Ketika pandemik COVID-19 masih lagi belum reda, pelitup muka di antara aksesori wajib ada kat setiap rumah di Malaysia ni. Sejak PKP dulu, kita sememangnya dah ‘dibiasakan’ menggunakan pelitup muka ni bila keluar rumah. Siapa yang tak pakai lazimnya tak dibenarkan masuk ke dalam sesebuah premis walaupun suhu badannya normal je.
Sekarang ni pun dah bermacam-macam gaya pelitup muka yang terjual, tapi pelitup muka pakai buang tu jugaklah jadi pilihan selamat rakyat. Cuma apabila dah semakin ramai yang dah kerap guna pelitup pakai buang tu, kemudiannya main buang je kat jalan raya ataupun sungai… ia jugak akan menyumbang kepada pencemaran.
Pelitup muka semakin mengotori laut, tapak pelupusan sampah bukanlah tempat yang sesuai untuk sisa pelitup muka
Sejak ‘meletusnya’ pandemik, kegunaan pelitup muka pakai buang menjadi lebih penting untuk mencegah dan mengurangkan risiko jangkitan tersebut menular. Biasanya orang akan pakai yang jenis 3 lapis, seperti surgical mask tu disebabkan ia dilihat lebih selamat berbanding pelitup muka jenis guna semula.
Pelitup muka pakai buang tu secara teknikalnya diperbuat dari plastik, dan boleh digunakan lebih dari sekali jika bahagian dalam tu tak lembap atau terkena cecair sama ada dari hidung dan mulut korang. Walau bagaimanapun, segelintir berpendapat bahawa pelitup muka ni kurang praktikal untuk dikitar semula atas risiko kesihatan.
Oleh demikian, ada negara cuba menyelesaikan sisa pelitup muka ni dengan melupuskannya seperti sisa sampah yang biasa – biarkan je di tapak pelupusan sampah. Masalah pencemaran tetap akan berlaku jugak kerana pelitup muka pakai buang ni lebih kurang macam plastik jugak. Plastik memakan tempoh masa yang sangat lama untuk terurai, dan begitu jugak pelitup muka.
Malaysia pun antara negara yang turut menggunakan cara biarkan di tapak pelupusan sampah. Wakil CNI Enterprise, Cheng Lee Yen kata bahawa terdapat bukti menunjukkan pelupusan pelitup separuh muka dan sarung tangan pakai buang tak dilakukan dengan baik di Malaysia. Maka, dia menggesa agar rakyat mulai menggunakan alternatif lain seperti pelitup muka guna semula untuk menjaga kualiti alam sekitar.
Untuk pengetahuan korang, kadar pencemaran udara dan air kat Malaysia berkurangan ketika PKP dilaksanakan. Kualiti udara dan air meningkat akibat kurangnya aktiviti manusia. Contohnya, kejernihan Sungai Kesang amat mengujakan ramai orang sehingga ada yang membandingkannya dengan Maldives.
Pembakaran sisa pelitup muka jalan popular setakat ni, tetapi masih tak efektif untuk semua
Dalam dunia penuh dengan sisa bahan buatan manusia termasuklah sisa klinikal dan sisa pelitup muka, pembakaran adalah jalan popular untuk melupuskan sisa sampah ni buat masa ni dengan lebih selamat. Di UK, kaedah pembakaran banyak digunakan lantaran permintaan pelupusan PPE semakin tinggi.
Manakala di Itali, kilang-kilang pembakaran sisa perlu menurut prosedur yang lebih ketat. Sisa-sisa tersebut akan ditutup dalam ruang kedap yang akan dibawa jauh dari hospital. Seterusnya, ia akan dipindahkan menerusi koridor yang dah ditetapkan terus ke ruang pembakaran.
Aliran pelupusan sampah ni memang sistematik, namun adakah ia kemudahan yang boleh tersedia kat negara-negara lain?
Kat India, misalnya dikatakan memiliki rekod buruk dalam pelupusan sisa klinikal. Banyak laporan memetik kes penyelewengan dan perlanggaran arahan pihak berkuasa, termasuklah mencampurkan sisa sampah biasa dengan klinikal antara satu sama lain.
Selain tu, pembuangan sampah secara haram turut berleluasa dimana sejak mulanya pandemik tu, PPE boleh dijumpai di ruang awam di New Delhi. Ada jugak sebahagian pekerja dalam sektor informal tu yang sengaja kutip semula pelitup muka yang dah dibuang orang dan dijualkan semula. Ni merupakan suatu realiti yang menggusarkan.
Di Malaysia pulak, wujud jugak kilang-kilang pembakaran sisa ni dalam skala sederhana (mempunyai kapasiti kurang dari 100 ton sehari) seperti di Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Cameron Highlands dan Labuan. Mengikut dapatan Prof Madya Haliza Abdul Rahman (2013), jumlah sisa sampah semakin tinggi setiap tahun menjadi punca keperluan pertambahan kilang pembakaran ni.
Namun begitu, kita jugak mempunyai cabaran tersendiri bila cakap pasal pembinaan kilang pembakaran sampah lagi. Ada kemungkinan bahawa pengurusan sifar sampah dengan pembudayaan kitar semula dalam kalangan rakyat tak lagi popular apabila kaedah pembakaran sampah ni mulai diterima.
Dari segi ekonomi pulak, kos yang bakal ditanggung untuk meminimakan kadar pencemaran udara kesan dari asap kilang pembakaran sisa tu akan menjadi tinggi. Kalau dah bina lebih dari 10 kilang pembakaran di Malaysia, sudah tentulah negara menanggung kos yang berganda tinggi bagi memastikan piawaian ketat yang termaktub dalam undang-undang alam sekitar.
Cara terbaik bermula dari diri sendiri, dinasihatkan tukar jenis pelitup muka dan pembinaan teknologi pensterilan
Kita memerlukan kaedah yang lebih selamat dan bebas pencemaran untuk menangani isu pengurusan sisa sampah khususnya sisa klinikal. Setakat ni, kaedah pengurusan sisa yang terbaik adalah dengan menukarkan amalan penggunaan pelitup muka.
“Kita mahu melindungi diri daripada COVID-19 tetapi tidak semestinya dengan hanya menggunakan jenis pakai buang. Kita boleh menggunaan pelitup separuh muka guna semula dan sentiasa menjaga penjarakan sosial untuk melindungi diri sambil menjaga alam sekitar,”- Cheng Lee Yen, wakil CNI Enterprise (M) Sdn Bhd seperti yang dilaporkan Bernama pada 30 Jun
Carly Fletcher, seorang pengkaji dari Manchester Metropolitan University pulak mencadangkan agar teknologi pensterilan patut dibangunkan dan digunakan dengan lebih meluas untuk memudahkan proses kitar semula PPE ni. Mungkin untuk negara-negara yang tinggi kadar kebolehjangkitannya masih perlu pakai pelitup muka pakai buang tu, jadi teknologi pensterilan ni boleh berfungsi ‘menyahkuman’ dan membolehkan sisa tersebut dikitar semula.
Kami rasa idea ni baik jugak untuk dipertimbangkan oleh negara kita, lagi-lagi selepas isu rancangan pembinaan kilang pembakaran yang dipalit kontroversi di bawah Pakatan Harapan dulu.