Kita ni mempunyai sejarah yang panjang mengenai rasuah dan salah guna kuasa. Sama ada dari peringkat bandar, luar bandar, pinggir bandar mahupun kat kampung sekalipun… benda ni macam dah jadi satu rahsia terbuka untuk orang sekelilingnya. Macam kita rasa tak boleh buat apa-apa pun ada jugak, kan?
Perkara yang sama jugak berlaku di Pahang, apabila timbul dakwaan terbaharu mengenai sindiket penjualan tanah haram bagi penanaman Durian Musang King di Bentong. Dakwaan ni datangnya dari sorang wartawan yang turut mengusahakan ladang penanaman duriannya sendiri, jadi penyiasatannya ni memang mendalam jugaklah.
Sindiket jual tanah secara haram ni dah lama, 200 ekar diberi untuk usaha projek gajah putih
Dah boleh dikatakan suatu kelaziman untuk kita dengar skandal-skandal tanah ni, mesti ada kena mengena jugak dengan percaturan politik di sesebuah negeri tu. Menurut sorang wartawan dalam akaun Facebooknya, Khaidir Ahmad; perkara ni sudah berlarutan terlalu lama. Katanya, senario penerokaan tanah haram secara besar-besaran di Pahang sudah berlaku sejak 1970-an lagi.
Masa tu orang masih banyak tanam getah, kelapa sawit. Dekat Bukit Tinggi Bentong, ramai tanam halia dan di Cameron Highland jugak, banyak ladang sayur-sayuran. Disebabkan Khaidir Ahmad ni anak Temerloh, jadi nak tak nak… memang dah banyak dengar skandal penerokaan tanah secara haram berskala besar di Triang (sekarang dalam Daerah Bera).
Bertahun-tahun lamanya, puluhan ribu ekar tanah dan modal kegiatan itu dikatakan turut dibiayai oleh pelabur dari Singapura. Dikatakan kegiatan ni jugak diketahui sebenarnya oleh Pejabat Tanah Daerah (PTD) mahupun Pejabat Tanah dan Galian (PTG), namun kegiatan pengambilan dan pembelian tanah tu tak diambil tindakan sewajarnya pun.
Khabar angin mengenai kes ni hanya secara jelas diketahui oleh Khadir Ahmad masa 1983, iaitu ketika dia masih bertugas sebagai wartawan. Rupanya benda ni berlaku di seluruh negeri Pahang, bukan setakat daerah Bera je. Pada tahun 1990-an, tanah Kerajaan Negeri seluas 200 ekar di kawasan itu kemudian diberikan kepada seorang tauke Cina menerusi pakej pembangunan Padang Golf Majlis Daerah Bera. Tapi tu dah jadi projek gajah putih, padang semak samun je yang ada.
Sudah kawtim dengan orang Pejabat Tanah, ‘ejen’ haram mudahkan beli tanah yang dah diteroka dengan harga murah
Khaidir Ahmad turut berkongsi bagaimana modus operandi asas ejen-ejen haram ni untuk jadi orang tengah kepada urusan nak beli tanah yang diteroka secara haram. Biasanya tanah tu memang dah siap-siap diletakkan harga yang berbeza, tapi masih dalam lingkungan belasan ribu jugak.
Setiap lot projek tanah haram itu dijual kepada pelabur dengan harga bermula dari RM5,000 hingga RM12,000 seekar bergantung kepada bentuk muka buminya. Misalnya, lot tanah yang ada kawasan bukit, lembah dan kedudukannya paling hampir dengan sungai berjeram batu adalah yang paling mahal.
Yang lebih mengejutkan kami, hasil siasatan Khaidir Ahmad lepas ‘berbisik-bisik’ dengan sorang tauke ni secara langsung membuktikan bahawa orang Pejabat Tanah memang terlibat dengan kerja-kerja urus jualbeli tanah menerusi tauke tanah ni. Kata Mr. C, sorang tauke yang dimaksudkan Khaidir Ahmad:
“You jangan bimbang boss (panggilan Mr C kepada saya)… kita ada networking dengan Pejabat Tanah dan orang besar… kita buat ini cara professional dan legal punya… nanti you kasi saya photostat tiga IC… boss punya IC, isteri dan anak.Kita buat permohonan dulu dengan Pejabat Tanah… boss kasi salinan itu IC saja… yang lain macam isi borang permohonan dan dapatkan pelan tanah… semua kami sudah kawtim dengan orang Pejabat Tanah…mereka urus semua… boss cuma kasi IC sama saya… kita mau cepat jalan ini projek kerana sekarang sudah ada 200 investors semua kaya-kaya”- Seperti yang dipetik dari hantaran Facebook Khaidir Ahmad
Kerabat berpangkat Datuk jugak buka ladang haram tengah-tengah hutan, ada ‘resit hijau’ di tangan pun boleh jalan
Lepas dah masuk dalam kumpulan pelabur yang berminat nak beli tanah haram tu, Khaidir kemudiannya diberi ‘resit hijau’. ‘Resit hijau’ ni maksudnya surat prosedur biasa yang dikeluarkan kepada semua permohonan tanah. Dia ada tanya ejen, dan ejen tu kata resit tu sekadar untuk pegangan je, tapi dah berfungsi macam geran pembelian dan pemilikan tanah.
Ketika dalam perjalanannya, dia turut dimaklumkan beberapa ekar tanah dalam hutan tu memang dah bertuan.
“Ooo… itu semua sudah ada lain group ambil… tadi kalau you nampak dalam semak semua sudah ada Musang King besar-besar maa… yang dekat sungai pertama kita cross tadi itu Datuk A punya 80 ekar, lagi seberang sungai lain group ambik 300 ekar baru tanam… lagi satu group ambik 200 ekar, lagi satu Datuk sudah pencen… punya ada 60 ekar… lagi satu baru clear kawasan tadi itu tauke…punya…. kita punya tempat 1,000 ekar sudah tidak jauh… lagi cantik.”- Mr. C, seperti yang dipetik dari hantaran Facebook Khaidir Ahmad
Sarkas ahli politik berlangsung, manakala di bawah masih lagi celaru nasibnya
Drama politik kembali lagi ‘bersiaran’, namun di peringkat rakyat… rakyat masih lagi cuba nak fikir apa nak makan esok. Bila fikirkan pasal apa yang berlaku kat Pahang ni, rasanya tak mustahil jugak bila ia boleh berlaku di negeri lain dan di bawah hidung para pemimpin yang kononnya memperjuangkan rakyat.
Belum termasuk lagi beberapa pemimpin politik yang tak berhenti-henti mengecam dan mengkritik pemimpin negeri lain yang dikatakan gagal, sedangkan negerinya sendiri iaitu Pahang, tetap sama gagal dipertahankan oleh kegiatan haram seperti ni. SPRM jugak perlu menyiasat dakwaan Khaidir Ahmad ni, lagi-lagi apabila dua agensi utama yang bertanggungjawab adalah agensi awam.