India dan Pakistan nak berperang? Kami terangkan konflik yang berlaku

Artis Bollywood yang mencipta nama di Amerika Syarikat Priyanka Chopra dikecam gara-gara tweetnya yang menyokong tindakan tentera India dalam ketegangan yang berlaku di sempadan Pakistan. Beliau menulis tweet, “Jai Hind #IndianArmedForces”, selepas Tentera Udara India melakukan siri serangan udara ke atas sempadan Negara jiran itu. Beliau yang juga Duta Muhibbah UNICEF sejak Disember 2016, dikritik oleh netizen kerana sebagai duta keamanan, beliau seharusnya menyebarkan mesej yang harmoni, dan bukan sebaliknya. Tidak sedikit netizen yang mahu perlantikannya di UNICEF itu, dilucutkan.

Priyanka Chopra. Via TMZ

Meskipun sebenarnya ada ramai pelakon Bollywood lain mengucapkan tahniah kepada kerajaan India, netizen khususnya dari Pakistan berang memandangkan beliau memegang kedudukan selaku seorang duta keamanan.

India dan Pakistan telah terlibat dengan konflik di Kashmir selama 72 tahun

Serangan oleh India yang berada di bawah pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, ke atas kawasan Balakot di Pakistan, telah mencetuskan satu konflik baru. Sejak 1947, mereka menyatakan bahawa campur tangan asing tidak diperlukan kerana Kashmir adalah ‘isu dalaman’ negara tersebut. Terdahulu, India dan Pakistan telah berperang tiga kali, dua daripadanya berkaitan dengan Kashmir pada tahun 1947 dan 1965.

India dan Pakistan telah terlibat dengan konflik di Kashmir selama 72 tahun, sejak kedua-dua negara itu merdeka. British meninggalkan India pada tahun 1947, membahagikan negara itu menjadi dua: majoriti Hindu membentuk negara India dan umat Islam menubuhkan Pakistan.

Kashmir adalah tanah yang dituntut oleh kedua-dua negara, malah juga oleh China, sehingga hari ini. India kini mendominasi kawasan Jammu dan Kashmir, manakala Pakistan menguasai Azad Kashmir, Gilgit dan Baltistan. China pula mengawal kawasan Aksai Chin. Line of Control sepanjang 700 KM memisahkan wilayah-wilayah tersebut.

Kedudukan Kashmir. Via TETB

Sejarah mencatatkan bahawa hanya India dan Pakistan selaku dua buah negara yang mempunyai kuasa nuklear yang pernah mengebom antara satu sama lain. Melihat kepada ancaman ini, bersama prospek bahawa bom nuklear akan saling digunakan untuk menyerang balas, masyarakat antarabangsa tidak lagi melihat isu Kashmir sebagai isu dalaman India.

Tahun lepas, 570 orang terbunuh kerana krisis ini

Pada 14 Februari 2019, satu konvoi yang melibatkan 2,500 askar India diserang di Pulwama (Kashmir) oleh seorang pengebom bunuh diri, Adil Ahmad Dar, yang merupakan penduduk Kashmir berusia 20 tahun yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pergerakan Jaish-e-Mohammad dari Pakistan. Serangan yang membunuh 40 orang ini menambah luka kepada tragedi Kashmir, yang telah berlarutan sejak 1990.

Kematian yang dicatatkan sejak setahun lalu adalah yang paling tinggi sejak 2009, di mana 570 orang terbunuh. Ada yang menggelar golongan yang menentang tentera India sebagai pengganas dan militant, manakala ada yang melabel mereka sebagai pejuang pembebasan atau mujahidin.

Via Giphy

Pengeboman di Pulwama ini dicatatkan sebagai yang paling dahsyat. Tidak sedikit penduduk yang mendiami Lembah Kashmir seperti Adil Ahmed Dar yang dilahirkan dalam kancah perang, menyaksikan kekejaman serta keganasan, yang akhirnya membawa kepada keinginan untuk membalas dendam.

Serangan yang hampir sama pada 2016 terhadap kem Tentera India di Uri tidak membawa signifikan penting kepada penyelesaian, melainkan telah membawa ilham kepada penerbit filem Bollywood untuk menjadikan ia sebagai inspirasi. Malahan, ada yang menyatakan pula bahawa serangan Balakot diinspirasikan daripada filem ini. Dan kini, ramai pula penerbit filem mahu menerbitkan versi serangan ala Balakot mereka pula.

India dakwa serangan yang berlaku adalah untuk membanteras keganasan

Atas nama ‘membanteras keganasan’, tentera India yang mempunyai hubungan erat dengan Zionis-Israel, telah melakukan serangan udara tersebut, sebelum Pakistan menembak jatuh dua pesawat pejuang India di kawasan genjatan senjata Kashmir.

Salah seorang daripada juruterbang pesawat berkenaan turut ditahan oleh pihak Pakistan. Wing Commander Abhinandan, Tentera India yang ditahan itu didakwa telah menceroboh ruang udara Pakistan, namun tidak dibunuh kerana berada dalam kategori Hors de Combat, memandangkan tidak lagi berupaya untuk menyerang, kerana pesawatnya telah ditembak jatuh dan terhempas.

Kini India telah menutup sekurang-kurangnya empat lapangan terbang di kawasan utara negara itu, termasuk di Pathankot, Leh, Srinagar, Jammu dan Amritsar. Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo dalam reaksinya pula menyokong tindakan India yang disifatkan usaha membanteras keganasan. Ketegangan memuncak ini mendorong netizen global menularkan hashtag #SayNoToWar.

Via HPI

Bukan semua masyarakat bukan Islam di India bersama Modi untuk berperang dengan Pakistan. Penting untuk dinyatakan bahawa Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan Menteri Luar India, Sushma Swaraj cuba untuk tidak menggalakkan perseteruan di medan perang. Cabaran paling utama adalah komunikasi terhad antara kedua-dua buah negara, seperti yang dinyatakan oleh Rahul Roy-Chaudhury dari International Institute for Strategic Studies.

Penulis terkenal India, Arundhati Roy menulis – “Untuk Perdana Menteru negara ini mengarahkan Tentera Udara hebatnya terlibat dalam wayang begini adalah satu penghinaan. Ironisnya, ketika percaturan nuklear yang tak bertanggungjawab dipermainkan di sini, sebuah kuasa besar Amerika Syarikat sedang berunding dengan puak Taliban yang mereka gagal kalahkan atau usir selepas peramg berdepan selama 17 tahun.”

Secara politiknya, adalah sukar untuk India melancarkan perang ke atas Pakistan, mengambil kira isu kestabilan dan keamanan, selain pelaburan ekonomi. Kos peperangan yang menelan berbilion dolar, hanya akan memesongkan mereka daripada idea untuk memajukan negara tersebut bersama jutaan anak muda berpotensi yang ingin menyumbang bakti kepada ekonomi India. Berperang tidak hanya melibatkan siapa yang paling boleh mendabik dada dan hebat berpidato-beretorik, tetapi membabitkan pelbagai perkiraan ancaman serta akibat.

Perperangan sering meragut banyak nyawa manusia yang tak berdosa

Tatkala ada netizen Malaysia yang menyebarkan sokongan kepada Pakistan untuk terus berperang dengan India, mereka sebenarnya terlupa dengan natijah serta impak buruk perang. Malahan, Islam sebenarnya adalah agama kedua terbesar di India, mencakupi 14 % keseluruhan atau 172 juta penganut daripada populasi India.

Jadi sebelum nak komen sokong Pakistan sebab negara Islam, fikirkanlah juga perasaan penganut Islam di India. Tragedi perang bukan hanya sebuah lakon layar filem Bollywood, tapi membabitkan krisis kemanusiaan kepada anak-anak yang tidak berdosa. Semoga kebenaran akan membebaskan kita semua, bukan sahaja dari perang, malah lebih utama; dari kejahilan dan ketaksuban.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *