Kisah warga emas kebulur dan terpaksa keluar rumah, akhirnya meninggal dunia

F1

Kita selalu dengar kerajaan cakap – tiada orang yang akan ditinggalkan semasa krisis COVID-19 ni berlaku. Kerajaan pun nampaknya cuba beri bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan mewujudkan beberapa skim bantuan. Cuma, adakah semua orang yang memerlukan dapat dibantu? Beberapa minggu lepas, kerajaan siap larang NGO untuk agihkan bantuan dan kena lalui saluran Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mujurlah arahan itu dah dilembutkan, dan NGO boleh membantu – dengan syarat menepati garis panduan yang ditetapkan kerajaan. Malangnya, walaupun dengan kombinasi kerajaan dan NGO – MASIH ADA LAGI ORANG YANG KEBULUR. Inilah yang kami akan ceritakan pada hari ni.

Masih ada orang yang kebulur sehingga perlu keluar, akhirnya dia meninggal dunia

(Bahagian ini merujuk laporan MalaysiaKini yang bertajuk Tidak makan? Warga emas ditemui maut)

Tindakan beberapa anggota polis di Kuala Lipis, Pahang yang bagi makanan dan minuman kepada seorang warga emas yang dijumpai tersadai di tepi jalan pada Isnin lepas berakhir dengan sesuatu yang tak tercapai dek akal. Pada tahun 2020, masih ada orang yang kebulur di Malaysia.

Ketua Polis daerah Kuala Lipis Mohd Razis Mohd Wahid kata, semalam sepasukan anggota polis yang diarahkan untuk meninjau keadaan lelaki berusia 74 tahun itu mendapati dia sudah meninggal dunia.

“Pagi semalam, saya suruh anak buah saya pergi pusing (lawat). Rumah dia dalam ladang durian. Sampai-sampai, panggil tak ada orang menyahut. Bila pecah pintu, tengok dia dah keras (meninggal dunia) dalam bilik. Mungkin dia nak pergi ambil air, sebab dia terbaring tempat dia nak minum. Bilik dia tu ada dapur, katil. 10×10, kecil saja. Kita tak panggil rumah tu, (kita) panggil pondok. Air tak ada, elektrik tak ada kawasan tu,” – Mohd Razis, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Kata Mohd Razis, lelaki tu dipercayai tinggal seorang dan takde anak dan isteri. Sejak Isnin lepas, tular video yang menunjukkan beberapa anggota dan pegawai polis membantu seorang warga emas di Kuala Lipis.

Sedih kami ketika baca berita ni. Via Giphy

Seorang pengusaha bengkel motosikal berhampiran, Che Amirus Syafik terlihat seorang lelaki tua terbaring dan tersadai di tepi jalan sebelum bertindak membantunya. Katanya, lelaki tua tu beritahu dia dah beberapa hari tak makan dan terpaksa keluar cari makanan. Che Amirus kemudian membelikan beberapa buku roti dan terus beritahu perkara tu kepada balai polis berdekatan.

“Saya dan beberapa anggota (polis) tolong dia hari Isnin, dalam pukul 1 petang. Kita jumpa dia duduk tepi jalan, lebih kurang dalam satu kilometer dari rumah dia. Tanya-tanya dia, dia kata dia penat, bukan sakit. Dia keluar jalan kaki nak beli makanan. Jadi kita hantar dia balik rumah dan belikan makanan untuk dia beras, Maggie (mee segera), air mineral 1 kotak,” – Mohd Razis, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Kita perlu memastikan kejadian seperti ini tak berlaku lagi, semak imbang harus segera dilakukan

Kita perlu akui, sehebat apa pun perancangan dan polisi yang diperkenalkan oleh sesebuah kerajaan, mesti akan ada kelemahan dan kelompangan. Atas sebab ini kami kerap menyatakan – Parlimen perlu segera bersidang untuk membincangkan krisis COVID-19; supaya kelompangan yang kami sebutkan ni dapat dikenalpasti. Apa yang berlaku pada hari ni – kerajaan buat je apa yang diorang rasakan betul, tanpa proses semak imbang.

Kk21
Sidang Parlimen perlu diadakan segera. Via Berita Harian

Kami faham je niat kerajaan baik nak bantu rakyat, tapi kalau perbincangan yang sihat tak berlaku, tentu ada banyak kelemahan dalam rancangan yang diusulkan. Kejadian menyedihkan yang kami ceritakan ni boleh jadi contoh tentang masalah orang yang kebulur kerana tak dapat bantuan. Tak semua orang ada telefon bimbit dan akses kepada Internet, macam mana kita nak pastikan diorang tak ditinggalkan?

Masih ada lagi beberapa kelompok ‘terpinggir’ yang kita kena teliti – warga asing, mereka yang tanpa kewarganegaraan, warga emas, ibu tunggal dan lain-lain. Kebanyakan mereka ni hidup dalam kesengsaraan apabila Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan, kerana mereka memerlukan aktiviti fizikal di luar untuk meneruskan kehidupan. Adakah kita perlu menunggu mereka mati, barulah kita nak akui mereka tak dapat bantuan?

Emco Flat Selangor Mansion Army Lockdown Kl 01
Via FMT

Sebagai masyarakat yang bertamadun, kami rasa korang setuju kot – setiap individu, tanpa mengira siapa orang tu, tak patut dibiarkan kebulur. Diorang perlu dibantu untuk mendapatkan keperluan asas – terutamanya makanan. Kita perlu lebih agresif lagi untuk mencari kelompok-kelompok yang terpinggir. Kita bukan setakat melawan COVID-19, tetapi juga kebuluran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *