Bulan Ramadan adalah bulan untuk umat Islam ambik peluang beribadah sebanyak yang boleh. Selain daripada terkenal sebagai bulan pengampunan, bulan Ramadan jugak menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda untuk umat Islam. Tapi lain pula jadinya apabila ada seorang lelaki mengamuk sebab tidurnya terganggu akibat bunyi orang mengaji Al-Quran menggunakan pembesar suara masjid.
Seorang lelaki menikam imam yang tengah baca Al-Quran
Gara-gara marah kerana tidurnya terganggu, seorang penganggur bertindak menikam imam yang sedang membaca Al-Quran menggunakan pembesar suara. Dalam kejadian di masjid Kampung Apal pukul 6.30 pagi tadi, mangsa Mohd. Amin Md. Nor, 37 tahun, menerima tujuh jahitan dan cedera di dada kiri.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi kata, lelaki yang berusia 23 tahun didapati positif methamphetamine dan mengaku menikam mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.
“Suspek tiba-tiba datang dari arah belakang menikam bahagian dada mangsa. Hasil siasatan awal, suspek mengaku melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang membaca Al-Quran di dalam masjid menggunakan pembesar suara,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Kosmo
Mohd. Zamri kata, jarak rumah lelaki terbabit dengan tempat kejadian lebih kurang 100 meter dan ketika insiden itu, terdapat dua jemaah lain sedang berehat di ruang belakang masjid. Dia turut kata, mangsa merupakan imam di Surau Rantau Petronas di Kerteh, Kemaman dan pulang ke Besut kerana menguruskan jenazah ayah beliau yang meninggal dunia pada Jumaat.
Lelaki tu kini ditahan untuk mendapatkan perintah reman dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa menggunakan senjata tajam.
Hukum menggunakan pembesar suara untuk mengaji
Soalan ni bolehlah dikatakan famous jugak. Kami ambil jawapan daripada Nahdlatul Ulama Indonesia sebab diorang bagi jawapan yang kami anggap sederhana.
Ada masjid yang putarkan audio pengajian pada Jumat pagi dengan durasi sehingga satu jam untuk mengingatkan masyarakat. Ada juga yang putarkan audio selawat sebelum solat Subuh untuk membangunkan masyarakat. Tetapi ada juga pengurusan masjid yang memutar audio pengajian dengan durasi lebih lama dari sejam. Ada jugak anggota masyarakat yang bertadarus menggunakan mikrofon, lebih-lebih lagi bulan puasa.
Sebenarnya tadarus atau pemutaran audio pengajian dengan pembesar suara masjid jika ada keperluan boleh saja. Tetapi pemutaran audio atau tadarus Al-Quran dengan durasi panjang misalnya lebih dari satu jam juga tidak baik kerana dapat mengganggu orang yang memerlukan suasana tenang. Pemutaran audio terlalu lama hanya membuat bising sehingga boleh memberi gangguan pada aktiviti masyarakat.
Kebisingan seperti ini dilarang dalam agama. Jangankan pakai pembesar suara, tadarus tanpa pembesar suara sehingga mengacaukan konsenstrasi orang sembahyang jelas dilarang agama sebagai keterangan Sayyid Abdurrahman Ba’alawi dalam Bughyatul Mustarsyidin;
Sekelompok orang membaca Al-Quran dengan lantang di masjid. Sebahagian orang mengambil manfaat dari pengajian mereka. Tetapi sebahagian orang lainnya terganggu. Jika maslahatnya lebih banyak dari manfaatnya, maka baca Al-Quran itu lebih utama (afdhal). Tetapi jika sebaliknya yang terjadi, maka baca Al-Quran itu menjadi makruh. Fatwa An-Nawawi,” (Lihat Sayyid Abdurrahman Ba’alawi, Bughyatul Mustarsyidin, [Beirut: Darul Fikr, 1994 M/1414 H], halaman 108).
Tikam orang tetap salah, tapi pengurus masjid juga harus peka
Dalam apa jua keadaan, mencederakan orang yang tak bersalah tetap dikira sebagai satu kesalahan. Kalau betul pun marah dengan mana-mana pihak; benda boleh bincang kot. Tapi pihak masjid juga harus peka dan menjaga keharmonian setempat. Apa yang penting adalah laungan azan untuk mengajak umat Islam ke masjid. Kalau tadarus dan rakaman audio dilihat boleh menganggu penduduk setempat, maka adalah patut ia tidak dilakukan