Seorang Ahli Parlimen Belanda yang juga bekas anggota Parti Untuk Kebebasan (Partij voor de Vrijheid, PVV) yang sangat anti kepada Islam, mengejutkan dunia apabila mengumumkan bahawa beliau kini telah memeluk Islam. Ketika mengganggotai PVV, Joram van Klaveren mengkritik al-Quran dan Islam sebagai ‘penipu’ dan ‘berbahaya’.
Salah seorang pemimpin PVV, Geert Wilders menggambarkan tindakan bekas orang kanannya itu umpama “seorang vegetarian yang bekerja di dalam rumah sembelihan.” Van Klaveren merupakan ahli parlimen yang mewakili PVV pada tahun 2010-2014, tetapi meninggalkan parti tersebut selepas Wilders bertanya kepada penyokong partinya sama ada mereka mahukan lebih sedikit orang Maghribi yang berada di Belanda, pada 2014.
Apabila para penyokongnya menjerit “lebih sedikit”, Wilders tersenyum dan menjawab: “Kalau begitu, kami akan uruskannya.” Beliau kemudiannya didapati bersalah kerana menyebarkan kebencian dan diskriminasi.
Menjumpai hidayah ketika dia cuba untuk menulis buku yang memburukkan Islam
Van Klaveren yang kini berusia 40 tahun menyatakan bahawa dia kini telah menjadi Muslim ketika sedang menulis buku yang asalnya cuba menceritakan keburukan Islam.
“Ketika menulis buku tersebut, saya menjumpai banyak perkara yang membuatkan pandangan saya terhadap Islam semakin salah,” katanya. “Tetapi itulah dasar PVV: segala yang tidak betul mesti dikaitkan dengan Islam, begitu juga sebaliknya.” Buku yang ditulis oleh Klaveren kini diberikan tajuk “Apostate: From Christianity to Islam in the Time of Secular Terror.”
Namun, Van Kalveren bukanlah satu-satunya pemimpin anti-Islam di Eropah yang memeluk Islam. Arnoud van Doorn, juga bekas pemimpin PVV di Belanda, lebih awal mendahului Van Klaveren. Beliau keluar parti pada tahun 2011, memeluk Islam pada tahun 2012, dan kemudian menunaikan haji ke Mekah. Van Doorn menyesali penglibatannya dalam penerbitan filem “Fitna”, yang mengaitkan Islam dan al-Quran dengan keganasan dan ekstremisme.
Pada tahun 2018, Arthur Wagner, bekas pemimpin Parti Alternatif untuk Jerman (Alternative für Deutschland, AfD) yang anti-imigran, juga mengisytiharkan dirinya menjadi Muslim. Pengumuman mengejut ini dibuat tidak lama selepas AfD menyertai Parlimen Persekutuan Jerman, Bundestag pada 2017, buat kali pertama sejak 1950an. Wagner merupakan pemimpin AfD di wilayah Brandenburg, dan telah menjadi perwakilan parti tersebut di Parlimen sejak 2015. Wagner yang mempunyai keturunan berasal dari Rusia, menimbulkan persoalan ramai, memandangkan AfD menggunakan slogan “Islam tidak mempunyai tempat di Jerman.”
Pada tahun 2014 pula, Maxence Buttey, ahli majlis tempatan Parti National Front (NF, kini dikenali sebagai National Rally) di Perancis, menjadi Muslim dan digantung keahliannya. Pada Mac 2014, beliau telah dipilih untuk mewakili NF (yang anti-imigran) di Bandar Noisy-le-Grande, Paris yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 60,000 orang. Beliau yang hanya berusia 23 tahun ketika itu, sanggup meninggalkan kerjaya politik dan kemasyhuran, demi Islam.
Jumlah umat Islam di seluruh dunia semakin bertambah, dijangka mencapai 34.9% menjelang 2070
Dengan jumlah populasi penduduk dunia yang semakin meningkat, jumlah penganut Islam di seluruh dunia juga semakin bertambah banyak. Kajian yang dilakukan oleh Pew Research Center dari Amerika Syarikat mendapati bahawa umat Islam akan mencapai 34.9% daripada keseluruhan populasi dunia selepas 2070. Pertambahan ini antara lain disebabkan oleh tingginya keluarga dari pasangan muda dengan kadar kesuburan dan angka kelahiran keluarga Muslim yang tinggi; selain arus imigran beragama Islam yang bertambah di Eropah.
Namun, bukan hanya kuantiti yang kita utamakan, tetapi juga kualiti. Ada yang mengubah hidup mereka sebanyak 180 darjah selepas memeluk Islam, ke arah kebaikan. Ada juga yang melakukan kesalahan termasuk jenayah, walaupun telah menjadi Muslim.
Umat Islam seharusnya menjadi ejen penyebar kesejahteraan, keharmonian dan keamanan, menunjukkan contoh terbaik kepada dunia dalam aspek menjalani kehidupan yang maju tetapi tetap berpegang kepada nilai adab dan agama. Kita mesti mengenepikan isu remeh temeh, elakkan provokasi, serta mengikis prasangka buruk terhadap satu sama lain, khususnya terhadap penganut agama lain.
Islam selaku agama yang penuh degan kasih saying dan hikmah, mengajar kita untuk menjadi lebih baik dan menghormati agama lain. Akhlak serta akhlak terpuji yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW seharusnya menjadi pedoman bersama.
Seperti yang disebut oleh Tokoh Maal Hijrah 2018 yang juga mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil;
“Agama, khususnya Islam, harus berfungsi dan berperanan membangun budaya damai dan seterusnya menjayakan agenda pembinaan bangsa. Sikap menghargai perbezaan dan kepelbagaian harus dipupuk berasaskan kefahaman terhadap sunnah penciptaan dan hikmah dibalik ayat-ayat Tuhan. Sementara itu nilai persaudaraan perlu difahami dan diamalkan dalam erti yang luas, tidak terbatas hanya dalam lingkaran persaudaraan seagama (ukhuwwah dinniyah), tetapi meliputi persaudaraan setanah air (ukhuwwah wataniyyah) dan seterusnya persaudaraan kemanusiaan (ukhuwwah insaniyyah).”
Ramai yang tak mengamalkan Islam secara sepenuhnya
Tidak sedikit pengkaji serta penulis yang menukilkan bagaimana beberapa nilai Islam diamalkan di dunia Barat, manakala dunia Islam meninggalkan nilai-nilai Islam yang sepatutnya menjadi pegangan umat Islam. Kerana keindahan nilai-nilai Islam serta ketinggian bahasa al-Quran, ramai yang jatuh cinta kepada agama itu. Namun, malang jika ada umat Islam yang hanya mengaku Muslim pada agamanya, tetapi tidak mengamalkan agama tersebut dengan sebenar-benar amalan.
Ajaran Islam itu amat baik, cuma masalahnya masih ramai penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.
Islah (pembaikan) dan tajdid (pembaharuan) bukan lagi hanya reaksi, tetapi lebih kepada projek dan program yang mesti dilaksanakan dalam mengembalikan semula kegemilangan Islam, tanpa menzalimi masyarakat bukan Islam. Soal kebersihan, keprihatinan terhadap masyarakat Orang Kelainan Upaya (OKU), kelestarian hutan dan alam sekitar, perlu jadi keutamaan.
Umat Islam perlu terus kuat menggali ilmu sebanyak-banyaknya, khususnya dalam mendepani era Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4) yang penuh dengan cabaran yang bukan sedikit. Mereka perlu merangka sebuah model baru politik Islam yang lebih efisyen dan progresif, terutama sekali dalam menjana bidang urus tadbir dan tatakelola yang baik.
https://www.youtube.com/watch?v=wgP_OSOS3IA
Kefahaman yang ideal dan selari dengan tuntutan syarak serta keperluan umat, perlu ditanamkan dalam jiwa seluruh umat Islam. Hal ini bagi memastikan kita dapat membantu mencari jalan penyelesaian, sekurang-kurangnya menerusi bantuan kemanusiaan kepada saudara kita yang berdepan bencana alam mahupun kancah peperangan.
Jauh atau dekat tanah tumpahnya darah kita dengan tempat tinggal masyarakat Rohingya, Uyghur, Palestin, Syria, Yaman dan lain-lain lagi tidak seharusnya menjadi batas penghalang untuk kita menghulurkan doa serta bantuan setakat termampu. Binalah harapan serta jambatan pengikat kasih sayang buat mereka, yang kebuluran, kesejukan serta kehilangan tempat tinggal.
Ramai yang dahulunya membenci Islam, akhirnya memilih untuk memeluk Islam
Para pemimpin parti politik pelampau seperti PVV (Belanda), AfD (Jerman) dan NF (Perancis) sendiri ada yang memeluk Islam setelah mengkaji keindahan agama tersebut menerusi kitab suci al-Quran. Maka, malanglah jika ada umat Islam yang meninggalkan al-Quran daripada hidupnya. Malah ada yang berseloroh, sebenarnya di dalam setiap pertubuhan anti-Islam itu, sebenarnya tersembunyi ramai bakal pendakwah sejati Islam yang akan menyebarkan kebaikan demi kebaikan pada masa depan. Bacalah, dengan nama Tuhanmu!