Dr Amalina Che Bakri dikecam tak bertudung, Mufti Perlis kata lihat kebaikan

Salah satu budaya yang kami nampak menebal dalam kalangan rakyat Malaysia adalah – kalau seseorang perempuan tu berjaya dalam apa-apa bidang akademik, dia akan pastikan perempuan tu bertudung dulu, barulah diorang akan iktiraf kebolehan seseorang tu. Benda ni sebenarnya tak patut dilakukan, sebabnya kita boleh tak bersetuju dengan orang yang tak bertudung, tapi janganlah disebabkan tudung – semua kebaikan atau pencapaian seseorang tu dinafikan. Contoh yang paling terdekat, apabila Amalina Che Bakri yang pernah menempah nama sebagai pelajar SPM paling cemerlang di Malaysia, diperlekehkan kerana dia tak bertudung lagi.

Baru-baru ni Dr Nur Amalina Che Bakri kini menjadi trending di media sosial kerana budi baiknya kepada bayi Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin. Pembedahan yang berjaya membuang tumor 200 gram di mulut bayi berusia sembilan bulan itu yang dijalankan di sebuah hospital kanak-kanak di London hasil inisiatif beliau, menjadi viral semalam.

Tapi, macam biasalah, masih ramai yang tak puas hati sebab dia tak pakai tudung

Kalau korang pergi habiskan masa tengok hantaran yang memuji kehebatan Dr Nur Amalina ni, kami boleh jamin korang akan jumpa komentar orang yang kutuk Nur Amalina sebab dia tak bertudung. Bukan setakat kutuk, diorang siap tanya soalan ni pada Mufti Perlis, Dr Maza. Kami fikir jawapan Dr Maza kali ni cukup gempak, oleh sebab tu – kami nak kongsikan dengan korang.

Dr Maza kata, walaupun kita rasa persoalan seperti itu tidak wajar, namun itulah persoalan yang bermain dalam fikiran sebahagian diorang yang terkena versi kefahaman Islam yang bersifat punitif. Kadang-kala bukanlah salah diorang, sebab diorang telah dididik dalam versi kefahaman agama seperti itu. Kefahaman agama diorang bersifat begitu menghukum sesuatu kekurangan yang diorang lihat pada seseorang dan gagal melihat kebaikan-kebaikan lain yang ada pada individu yang sama.

Versi kefahaman atau cara fikir seperti tu menjadikan diorang memilih satu amalan yang menjadi satu ukuran utama diorang seperti bertudung, atau menyokong perjuangan diorang atau seumpamanya. Itu dijadikan penentu tunggal bagi kebaikan dan keburukan seseorang. Segala amalan baik akan dinafikan jika tidak mempunyai ciri yang diorang pilih itu.

Neraka untuk si penghukum, atau yang dihukum? Via Meme Generator

Diorang itu lupa bahawa di akhirat kelak, tuhan menimbang dengan adil setiap kebaikan dan kejahatan seperti yang Allah nyatakan dalam Surah al-Zalzalah. Diorang juga lupa al-Quran dalam Surah al-Qari’ah menyatakan bahawa sesiapa yang pahalanya mengatasi dosanya maka dia akan ke syurga. Sesiapa yang sebaliknya, maka dia ke neraka. Ertinya, penilaian ke syurga bukan dibuat atas siapa yang tidak mempunyai dosa, tetapi siapa yang pahalanya mengatasi dosanya.

Ramai yang lupa tentang kisah seorang pelacur yang diampunkan dosa kerana seekor anjing

Diorang lupa dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan selainnya Nabi memberitahu bagaimana diampun dosa pelacur kerana memberi minum kepada anjing yang kehausan hampir mati. Tentulah betapa lebih layak untuk mendapat keampunan seseorang yang memberi minum atau menyelamatkan nyawa manusia yang terancam jika dilakukan dengan jiwa yang kudus.

Dosa tetap dosa. Kita tidak menghalalkan dosa disebabkan sesuatu kebaikan yang lain. Namun, kita tidak boleh menafikan kebaikan seseorang disebabkan satu dosa yang lain. Boleh jadi orang yang kita lihat melakukan sesuatu dosa itu, dia lebih baik di sisi Allah disebabkan pahalanya yang lain atau kemurnian niatnya yang kita mungkin tidak tahu. Boleh jadi kita yang tidak melakukan dosa tertentu ini, lebih buruk di sisi Allah disebabkan dosa yang lain.

Via Remaja

Justeru, janganlah kita cuba menentu syurga dan neraka sesiapapun. Tugasan kita hanya memberitahu bahawa itu dosa, ini pahala. Pahala boleh membawa ke syurga, sementara dosa boleh membawa ke neraka. Adapun kedudukan pelaku dosa dan pahala di sisi Allah, hanya dia yang maha tahu. Dia Yang Maha Mengetahui hakikat keseluruhan hidup seseorang zahir dan batin. Dia yang mengetahui timbangan antara dosa dan pahala seseorang.

Adakah semakin tinggi taqwa seseorang, semakin buas pulak dia menghukum?

Ini soalan yang selalu menganggu jiwa kami. Walaupun kita tak boleh katakan semua orang yang mengaku menjadi orang beragama adalah kaki menghukum orang, tapi kami nampak budaya nak hantar orang pergi neraka ni menjadi-jadi. Lebih-lebih lagi kalau orang tu rasa diri dia paling bertaqwa. Kami pun tak tahu siapa yang ajar diorang macam tu, tapi setahu kami – agama mengajarkan kita untuk melihat kebaikan yang ada pada seseorang tu dulu. Sebabnya, macam yang Dr Maza cakap – orang masuk syurga kerana kebaikan yang dia lakukan mengatasi kejahatannya. Bagi yang kaki hukum pasal tudung ni, apa yang korang jasa yang korang dah buat?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *