Negara maju yang hipokrit, gemar hantar sampah ke negara membangun

Negara maju yang hipokrit, gemar hantar sampah ke negara membangun

Biasa tak dengar bila ada orang baru balik dari bercuti di negara maju, mesti akan ada yang puji macam-macam, kan? Bukan saja kemajuan teknologi di sana yang sering diceritakan, tapi kebersihan juga ‘tip-top’ bak kata mereka.

Sempena setahun era Malaysia Baru ini, kita dapat lihat komitmen kerajaan, khususnya Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) yang begitu gigih ‘memerangi plastik’. Salah satunya kempen ‘I want to break up with Plastic’ dan ‘Say no to straw’. Tak kurang juga, banyak serbuan telah dilakukan oleh MESTECC untuk menutup kilang kitar semula plastik yang tidak berlesen.

Ini menujukkan kita dah mula mengorak langkah untuk mencontohi negara maju…

Tapi ada sesuatu yang kita tak tahu rupanya… Mari kita ikuti kronologi ‘Perang Plastik’ di peringkat antarabangsa dahulu…

China haramkan plastik dari luar…

Buat pengetahuan semua, sebelum ini, China merupakan negara yang paling banyak menerima sisa plastik dari negara-negara lain, khususnya negara seperti Amerika Syarikat (AS), German, Australia dan seangkatan dengannya.  Jadi China yang akan kitar semula plastik-plastik tersebut dan industri kitar semula memang rancak jugalah di sana. Dari AS saja, China menerima hampir 40% sisa sampah mereka!

China mula haramkan sampah dari negara luar. Via CNN

Tapi sejak Februari 2019, China sudah mula haramkan sisa sampah dari negara luar. Kesannya, berlakulah krisis pengurusan sampah di AS. Penduduk di bandar seperti Philadelphia, AS menyaksikan lebih 200 tan sisa sampah dilupuskan melalui kaedah pembakaran setiap hari kerana sampah-sampah tersebut dah tak boleh dieksport ke China lagi! (sumber)

Pengharaman sisa sampah dari luar oleh kerajaan China ini disifatkan sebagai ‘malapetaka’ bagi negara-negara maju ini.

Sisa Sampah kini beralih ke Asia Tenggara pulak

Sebab China dah tak lagi terima sisa sampah mereka, negara-negara maju ini pun hantar sampah ke negara di Asia Tenggara pula. Dan Malaysia salah satu negara yang terlibat selain Thailand dan Indonesia. Nampak tak permainan mereka? Kita pergi negara mereka bukan main bersih, hakikatnya, mereka salurkan sampah ke negara kita pula!

Sisa sampah semakin meningkat di Malaysia yang berpunca dari negara luar. Via CNN

Pengguna dari negara maju, khususnya dari Barat, percaya bahawa dengan mengamalkan kitar semula dapat mengurangkan pencemaran alam, tapi itu semua mitos saja! Walaupun amalan kitar semula ini secara zahirnya nampak terpuji, tapi sebenarnya industri kitar semula mereka akan hantar sisa-sisa seperti plastik ke negara dunia ketiga.

Di German, mereka kitar semula plastik di mesin layan diri. Via InfoMigrants.net

Di Ipoh saja, hampir separuh daripada sisa sampah di tapak perlupusan adalah berasal dari negara luar iaitu AS,China dan New Zealand. Selebihnya berasal dari sisa buangan dalam negara. Itu baru di Ipoh, belum lagi kita ambil lokasi lain. (sumber)

Kenapa negara membangun dan dunia ketiga jadi mangsa?

Selama ini, China menerima sisa sampah seperti plastik adalah kerana mereka nak bantu sektor perkilangan dan pengeluaran untuk dapatkan bahan kitar semula yang murah. Jadi, daripada hasilkan plastik baru, baik mereka kitar semula saja. Tapi sebabkan isu pencemaran dan kesihatan rakyatnya, mereka hentikan pengambilan sisa plastik dari luar.

Sebelum China menutup pintu pada sisa dari luar,ini adalah peta negara luar yang hantar sisa sampah ke China. Via CNN

Bagi negara maju, selain faktor China yang mula menolak plastik, kos untuk mengitar semula bahan seperti plastik adalah lebih murah jika dihantar ke negara dunia ketiga berbanding mereka proses sendiri. Tambahan pula, menurut Basel Convention on the Control of Transboundary Movements of Hazardous Wastes and Their Disposal (atau ringkasnya disebut Basel Convention), negara yang lebih maju boleh hantar sisa sampah ke negara yang lebih miskin.

Katanya nak selamatkan alam, tapi rosakkan alam negara miskin

Ironi, bukan? Mereka hendak selamatkan persekitaran mereka, tapi mereka rosakkan persekitaran negara yang lebih miskin! Jadi, marilah kita sokong usaha kerajaan kita untuk membanteras kilang-kilang haram yang mengitar semula plastik di negara kita.

Jom, kita kurangkan plastik!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print