Menteri PAS kata KELANTAN kena manfaatkan air hujan, ini teori pasal air hujan

F1

Lama jugak kami tak tulis sesuatu pasal alam sekitar, baru-baru ni heboh semula isu bekalan air kat Selangor yang terputus akibat pencemaran air sungai oleh pihak pengurusan kilang yang tak bertanggungjawab. Secara tak langsung, isu sumber air ni dibahaskan semula dalam media dan wujudnya lebih banyak persoalan tentang bagaimana nak urus pencemar-pencemar sumber air serta apa cara terbaik nak urus sumber air.

air hujan
Via Unsplash

Salah satu kaedah tersebut adalah kaedah penuaian hujan. Kaedah penuaian hujan ni bukanlah suatu yang baharu ideanya kat Malaysia ni. Bahkan, ia turut digunakan secara meluas di pelbagai negara seperti di Brazil, New Zealand, Korea Selatan, Thailand dan banyak lagi. Maknanya kalau dah diaplikasikan di negara lain, kita pun kenalah belajar apa dan bagaimana kaedah penuaian hujan ni berfungsi.

Kaedah penuaian air hujan biasanya untuk kegunaan luar, tak boleh diminum sebelum dirawat

Bila cakap pasal air hujan, ramai dah faham bahawa tak semua air hujan tu pun benar-benar selamat. Kesihatan air hujan tu amat bergantung pada faktor persekitaran, seperti kewujudan kilang-kilang dan kadar pencemaran alam yang wujud sekitar kawasan tersebut. Akan tetapi, oleh kerana faedah air hujan untuk dimanfaatkan tu lebih banyak daripada risikonya, jadi tak salah kita mencubanya.

Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) ni bertujuan untuk menambah kepelbagaian sumber air untuk digunakan oleh rakyat khususnya apabila bekalan air mentah pada sesuatu bangunan tu tak cukup untuk tampung keperluan air mentah. Tambah lagi, sistem ni jugak berupaya untuk mengalirkan air hujan tu daripada masuk parit atau longkang dan kemudiannya menghalang daripada berlakunya banjir kilat.

Takung Banjir
Via Astro Awani

Baru-baru kat Selangor, ada banjir kilat yang teruk kan? Korang bayangkan jika limpahan air yang banyak tu boleh disalurkan agar menjadi sumber kegunaan air rakyat. Krisis air yang kerapkali melanda beberapa negeri, misalnya di Johor, telah membuatkan sistem ni amat penting untuk dilaksanakan secekap boleh. Walaupun ramai ingat Johor ni banyak air sebab ada rundingan dengan Singapura dulu, namun ada je krisis air di sana.

Walaubagaimanapun, kebersihan air hujan tu pun masih boleh diragui lagi biarpun ada kenyataan mendakwa bahawa air hujan tu dah boleh minum je terus. Dalam SPAH ni, air hujan tu akan dialirkan dari bumbung ke tangki. Kita tak tau berapa banyak kekotoran dan kuman yang ada kat bumbung dan tangki korang tu. Mungkin kalau dah pasang penapis, dah boleh pakai kot…

Penuaian Air Hujan1
Via Sharifah Meryam Shareh Musa et. al (2017)

Idea SPAH dah cukup baik, tangki pun dah pasang tapi penduduk buang pulak

SPAH ni secara teorinya cukup baik, dan banyak pemaju pun setuju jugak dengan pemasangan sistem penuaian air hujan. Namun begitu dalam dapatan kajian Sharifah Meryam Shareh Musa et.al (2017), persepsi dan penerimaan penduduk terhadap sistem penuaian air hujan tu tak berapa baik. Ada sesetengah tangki yang telahpun dipasang oleh pemaju kena buang pulak.

Kajian Sharifah Meryam ni lebih guna kaedah kualitatif, ertinya banyak tanya pengurus projek, penolong jurutera dan eksekutif tapak. Korang boleh tengok jadual temubual mereka mengenai persepsi dan penerimaan penduduk. Untuk mudahkan korang rujuk; R1, R2 dan selanjutnya tu maksudnya ‘responden’ ye…

Persepsi Penerimaan Penduduk Perumahan Spah
Via Sharifah Meryam Shareh Musa et.al (2017)

SPAH ni sebenarnya baik, namun perlaksanaan dan pendedahan terhadap kebaikan sistem ni masih lagi perlu dipertingkatkan. Macam kami katalah tadi, kaedah penuaian air hujan ni bukanlah baharu. Sejak 1999, SPAH ni dah wujud dan sentiasa dibincangkan di peringkat kerajaan dan pemaju.

Baru-baru ni pun, kaedah penuaian air hujan ni popular semula bila ramai yang rasa sistem ni macam ketinggalan zaman. Ditambah lagi, kenyataan Tuan Ibrahim selaku menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air ditujukan kepada ‘negeri tak banyak industri’ seperti Kelantan.

“Sebenarnya kalau boleh kita hendak manfaatkan air hujan sebab airnya bagus cuma di kawasan industri, air lebih terdedah udara tercemar. Kelantan antaranya boleh manfaat air hujan sebab di negeri ini tidak banyak industri dan kurang pencemaran udara,”- Seperti yang dilaporkan Harakahdaily pada 18 September 2020

Kelantan
Via Twitter

Kelantan mempunyai banyak jenis isu, seperti isu pembalakan, isu air kotor dan kurangnya pembangunan industri kat sana. Jadi bila kenyataan ni dikeluarkan oleh menteri PAS yang sepatutnya menyelesaikan isu-isu ni di Kelantan, ramai orang tak puas hati. Kaedah penuaian air tu dah bagus, cuma kenyataan tersebut tak kena sangat sebab isu air kotor tak boleh hanya selesai dengan kaedah penuaian air semata-mata.

Tambah lagi, agak pelik jugaklah bila menteri membayangkan kekurangan industri di negeri kurang maju ni suatu perkara yang baik hanya disebabkan takde pencemaran. Kurang industri ni jugak menolak keluar ramai anak Kelantan, manakala aktiviti pembalakan pulak tak habis-habis lagi hingga mencipta rantaian kesan lain seperti isu air kotor.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *