Masjid adalah sebuah tempat untuk orang Islam berhubung dengan Allah, satu-satunya tempat yang sepatutnya menghimpunkan mereka yang mempunyai hati yang tenang, suci dan murni. Umpama iklan sabun cuci pinggan – suci dan murni. Sepatutnya orang-orang yang tengah lepak kat masjid tak boleh kuat marah, apa lagi sampai tahap pukul orang. Malangnya, cerita orang dipukul di masjid ni bukan benda baru. Dah banyak cerita orang yang dipukul kat dalam masjid sebab dikatakan mencuri.
Kali ni kami nak kongsikan dua kisah yang baru terjadi di Malaysia. Kombinasi cerita ni cukup simple. Orang masjid + pukul orang. Dua perkataan yang sepatutnya duduk jauh-jauh, tapi sedihnya dua perkataan ni berkahwin pulak dalam dua insiden yang memalukan.
Seorang budak OKU dipukul, yang lain duk gelak je
Bulan lepas, tular di media sosial satu video yang tunjukkan seorang ahli jawatakuasa masjid menampar remaja kurang upaya dalam pekarangan masjid. Pada awalnya, seorang pengguna Twitter, @ashzff, mengirim satu tweet yang mendakwa seorang “pak cik bertindak kasar”. Pengguna Twitter itu mengaku sebagai sepupu mangsa dalam insiden berkenaan.
“Lihat apa yang dilakukan kepada sepupu saya. Yang lain boleh tengok dan gelak je?… Lepaskan geram dekat budak yang tak bersalah. Anda bertuah kerana saya tidak berada di sana semasa kejadian. Ni dekat Masjid Al-Faizin Kepong,” katanya kat Twitter.
Walaupun video yang dikongsinya sudah diturunkan, ramai sudah menularkan video itu di pelbagai akaun media sosia. Seorang lelaki berkopiah jelas kelihatan berkali-kali menampar mangsa. Sekurang-kurangnya tiga individu lain dilihat berada berhampiran suspek.
Dalam laporan Sinar Harian, PDRM mengesahkan kejadian tu terjadi akibat salah faham. Ahli jawatankuasa terbabit menyangka mangsa mahu mencuri wang dari tabung masjid.
Ketua Polis Daerah Gombak Penolong Komisioner Samsor Maarof berkata, mangsa disuruh individu lain, yang juga anggota jawatankuasa masjid, untuk mengambil wang dari tabung untuk dikira. Insiden berlaku pada 10 Feb, sekitar waktu solat Isyak.
Encik Samsor menambah, suspek tidak mengetahui tentang perkara sebenar lalu bertindak terburu-buru dengan menampar mangsa. Mangsa difahamkan selalu berada di masjid dan turut ditugaskan mengambil kutipan derma pada hari kejadian.
Encik Samsor selanjutnya memberitahu Sinar Harian bahawa abang mangsa yang membuat aduan polis selepas mendapat tahu tentang apa yang menimpa adiknya. Mangsa turut dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Beliau tidak mengalami sebarang kecederaan teruk.
Baru-baru ni pulak, disebabkan dituduh mencuri, seorang mamat ni dipukul teruk
Dalam kes ni, Adam Sufyan cedera kat dahi akibat dipukul seorang lelaki berusia 40-an dengan besi kerana dituduh mencuri wang tabung masjid berkenaan. Kejadian itu dah tular di media sosial.
Kak mangsa, Noor Shahidah kata – ketika kejadian adiknya yang baru selesai bekerja di sebuah gerai nasi lemak berdekatan dan mahu menunaikan solat Isyak.
“Pada waktu itu, kebetulan pagar utama depan dan belakang masjid berkunci. Jadi adik masuk melalui celah pagar yang sudah rosak dan meletakkan motosikal tidak jauh dari situ. Selepas selesai solat dan keluar melalui pagar sama menuju ke motosikalnya, dia ditahan seorang lelaki yang bertanyakan beberapa soalan,”
Lelaki tu kemudian menuduh adik mencuri wang tabung masjid lalu memukulnya menggunakan besi. Katanya, pukulan tu mengakibatkan adiknya cedera dan lelaki berkenaan turut bertindak mengambil kunci motosikal.
Adik kemudian bangun dan menolak motosikal ke arah gerai rakannya bersebelahan sebuah sekolah bagi meminta pertolongan. Sewaktu membawa rakannya ke lokasi kejadian, lelaki itu dilihat turut membawa dua rakan lain. Dah macam cerita hindustan kan.
Adiknya kemudian dihantar ke Hospital Tanjung Karang (HTK) dan menerima enam jahitan pada dahinya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab mengesahkan menerima laporan berkenaan mengenai kejadian berkenaan.
Islam bukan agama marah-marah
Islam sepatutnya menjadi agama rahmah, bukan marah-marah. Sepatutnya apabila kita baru saja bertemu dengan tuhan – kita tak adalah sikap mahu menghantar orang lain terus berjumpa tuhan dengan cara memukul dia. Lebih teruk kalau orang yang dipukul tu sebenarnya orang yang tak bersalah. Sebab itulah menjadi orang yang kelihatan beragama atau betul-betul beragama ini sukar, penuh amanah. Salah satu amanah yang terbesar adalah tidak membawa fitnah kepada agama kerana perbuatan yang semborono.