Kematian Charles Lampley, rakyat Amerika Syarikat (AS) berusia 55 tahun dari Milwaukee ketika membersihkan salji di garaj rumahnya, menjadi satu petunjuk jelas barkenaan suasana serius yang berlaku akibat suhu terlalu rendah di Amerika Syarikat (AS). Lampley yang berpakaian tebal ditemui dalam keadaan beku dengan pintu garajnya masih terbuka, Selasa lepas.
Selain Lampley, seorang pelajar kolej di Iowa, Gerald Belz, 18, turut ditemui mati kerana kesejukan. Di utara Indiana, sepasang pasangan kekasih muda terkorban dalam kemalangan di kawasan jalan licin yang berais. Dua orang warga emas berusia 70 tahun di Detroit, Michigan ditemui mati kesejukan. Di Pekin, Illinois, seorang lelaki berumur 82 meninggal dunia kerana ‘hypothermia’, manakala satu lagi kematian membabitkan pemandu lelaki berusia 75 tahun yang tersekat di dalam timbunan salji, dilaporkan di Chicago.
Suhu di AS berada di bawah paras beku, sejuk gila-gila
Satu pertiga atau 90 juta rakyat AS kini mengalami suhu -17 darjah Celcius atau lebih rendah. Dan kebanyakan daripada 250 juta orang rakyat negara tersebut secara keseluruhannya sedang menghadapi keadaan sejuk melampau yang dikenali secara saintifik sebagai ‘polar vortex’. Fenomena ‘polar vortex’ yang melumpuhkan Barat Tengah (Midwest) AS ini telah meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa dan menyebabkan jutaan lagi rakyatnya kesejukan tatkala suhu semakin menjunam rendah, dan kini mula menghampiri kawasan Pantai Timur atau Pinggir Laut Atlantik (East Coast) AS.
Suhu beku demikian menyebabkan kawasan Midwest seolah-olah mati dan mencatat rekod, dengan sebahagian Illinois dan Iowa merekodkan bacaan suhu -38C dan -34.44C. Situasi berkenaan juga menyebabkan lebih 2,300 buah penerbangan dibatalkan dan lebih 1,500 lagi ditangguhkan, manakala jumlah kematian akibat kesejukan kini meningkat kepada 13 orang. Suhu di Chicago mencatat -29.44F pada hari Khamis, menghampiri rekod -32.77C pada Januari 1985. Milwaukee dan Minneapolis masing-masing mencapai -31.66F dan -31.11C. Pada hari Selasa lepas, kawasan Cotton, Minnesota, dicatatkan sebagai paling sejuk dengan suhu serendah -48C.
Kawasan Timur Laut AS juga tidak terkecuali. Di bahagian barat New York, rebut salji meninggalkan salji setebal 20 inci, bersama suhu beku dan angin yang sangat sejuk. Kawasan Buffalo dan Brooklyn juga terkesan, di mana lebih 200 orang anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kawasan bangunan komersil. Hospital-hospital dibanjiri jumlah pesakit yang banyak, khususnya kes berkenaan gigitan fros (frostbite).
Paling menjadi tumpuan pastinya Tasik Michigan, Air Tejun Niagara serta sungai di Chicago yang diliputi salji serta menjadi beku dan kaku. Keadaan yang sangat menduga ini turut memberi kesan kepada infrastruktur, sistem pengangkutan, bekalan elektrik serta air. Hanya komuter yang menggunakan diesel meneruskan operasi dalam keadaan penuh waspada, memandangkan banyak trek yang rosak.
Bencana alam ini hadir bersama kos yang sangat tinggi. Pada 2014, fenomena yang hampir sama menyebabkan kerugian sebanyak 5 bilion Dolar AS. Di Minnesota dan Michigan, syarikat pembekal gas merayu kepada para penduduk untuk mengurangkan suhu pada alat pemanas thermostat mereka kepada 17C bagi membolehkan mereka menguruskan permintaan penggunaan yang terlalu tinggi. Syarikat penghantaran di AS terpaksa menggantung kesemua penghantaran selama beberapa hari ke senam buah wilayah di republik tersebut. Kanada juga mengalami fenomena yang hampir sama di Prairies, Quebec, Ontario, Alberta dan Nova Scotia.
Benda ni dikenali sebagai polar vortex, sebahagian dari agenda freemason kot
Fenomena ‘polar vortex’ ini menimbulkan beberapa persoalan dan tanggapan – adakah ini bukti pemanasan global hanya rekaan konspirasi Barat? Dan adakah wujud tangan-tangan ghaib Freemason yang terlibat mengawal cuaca global? Hal ini ditambah lagi dengan tulisan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menyatakan dengan penuh sinis:
“In the beautiful Midwest, windchill temperatures are reaching minus 60 degrees, the coldest ever recorded. In coming days, expected to get even colder. People can’t last outside even for minutes. What the hell is going on with Global Waming? Please come back fast, we need you!”
Tatkala ramai yang berbangga dengan ‘likes’ dan ‘share’ di media sosial masing-masing selaku pahlawan papan kekunci, para pengkaji dan saintis terus melakukan kajian serta pemerhatian mendalam terhadap kawasan Alaska seperti di Fairbanks, di mana mereka mendapati banyak karbon dilepaskan daripada kawasan tanah yang beku, menimbulkan kekhuatiran cuaca akan semakin sukar dijangka. Para saintis terus bertungkus-lumus mengkaji bagaimana cuaca sejuk melampau di AS mempunyai kaitan dengan perubahan cuaca di muka bumi, secara jangka panjang.
Jadi, apa cerita dengan pemanasan global? Gejala perubahan ilkim global tidak selalunya jelas dan mudah difahami. Namun, ‘pusaran kutub’ boleh menjadi kata kunci yang sangat penting dalam membincangkan fenomena ini, untuk kita lebih memahami tentang perubahan iklim.
Benar, banyak kawasan Midwest di AS kini mengalami kesejukan. Namun hakikatnya, salah sebuah agensi di bawah Kerajaan AS, Pentadbiran Oceana dan Atmosfera Kebangsaan AS (National Oceanic and Atmospheric Administration – NOAA) di dalam akaun Twitter rasmi mereka menyatakan bahawa ribut salji tidak membuktikan bahawa pemanasan global tidak berlaku. Malahan, mereka turut memberikan pautan kepada artikel yang mencadangkan bahawa ribut salji tersebut mungkin sangat berkaitan dengan pemanasan global.
Di Malaysia, ada bermacam-macam pakar teori konspirasi yang wujud
Di Malaysia dan banyak lagi negara lain di dunia, ramai yang membentangkan teori konspirasi secara rambang tanpa memberikan rujukan berfakta dan saintifik berhubung isu pemanasan global dan perubahan iklim ini. Hari ni, Kutub Utara menghadapi gelombang panas dengan suhu menghampiri titik beku sekitar 14 darjah Celsius. Pemanasan yang tidak merata menciptakan perbezaan tekanan, dan udara mengalir dari kawasan bertekanan tinggi ke tekanan rendah, kemudian menciptakan angin. Bumi yang berputar kemudian memutar angin ke kanan di belahan utara bumi.
Pengeluaran gas dari rumah kaca hasil aktiviti manusia telah menghangatkan bumi sebanyak satu darjah Celsius sejak 5 dekad yang lalu. Namun, suhu di Kutub Utara telah meningkat lebih dua kali ganda. Pelepasan karbon dioksida daripada pembakaran bahan bakar fosil turut menyumbang kepada pemanasan global. Memandangkan karbon dioksida berada agak lama di kawasan atmosfera, seterusnya memberikan kesan jangka panjang untuk generasi penduduk Bumi pada masa depan. Gas yang dilepaskan daripada rumah hijau akan menyerap radiasi infra-merah, selanjutnya memerangkap haba dan menyimpannya di atmosfera. Hal ini akhirnya membawa kepada pemanasan global.
Dalam beberapa dekad terakhir ini, cairnya ais dan salji di Artik menjadi bukti jelas terhadap perubahan iklim yang ekstrem dan berbahaya. Pemanasan Artik juga menyebabkan jurang perbezaan suhu utara dan selatan Bumi semakin berkurang, dan melemahkan aliran angin. Tatkala ada pusaran yang menghampiri Amerika Utara dan menjadi dingin, suhu di Kutub Utara semakin hangat daripada biasa.
Menurut Pertubuhan Meterologi Dunia, senarai 20 tahun paling panas dicatatkan sejak 22 tahun yang lalu, dengan tahun 2015 dan 2018 direkod sebagai paling tinggi.
Pada tahun 2015, fenomena ‘El Nino’ yang disertakan perubahan iklim global, menyebabkan ribut, banjir dan kemarau di sekitar Amerika Tengah, yang turut meragut nyawa.
Banyak kediaman dan pokok semakin tenggalam di Alaska. Kawasan ‘permafrost’ yang meliputi 25% di Hemisfera Utara, semakin mencair, menyebabkan hakisan dan kerosakan struktur. Bangkai dinasour serta haiwan dan tumbuhan purba yang asalnya beku di dalam permafrost yang dianggarkan sebanyak 1,500 bilion ton, kini semakin banyak mencair dan ditemui, bersama karbon yang dilepaskan.
Ada yang percaya dengan teori HAARP, tapi apa benda tu?
Ada yang menyebarkan teori tentang teknologi High-Frequency Active Auroral Program (HAARP) yang dikaitkan dengan pemanasan global serta cuaca yang tidak menentu yang berlaku di atas bumi sekarang. Ia dikaitkan dengan ejen Illuminati, selain agenda Freemason serta New World Order. Diperkuatkan dengan penerbitan filem ‘Geostorm’ (2017), dikatakan bahawa HAARP dicipta oleh penggerak Illuminati untuk mengawal cuaca dan iklim dengan teknologi yang canggih, bagi memastikan kebanyakan umat manusia tunduk kepada mereka.
Realitinya, HAARP tiada kaitan dengan agenda mengawal cuaca untuk menundukkan manusia. HAARP bukanlah mesin kawalan cuaca seperti yang didakwa, tetapi merupakan program yang digerakkan untuk menjalankan penyelidikan berkaitan teknologi komunikasi, satelit, asteroid, meteor dan sebagainya.
Selain tu, cuaca bumi ni dipengaruhi oleh lapisan atmosfera troposfera yang mempunyai majoriti besar gas dan juga stratosfera yang menghalang sinaran UV daripada matahari, bukannya lapisan ionosfera. Oleh kerana HAARP mensasarkan ionosfera dan memfokuskan gelombang dihasilkan ke satu kawasan ionosfera bersaiz kecil sahaja, mustahil cuaca dapat diubah atau dikawal oleh HAARP. Gelombang radio pun sebenarnya tak mampu mengubah cuaca, seperti yang didakwa oleh para penyebar teori konspirasi.
HAARP bukan satu-satunya fasiliti sepertinya di dalam dunia. Ada beberapa fasiliti lain seperti: Fasiliti Sura di Rusia; Fasiliti EISCAT di Norway; Arecibo Observatory di Puerto Rico; dan HIPAS Observatory (telah ditutup pada tahun 2010). HAARP yang kini menjadi milik Universiti Alaska, juga mengadakan Hari Rumah Terbuka pada setiap bulan Ogos (pada musim panas) setiap tahun kepada orang awam sejak tahun 2015. Jadi, kepada yang berkemampuan, bolehlah ke sana dan melihat sendiri kawasan tersebut.
Agama tak pernah ajar kita untuk sebar berita palsu
Ya, memang bagus memberi peringatan tentang kiamat dan kematian. Tapi, janganlah menyebarkan perkara yang tak betul. Wahyu dari Kitab Suci Al-Quran dan dalil dari Hadith sendiri sudah menceritakan pelbagai tanda-tanda kiamat yang boleh kita sebarkan. Malangnya, isu utama seperti kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian kehijauan alam sekitar khususnya kawasan hutan, tidak pula diberikan keutamaan. Membaca dan mengulas teori konspirasi memang menarik dan mengujakan, tetapi jatuh bahaya bila memesongkan fakta dan akhirnya menjadi fitnah. Jaga alam sekitar, tolak ketaksuban dan berwaspadalah!