Baru-baru ni 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak melecur apabila belon berisi gas helium meletup selepas Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 kat Dataran Putrajaya. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rosly Hassan, kata kejadian tu berlaku kira-kira jam 11.34 pagi dan membabitkan sembilan mangsa kanak-kanak dan tujuh dewasa.
Dia kata siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas tamat program berkenaan apabila ada pengunjung dan peserta program mahu mengambil belon digunakan pada gimik perasmian program itu untuk dibawa pulang.
“Siasatan mendapati terdapat tiga gugusan belon berwarna biru, kuning dan merah berisi gas helium yang terikat, cuba diambil pengunjung. Ada saksi berkata berlaku perebutan antara pengunjung di situ yang mahu mengambilnya dengan ada yang menggunakan gunting untuk memutuskan tali, selain ada individu lain menggunakan pemetik api. Penggunaan pemetik api itu menyebabkan belon meletup dan serpihan belon mengenai mangsa yang mengakibatkan mereka melecur,” – Saksi, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian
Kasihan gas helium, disebabkan gas lain dia pulak kena tuduh…
Selalunnya apabila insiden seumpama ni terjadi, kebanyakan media laporkan bahawa letupan tersebut adalah disebabkan oleh gas helium yang diisi ke dalam belon tersebut bagi membolehkan ia terapung. Tapi, ada persoalan; apakah gas yang diisi ke dalam belon tu adalah benar-benar gas helium atau sebaliknya?
Menurut Mohd Adli Wong, helium tak mungkin akan menyebabkan letupan kerana sifatnya yang stabil dan tidak mudah terbakar (non-flammable) walaupun diletakkan berdekatan dengan sumber haba.
Dia yang merupakan salah seorang orang yang kompeten bagi persekitaran merbahaya dan berisiko berlaku letupan (hazardous area and explosive atmospheres competent person) iaitu personnel yang diperakui oleh International Electrotechnical Commission Explosive (IECEx) dan berdaftar dengan ExCB Baseefa UK kata laporan berita berkaitan insiden yang mengaitkan helium sebagai punca letupan adalah tak tepat.
“Dalam kebanyakan kes membabitkan belon terapung meletup ini adalah disebabkan oleh penggunaan gas hidrogen. Ini kerana hidrogen tergolong sebagai gas yang sangat mudah terbakar (highly flammable) apabila wujud sumber haba dan mudah meletup (highly explosive) jika bercampur dengan oksigen. Dalam kes ini, boleh diumpamakan seperti ‘lembu punya susu, sapi dapat nama,” – Adli, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Terengganu pernah cuba nak haramkan belon helium dan hidrogen, selalunya akan jadi gimik perasmian
Dua tahun lepas, kerajaan negeri Terengganu sebenarnya pernah pertimbangkan cadangan untuk haramankan penggunaan belon helium dan hidrogen dalam sebarang acara rasmi kat negeri tu. Menteri Besar Terengganu masa tu, Ahmad Razif Abdul Rahman kata pihaknya mengeluarkan arahan menggantung penggunaannya serta-merta sementara siasatan dijalankan susulan kejadian belon meletup kat negeri tu pada tahun 2016.
“Kerajaan negeri akan melihat semula mana-mana majlis kita yang menggunakan belon jenis ini. Kita akan melihat balik melalui laporan dan kemungkinan kita tidak akan benarkan lagi penggunaan belon ini dalam acara-acara yang diadakan di negeri Terengganu,” – Ahmad Razif, seperti yang dilaporkan oleh Awani
Penggunaan gas hidrogen dalam industri belon terapung adalah disebabkan kosnya yang lebih murah berbanding helium. Tanpa sedar penggunaannya secara salah demi mengaut untung berlebihan lebih mengundang padah kepada pengguna terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang sentiasa teruja dengan belon.
Oleh kerana belon terapung kerap digunakan dalam majlis-majlis keraian sebagai gimik perasmian atau sebagai tarikan kepada pengunjung, selain penjualannya secara berleluasa terutamanya di pasar-pasar malam, perlu ada mekanisme kawalan bagi mengekang kejadian berbahaya macam ni tak berulang.
Pihak berkuasa, terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kena teliti isu ni secara lebih serius dalam memastikan produk belon terapung yang dijual dalam pasaran adalah selamat dan tak datangkan risiko keselamatan dan kesihatan kepada pengguna.