Ulama Indonesia nak haramkan perkataan KAFIR?! Apa yang terjadi?

Ulama Indonesia nak haramkan perkataan KAFIR?! Apa yang terjadi?

Minggu ini, gempar apabila pertubuhan Islam terbesar Indonesia menggesa umat Islam negara itu tidak menggunakan perkataan kafir sebagai merujuk kepada penduduk bukan Islam. Persidangan Ulama Nasional dan Persidangan Agung Nahdlatul Ulama (NU) mencadangkan agar warga Indonesia yang bukan Islam tidak lagi dipanggil kafir, kerana ia dianggap mengandungi unsur-unsur keganasan teologi.

“Oleh itu, mereka menganjurkan agar tidak digunakan perkataan ‘kafir’ tetapi menggunakan istilah ‘muwathinun’ atau warganegara, oleh itu status mereka adalah sama dengan warganegara lain,” jelas salah seorang pimpinan NU, Abdul Moqsith Ghazali, pada forum Bahtsul Masail pada mesyuarat kebangsaan ulama NU di Banjar.

Via BeritaSatu

Memberi label ‘kafir’ adalah tindak yang tidak bijaksana

Moqsith berkata, cadangan mengharamkan menyebutkan warga Indonesia bukan Islam sebagai kafir tidak menghapus istilah itu dalam Al-Quran atau hadith, sebaliknya ia sikap teologis NU mengenai isu itu ketika ini. “Memberi label kafir kepada warga Indonesia yang turut serta dalam merancang reka bentuk negara Indonesia tidak cukup bijaksana,” katanya. Walau bagaimanapun, Moqsith memaklumkan isu melarang menyebut orang kafir tidak semestinya termasuk dalam cadangan yang akan diberikan kepada kerajaan.

Sementara itu Forum Umat Islam (FUI) Indonesia enggan bersepakat dengan Musyawarah Nasional Alim Ulama dan Persidangan Nahdlatul Ulama (NU) atas isu ini, kerana ia dianggap menyalahi ketentuan agama dan bersifat politik. Melabelkan individu atau kumpulan lain sebagai kafir menjadi isu sejak beberapa tahun ini, dengan beberapa pertubuhan Islam menggunakannya untuk mengecam kumpulan yang dianggap sesat seperti pengikut Syiah dan Ahmadiyah.

Hang Kafir! Via Tanwir

Konsep warganegara adalah satu konsep penting dalam dunia hari ini. Sejelasnya, penggunaan istilah ‘muwathinun’ atau warganegara ini telah dibahaskan oleh banyak tokoh sedari dulu. Malahan, dalam Sahifah Madinah, perlembagaan Islami terawal, dicatatkan secara jelas bahawa ‘lahum ma lana, wa ‘alayhim ma ‘alayna’ (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan memikul tanggungjawab yang sama kita pikul).

Syeikh Qaradhawi menyarankan kita menyebut non-muslim, bukan kafir

Demikianlah petunjuk nabawi dalam pembentukan negara berbilang kaum sebagaimana yang didokumentasikan dalam piagam tersebut. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Dr. Rashid Gannouchi dan juga Fahmiy Huwaidiy ada menyatakan bahawa istilah kafir dzimmi dan harbi sebagai tidak relevan pada masa kini, dan menggalakkan istilah muwatinun sebagai alternatif.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Via MyEdios

Syeikh Qaradhawi dalam kitabnya konsisten menganjurkan kita untuk memanggil orang-orang yang berbeza agama dengan panggilan ‘Non-Muslim’ (Bukan Islam – Ghair al-Muslimin)’ dan bukannya kafir. Syeikh Dr. Taha Jabir al-lwani (Iraq), Munir Shafiq (Jordan), Syeikh Faisal Mawlawi (Lubnan) dan Syeikh Jaafar Idris (Sudan) turut membahaskan tajuk ini dengan memberikan pandangan yang serupa.

Kitab Turath (Kitab Kuning) turut menyentuh isu ini di mana dalam Juz 5 Kitab Al-Bahrur Raiq dinyatakan, “Dalam kitab Al-Qunyah daripada Bab Al-Istihlal dan Raddul Madhalim terdapat keterangan: “Andaikan seseorang berkata kepada Yahudi atau Majusi: ‘Hai Kafir’, maka ia berdosa jika ucapan itu berat baginya (menyinggungnya). Akibatnya, pelakunya seharusnya ditakzir karena melakukan tindakan yang membuatnya berdosa.”

Kepentingan untuk meneliti Amman Message yang disepakati ramai ulamak

Penting juga untuk kita sama-sama menekuni muafakat Amman Message atau Risalah Amman dari sisi positif. Ia adalah sebuah deklarasi yang diterbitkan pada 9hb November 2004 oleh Raja Abdullah II bin Al-Hussein dari Jordan yang menyerukan toleransi dan penyatuan umat Islam. Lebih 200 ulama’ dari lebih 50 buah negara yang mengangkat permasalahan yang merangkumi isu takfiri serta definisi seorang Muslim.

Sementelah, ada juga yang menganjurkan semua pihak untuk tidak terlalu membahaskan berkenaan penggunaan istilah ‘kafir harbi’, ‘kafir dzimmi’ dan ‘muwathinun’, sebaliknya memfokuskan kepada perlaksaan dasar, tindakan, kefahaman serta pemahaman yang jelas berkenaan sejarah pembentukan sesebuah negara, selain penerapan nilai hormat-menghormati serta kecintaan kepada negara.

‘Peaceful co-existence’atau kehidupan bersama dalam sebuah negara yang aman tidak hanya dengan nilai-nilai moral asas, tetapi juga merangkumi nilai-nilai kewarganegaraan yang lain. Penekanan diberikan kepada mengelakkan penindasan serta mengutamakan prinsip keadilan: warganegara yang susah dibantu tanpa mengira kaum dan agamanya. Akhirnya nanti, ia akan menyuburkan persaudaraan setanah air dan seterusnya persaudaraan kemanusiaan (ukhuwwah insaniyyah).

Jangan suka-suka hati je panggil orang kafir

Kesimpulannya, sebagai orang Mukmin, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh orang Islam lain sebagai fasiq atau kafir. Sabda Nabi SAW:

“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun, dalam konteks gelaran kepada warganegara bukan Islam, masih terdapat beberapa perbahasan mendalam serta rujukan kepada pakar yang boleh dilakukan bagi mendalami isu ini, tanpa menafikan sumber dalil dari Al-Quran dan Hadith. Hal ini demikian kerana ia membabitkan sensitiviti tertentu yang memerlukan pemahaman yang mendalam dan tuntas. Maka, persoalan yang dilontarkan adalah, adakah kita sudah bersedia? Semoga Allah SWT memelihara lidah kita daripada mengucapkan perkataan yang boleh menyakiti saudara kita di luar sana.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top