Ada orang nak rosakkan perpaduan kaum? Ini pesanan Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah 140818 Tmiseth 01 Full
Ada orang nak rosakkan perpaduan kaum? Ini pesanan Sultan Nazrin

Salah satu ‘individu’ yang boleh buat semua rakyat dengar apabila dia bercakap adalah Sultan. Kami gembira jugak apabila ada beberapa Sultan selalu beri pesanan untuk pastikan keharmonian kaum yang ada kat Malaysia ni sentiasa dijaga. Terutamanya pada saat-saat hampir semua benda nak dikaitkan dengan sentimen perkauman. Kalau dulu orang kemalangan; ramai akan tanya – macam mana kedaan mangsa? Okay atau tidak? Sekarang tidak lagi, ramai yang lebih berminat nak tanya – bangsa apa yang kemalangan?

Benda ni sebenarnya tak sihat untuk Malaysia, sebabnya kita semua duduk dalam satu negara. Gaduh-gaduh pun, nanti hadap muka yang sama jugak…

Sultan Perak minta rakyat untuk hayati semangat toleransi sesama kaum

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah supaya umat Islam perkukuhkan semangat perpaduan sesama rakyat pelbagai agama serta kaum dalam membina kehidupan yang damai dan harmoni untuk membangunkan negara yang aman makmur. Baginda nak umat Islam menyelami dan hayati semangat perpaduan yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah, begitu juga falsafah penyatuan dalam kepelbagaian yang terkandung dalam Perlembagaan Negara.

Via Awani

Baginda kata; sesebuah negara terbentuk, lalu dibangunkan kerana adanya titik pertemuan hasrat dan matlamat dalam kalangan ummah untuk bernegara.

“Persekutuan Tanah Melayu disusuli enam tahun kemudiannya dengan penubuhan Malaysia, ialah sebuah negara baharu, dilahirkan pada tahun 1957, kerana adanya titik pertemuan hasrat dan titik pertemuan matlamat dalam kalangan penduduk bumi ini, untuk membentuk sebuah negara bercorak Persekutuan, di bawah payung naungan pemerintahan seorang Yang di-Pertuan Agong, yang didukung oleh Raja-raja Pemerintah daripada setiap negeri, dan di bawah pentadbiran sebuah Kerajaan Persekutuan, dengan kerjasama kerajaan-kerajaan di peringkat negeri,” – Sultan Nazrin Shah, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani

Via Sarawak Voice

Sultan Nazrin kata jugak – negara ni dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa serta menganut pelbagai agama.

Prinsip toleransi dan semangat menghormati kewujudan pelbagai agama termaktub di dalam Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan’.

“Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam, menyentuh aspek muamalah harian, iaitu, perkara-perkara berkaitan urusan dunia dan kehidupan manusia, di samping mengamalkan akhlak yang baik ketika berkomunikasi dengan penganut agama lain,” – Sultan Nazrin Shah, seperti yang dilaporkan Astro Awani

Bila awal-awal lagi korang dah buruk sangka, memanglah akan buat kesimpulan yang salah

Berbaik sangka dituntut dalam Islam kerana boleh mengelakkan daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan. Manusia yang bersangka buruk seolah-olah memfitnah orang kerana sifat itu tak ada bukti nyata dan kukuh.

Via Times Indonesia

Firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Al-Hujurat: 12)

Berbaik sangka ada banyak kebaikan. Antaranya supaya hubungan persahabatan serta persaudaraan jadi lebih baik. Apabila hati bebas daripada sangka buruk, maka yang ada dalam hati adalah sangkaan yang baik-baik saja. Sebenarnya banyak je isu yang terjadi sebab sikap buruk sangka ni. Apabila seseorang tu dah buruk sangka sebelum mengetahui hal sebenar, dia akan mula buat kesimpulan yang terburu-buru, yang akhirnya akan membawa kepada pergaduhan.

Tapinya, sangka baik perlu diimbangi sikap berhati-hati. Seperti mana perlunya berbaik sangka, begitulah juga kita perlu berhati-hati agar sifat baik itu tidak dieksploitasi musuh atau orang berkepentingan. Contohnya kalau tengah drive kat belakang lori, kita kena bersangka buruk lori tu akan brek tiba-tiba. So, berpada-padalah.

Kalau memandu, kadang-kadang kena buruk sangka. Via Giphy

Sikap berhati-hati dibina oleh pengalaman. Apabila ilmu, fakta, dalil dan pengalaman bergabung, terbinalah sikap matang dalam berbaik sangka. Kita berbaik sangka tapi tidak mudah untuk ditipu dan dikhianati. Sikap berhati-hati dan belajar daripada pengalaman sangat penting agar sikap berbaik sangka tidak diputar-belitkan, dikhianati dan diperalatkan oleh orang berniat jahat.

Hayatilah semangat perpaduan, elakkan terlalu suka berburuk sangka…

Nampaknya Sultan Perak pun dah beri titah untuk rakyat Malaysia kembali bertoleransi. Seruan yang dilakukan oleh Sultan Perak tu adalah untuk kebaikan negara, sebab apabila negara kita harmoni; kita boleh bersama-sama bergerak ke hadapan. Kami pun dah beritahu kenapa buruk sangka ni tak baik, so lepas ni kalau ada apa-apa isu yang melibatkan isu di antara kaum, jangan terus buruk sangka ye.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print