Sekarang ni tengah kecoh tentang seorang bekas penyanyi nasyid yang menggunakan nama MOSUS di Facebook. Jarang kita dapat tengok orang yang betul-betul yakin dengan sepenuh jiwa raga. Beberapa hari lepas dia siap suruh angkasawan negara untuk bersumpah jika bumi ni betul-betul tak flat.
Hari ni ORANGKATA tulis artikel pendek untuk terangkan apa sebenarnya pandangan sarjana Islam tentang persoalan bumi datar atau sfera ni. Kalian rasa macam mana?
Ada seorang Ustaz jawab perbahasan bumi ni datar atau sfera
Maklumat utama daripada artikel ni kami cedok daripada hantaran Facebook Ustaz Wanji WanHussin dengan kebenaran beliau. Sebenarnya wacana berkenaan Bumi ini flat atau bulat sfera, sudah lama dah dibincangkan.
Dari sudut pandang falsafah, metode hujah yang digunakan adalah teologi – spekulatif, sedangkan ahli astronomi berhujah menggunakan teori empirikal – Rasional.
Menggunakan pendekatan Teologi – spekulatif itu, didakwa Ben Baz pernah mengatakan bahawa bumi ini flat. Menurut ceritanya, hujah ulama Saudi itu merujuk kepada ayat Al-Quran:
الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya;“Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)”(Surah al-Baqarah, ayat 22)
Dakwaan dari Ben Baz dapat kritikan
Walaubagaimanapun, dakwaan itu menyebabkan beliau mendapat kritikan hebat – terutama dari ahli astronomi yang menggunakan metode emparikal – Rasional. Pun begitu, dengan menggunakan teori Teologi – Spekulatif, ulama dahulu sudah bahas panjang dah – seperti Ibn Taimiyyah pernah menyatakan bahawa bumi ini bulat sfera.
Tidak dinafikan, jika dilihat – ayat 22, Surah al-Baqarah – secara literal, al-Quran menyatakan bahawa Allah jadikan bumi untuk manusia itu secara terhampar. Ungkapan Allah itu masih dalam kerangka idrak hissi (persepsi secara empirik), kerana dalam beberapa keadaan Interaksi Tuhan dengan makhluk berdasarkan persepsi manusia yang duduk di atas muka bumi ini merasakan seperti bumi terhampar.
Walaubagaimanapun, dengan qarinah seperti kewujudan alat teknologi astronomi telah membuktikan bahawa bumi itu bulat spera.
Maka dengan sebab itu, dalam Kitab Majmuk al-Fatawa, Ibn Taimiyyah berhujah dengan ayat-ayat yang lain yang dinyatakan oleh Allah secara tidak langsung, bahawa bumi ini adalah bulat sfera. Iaitu firman Allah;
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ
Maksudnya; “Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas)”(Surah al-Anbiya’, ayat 33)
Dalam ayat ini, jika difikir secara mendalam, kita akan dapati Allah SWT telah menyatakan secara tidak langsung bahawa bumi ini bulat. Ini kerana, putaran matahari dan bulan dan perubahan siang dan malam; yang semua itu dinyatakan oleh Allah berputar dan berpusing pada falak.
Jelas, bahawa secara tanggapan atau persepsi indera, kita dapati bumi ini terhampar. Namun, setelah didokong dengan qarinah, kita akan dapati bahawa bumi ini bulat spera.
Tak salah untuk menjadi kurang berilmu, tapi tak boleh sombong
Awal-awal tadi kami nak letak – boleh bodoh, jangan sombong, tapi kasar sangatlah pulak. Jadi kami harap dengan hujah ringkas ni, dapatlah membuka wacana perbincangan yang lebih sarat dengan ‘hujah’ berkenaan isu bumi datar atau sfera ni. Apa yang penting, perbincangan tu kenalah guna disiplin ilmu, bukan semata-mata guna video dari Youtube.