Nampaknya ada satu berita yang menggemparkan kita, masyarakat orang asli di Kampung Kuala Koh menderita penyakit misteri yang meragut nyawa. Pada bulan Ramadan lepas, seramai 13 penduduk orang asli termasuk seorang kanak-kanak berusia 1 tahun didakwa meninggal dunia akibat penyakit misteri tu. Beberapa hari lepas, satu lagi kematian dilaporkan membabitkan seorang penduduk wanita berusia 22 tahun.
Masyarakat orang asli hidup dalam rasa bimbang, seolah-olah menunggu mati
Penduduk orang asli di Kampung Kuala Koh kini hidup dalam kebimbangan apabila seorang demi seorang saudara mereka meninggal dunia dan mereka seolah-olah ‘menunggu masa kematian’. Mereka dakwa kematian itu berpunca daripada sumber air tandak yang digunakan untuk aktiviti seharian.
Penghulu Kampung Kuala Koh, Mamat Pokok ketika ditemui berkata, seramai 30 penduduk dibawa ke Klinik Kesihatan Aring 1 dan Chiku 03. Katanya, seramai 14 penduduk telah dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) dan tiga lagi yang agak kritikal telah dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK).
“Sejak awal Ramadan lalu, penduduk mula diserang penyakit. Kami syak ia berpunca daripada sumber air tandak yang tercemar. Kampung ini ada 223 penduduk dan 57 ketua isi rumah. Bagaimanapun, lebih separuh daripada kami kini sedang bertarung nyawa. Sumber air tandak kami tercemar dengan sisa perlombongan bijih besi yang telah beroperasi sejak empat tahun lalu,” – Mamat Pokok, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani
Katanya, awal Ramadan lalu hanya beberapa penduduk dijangkiti penyakit itu namun seminggu kemudian bilangannya bertambah. Kira-kira 120 penduduk kampung sama membabitkan 30 keluarga diserang penyakit misteri apabila kulit mereka bersisik, bernanah dan berkudis sejak beberapa bulan lalu.
Polis terima laporan kematian, tapi minta orang ramai hentikan spekulasi
Polis mengesahkan menerima dua laporan kematian mengejut penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, siasatan kes kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Katanya, laporan kematian itu diterima pada 29 Mei lalu dan petang 8 Jun.
“Seorang lelaki Orang Asli berusia 30 tahun telah meninggal dunia di sebuah pondok berhampiran Lombong Bijih Aring 11. Manakala, pada pukul 4 petang semalam seorang lagi wanita Orang Asli berusia 21 tahun telah dilaporkan mati secara tiba-tiba di kampung itu. Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah disebabkan ‘Pneumonia’ atau jangkitan paru-paru,” Mohd. Taufik, seperti yang dilaporkan oleh Kosmo
Orang Asli suku kaum Batek yang tinggal di Kuala Koh mahu pihak berkuasa segera menyiasat punca kematian penduduk yang mati secara tiba-tiba selepas jatuh sakit sejak sebulan lalu. Mereka mendakwa penduduk yang meninggal dunia telah dikebumikan secara adat selepas mereka hilang selera makan, badan menjadi kurus dan batuk.
Penduduk juga mendakwa mereka tidak mengetahui punca sakit yang menyerang mereka disebabkan penyakit tibi atau pencemaran bahan kimia lombong bijih besi terhadap sumber air tadahan mereka. Petang semalam, Mohd. Taufik bersama beberapa anggotanya telah membuat pemantauan di Kampung Kuala Koh. Menurut Mohd. Taufik, pada hari ini (9 Jun), agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kesihatan turut berada di lokasi bagi melihat keadaan dan membantu menghantar penduduk yang sakit ke hospital.
Dia turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi tentang kematian yang menimpa penduduk Orang Asli berkenaan.
Tak mustahil meninggal dunia kerana keracunan bahan kimia, kata Timbalan Menteri
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, akan mengadakan lawatan kerja bersama badan bukan kerajaan (NGO) ke Kampung Kuala Koh, Gua Musang selepas penduduk Orang Asli di situ didakwa meninggal dunia akibat penyakit misteri. Timbalan Menterinya Tunku Zalpuri Shah Raja Puji ketika dihubungi FMT berkata pihaknya dan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil pergi melawat kawasan tu.
Tunku Zulpuri kata, dia tidak menolak kemungkinan kematiaan itu berpunca daripada pencemaran kimia di sungai berdekatan Kampung Koh berdasarkan pemerhatian beliau sewaktu lawatan kerja ke kawasan itu pada 22 Disember tahun lalu. Katanya, terdapat aktiviti pembalakan dan perlombongan bijih timah yang beroperasi berdekatan kampung tersebut yang menurutnya aktiviti itu dijalankan tanpa mengikut peraturan dan prosedur yang sepatutnya.
“Kerana terdapat beberapa anak sungai dan aliran air yang tersekat sebab tanah dan (kayu) balak. Jadi, ia tak mengikut aliran air. Aliran air tak boleh disekat, ia mesti ikut aliran. Jangan kata saya tuduh ya, kemungkinan besar bahan kimia dari perlombongan itu masuk dalam sungai dan menjadikannya tak bersih,” – Tunku Zalpuri, seperti yang dilaporkan FMT
Moga lawatan kerja yang melibatkan beberapa pegawai kementerian, aktivis alam sekitar dan petugas media tu akan membantu menyelesaikan masalah yang terjadi kat sana. Kita bukan cerita benda main-main ni, nyawa orang tu weh. Kalau setakat 1, 2 orang meninggal, itu mungkin kebetulan. Tapi kalau dah 13 orang dan semakin ramai yang sakit, mesti ada sesuatu yang tak kena ni.