Di ORANGKATA, kami selalu ambik pandangan dari Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sebab dia selalunya datang dengan pandangan yang sederhana dan sesuai untuk keadaan umat Islam kat Malaysia. Sejak beberapa hari ni, nama Dr. Zulkifli muncul semula apabila dia tulis pasal Liverpool. Sebagai peminat Manchester United, pedas jugaklah kami rasa.
Tapi apa yang disebutkan oleh Mufti Wilayah ni ada benarnya, jadi suka tak suka; kami akan kongsikan dengan korang. Kepada peminat Liverpool tu, boleh pergi tukar baju Liverpool sebelum baca artikel ni…
Mufti Wilayah berikan tiga pengajaran berguna daripada cara Liverpool bermain…
Dalam bola sepak moden, kombinasi tiga pemain penyerang ni memang taktik yang famous. Kalau dulu kita ada; Suarez, Messi, Neymar kat Barca, Ronaldo, Benzema, Bale kat Madrid. Di Liga Perdana Inggeris, kombinasi Mane, Firmino dan Salah selalu jadi mimpi ngeri untuk pasukan lawan. Memandangkan Liverpool selalu main high press, kalau lawan buat kesilapan kat kawasan sendiri, selalunya Liverpool akan jaringkan gol.
https://www.youtube.com/watch?v=umqs0WHlFcM
Mufti Wilayah kata dia suka dengan combination play yang dimainkan Liverpool. Semangat berpasukan dan persefahaman yang tinggi diorang dah hasilkan 4 Gol dalam perlawanan UEFA Champions League baru-baru ni. Pengajarannya, jika kita ingin berjaya dalam hidup kita ini, kita perlukan pasukan ‘sahabat’ yang baik untuk saling melengkapi antara satu sama lain.
Lepas tu, Mufti Wilayah jugak ada kata yang kalau kita leka, ia akan mengundang padah. Masa lawan pasukan Red Bull Salzburg baru-baru ni, segalanya nampak sempurna dengan Liverpool berjaya mengungguli lawan 3-1 tamat separuh masa pertama. Tapi, kelekaan pasukan dalam bertahan mula jadi masalah dan akhirnya pasukan lawan menyamakan kedudukan.
Pengajarannya, bersama kita awasi ‘Ujian Kesenangan’ dan sentiasa mencabar diri untuk terus membaiki diri menjadi orang yang lebih baik.
Pasukan Liverpool juga buktikan; kegagalan diorang mempertahankan kelebihan gol akibat kelalaian mereka adalah bukanlah alasan. Diorang sedar dan cepat-cepat susun strategi serta tak berputus asa. Ini akhirnya berjaya membawa mereka memperoleh gol kemenangan yang telah dijaringkan oleh Mohamed Salah.
Di sebalik cerita kemenangan Liverpool ni, sebenarnya Mufti Wilayah ada cerita sedih…
Di sebalik cerita pasal Liverpool yang kami kongsikan tadi, ada kisah jugak kisah tentang Mufti Wilayah yang buktikan perbezaan agama bukan halangan untuk rakyat negara ni hidup bersatu-padu. Menerusi hantaran Instagramnya, Zulkifli berkongsi kenangan beliau bersama seorang jiran berbangsa Cina yang dikenali sebagai Pak Choong.
Kematian jiran yang merupakan sahabat akrabnya pada Ahad lepas benar-benar menyentuh emosi Zulkifli.
“Hari ini hari yang menghibakan apabila menerima berita pemergian seorang jiran saya yang berbangsa Cina. Bagi yang mengikuti saya sejak beberapa tahun lepas di media sosial, mungkin mengenali mendiang Pakcik Choong atau pemilik nama sebenar Choong Kooy Choon yang selalu menghadiahkan saya pelbagai haiwan peliharaan beliau kerana kami berkongsi hobi yang sama,” – Hantaran Instagram Mufti Wilayah
Dr. Zulkifli ada jugak kata; setiap kali tiba sambutan Tahun Baharu Cina, dia selalu menghadiahkan kek kepada mendiang sekeluarga. Mendiang tu pulak pasti akan membalasnya dengan beberapa kotak limau Mandarin. Tambahnya hidup dengan kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia merupakan nikmat Allah SWT yang perlu dimanfaatkan bersama demi membina masa depan Malaysia yang lebih harmoni.
Jangan setakat kagum dengan cara Liverpool bermain, tapi tabik jugak pada kepelbagaian yang ada…
Kalau kita tengok kepelbagaian bangsa dan agama yang ada kat Liverpool tu, mesti kita akan kagumkan? Sebab tu kami rasa; untuk sesebuah kumpulan masyarakat berjaya dalam melakukan satu-satu perkara; kepelbagaian amat diperlukan. Samalah macam Malaysia, untuk kita bergerak lebih maju ke hadapan, kita perlukan semua bangsa untuk memberikan yang terbaik.