hanyalah 50-50. Kalau gagal, wang akan dikembalikan… namun tak pasti bila. Dikhuatiri sejurus dibayar, wang tersebut hangus begitu je.

scam haji
Guna cabutan bertuah, menang naik haji?.. -Via Facebook

Skim penipuan pakej haji dan umrah memang dah berleluasa sejak dulu lagi, terutamanya dengan tumbuhnya pelbagai agensi pelancongan yang tak diiktiraf. Korang boleh semak agensi pelancongan yang diiktiraf untuk musim haji tahun ni kat sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.