Hidup dalam masyarakat majmuk ni, kita kenalah saling kenal-mengenali budaya dan perayaan yang ada pada masyarakat lain. Benda ni penting untuk elakkan rasa prejudis pada kaum-kaum lain. Kan ada pepatah yang cakap; tak kenal mak tak cinta. Kami bukanlah nak korang bercinta dengan bangsa lain (tanpa rasa rela hati), tapi kalau terjadi alhamdulillah. Bolehlah perkahwinan silang bangsa terjadi. Hari ni kami nak kongsikan perayaan yang disambut oleh masyarakat Cina. Benda ni penting taw, sebab selalunya diorang tahu banyak benda tentang budaya kita, tapi kita pulak yang tak tahu tentang budaya yang diorang ada.
1. Tahun Baru Cina, perayaan paling famous masyarakat Cina kat seluruh dunia
Benda ni kalau korang tak tahu, kami tak boleh cakap apalah. Salah satu tanda-tanda Tahun Baru Cina nak mai, akan ada berkotak-berkotak buah Limau. Kaum Cina menyambut Tahun Baru Cina. Tahun Baru Cina merupakan perayaan yang terbesar dan terpenting bagi kaum Cina. Tahun Baru Cina dianggap penting kerana membolehkan semua ahli keluarga yang belajar atau bekerja di luar negara dapat pulang ke rumah untuk berkumpul bersama. Lebih kurang macam kalau kita Hari Rayalah!
Pada Tahun Baru Cina, ibu bapa atau orang yang lebih tua akan memberi ang pau kepada anak-anak sebagai tanda baik agar mereka boleh hidup dengan lebih sihat dan bahagia. Kalau kita, duit rayalah. Sebelum sehari Tahun Baru Cina, semua keluarga Cina akan berkumpul bersama dan makan bersama-sama (reunion) untuk melambangkan bersatu semula atau perpaduan. Masyarakat kita selalu panggil acara ni sebagai makan besar. Kalau masyarakat Melayu pulak, selalunya malam raya kita akan mengemas rumah dan tolong sediakan bahan mentah untuk dimasak. Tahun Baru Cina akan disambut selama 15 hari sehingga Chap Goh Mei.
2. Hari Chap Goh Mei, menandakan perayaan Tahun Baru Cina dah habis
Kalau kita sibuk beraya sampai sebulan, nampaknya masyarakat Cina sambut perayaan Tahun Baru Cina selama 15 hari je. Kiranya kita lagi raya sakanlah. Hari Chap Goh Mei ni merupakan Tahun Baru Cina yang terakhir. Ia jatuh pada hari ke-15 pada bulan 1 dalam kalender cina. Oleh itu, semua orang cina menyambutnya dengan gembira dan ceria – diorang akan makan dan berkumpul bersama dengan ahli keluarga.
Bagi kaum wanita yang belum kahwin, mereka digalakkan menulis nama dan nombor telefon di atas limau mandarin dan dibuang ke dalam sungai. Kalau difikirkan elok-elok, ni macam style dalam WeChat tu kan. Buang something, nanti orang akan kutip, lepas tu berborak. Kaum lelaki yang masih bujang pula boleh mengutip limau yang dibuang agar boleh mencari jodoh mereka menerusi limau mandarin. Boleh jadi novel ni, suamiku dari buah limau. Tapi tradisi macam ni memang best, dan perlu dikekalkan.
3. Pesta Chingay, perayaan kemuncak untuk Cap Goh Meh
Perayaan Chingay merupakan perayaan kemuncak Cap Goh Meh. Perayaan Chingay ni diraikan setiap tahun pada hari ke-21 bulan pertama kalendar Lunar Cina. Chingay merupakan acara agama dan acara budaya tradisi Tiong Hua. Setiap kali Chingay dirayakan, akan ada perarakan yang menonjolkan kehebatan membawa tiang bendera setinggi kira-kira 15 meter dan mengimbarkan bendera tiga segi sepanjang kira-kira 10 meter.
Apa yang menarik dalam perarakan Chingay ialah pertandingan kehebatan pasukan-pasukan Chingay membuat persembahan akrobatik seperti membawa tiang bendera itu dengan menggunakan kaki dan mulut. Sambutan Chingay turut memperlihatkan kenderaan berhias dan diserikan dengan persembahan tarian singa, tarian kebudayaan, pertunjukkan bunga api dan seni mempertahankan diri. Memang gempak ohh.
4. Cing Ming/Cheng Beng, perayaan untuk mengenang nenek moyang yang dah takde
Perayaan ni penting untuk mengenang nenek moyang yang telah meninggal dunia. Anak-anak dan cucu-cicit akan membawa makanan, buah-buahan, kertas-kertas wang ke kubur dan membersihkan kubur nenek moyang. Mereka akan membawa makanan untuk bersembahyang nenek moyang, lepas tu akan berbual-bual sekali.Orang Cina percaya bahawa kertas wang tersebut akan bertukar menjadi duit di alam yang lain.
5. Pesta Duan Wu/Festival Perahu Naga, ada perlumbaan weh
Perayaan ni merupakan perayaan tradisional Cina yang disambut pada hari kelima bulan kelima mengikut kalendar Cina yang melibatkan acara lumba perahu naga. Perayaan ini disambut untuk kenang budi dan jasa seorang menteri Negara Chu semasa zaman-zaman berperang. Dia merupakan seorang penyair yang patriotisme, berbakat dan banyak menyumbang idea untuk memajukan negara Chu.
Tapi, Maharaja terpedaya dengan kata-kata pegawai yang jahat dan mengusir Qu Yuan dari ibu kota negara. Qu Yuan membunuh diri dengan terjun ke Sungai Miluo kerana sedih dan kecewa terhadap maharaja yang tidak mendengar nasihatnya dan akan mengakibatkan kemusnahan negara tu. Rakyat jeleta berasa sedih dan mencari jenazah Qu Yuan di Sungai Miluo menggunakan perahu tetapi tidak ditemui. Lalu mereka melemparkan nasi yang dibungkus dengan daun ke dalam sungai supaya ikan dan udang dalam sungai tidak memakan jenazah Qu Yuan.
Kepelbagaian yang ada kat Malaysia jadikan kita unik
Macam yang kami cakap awal-awal tadi, kita memang perlu tahu serba-sedikit budaya yang ada pada masyarakat lain. Benda ni akan jadikan perpaduan dalam kalangan kita akan jadi lebih power. Kita ada macam-macam bangsa kot, dengan mengetahui keunikan bangsa orang lain, ia akan memudahkan kita untuk lebih menghormati meraka. Jadi, lepas ni – korang nak kami cerita pasal bangsa apa pulak?