Selepas makyung diharamkan sejak tahun 1991 kerana didakwa ada unsur khurafat dan pemujaan, pada Mei tahun lepas, makyung kembali dipertontonkan selepas melalui proses pengubahsuaian kandungan dialog dan mendapat kelulusan dari kerajaan negeri dan Jabatan Mufti Kelantan. Ia pentaskan kepada umum di Dewan Auditorium JKKN, Kelantan berkisar kisah ‘Raja Besar Ho Gading.’
Makyung pernah diharamkan secara terus oleh Kelantan, tapi sekarang lebih ‘berlapik’
Macam kita tahu, selama 30 tahun makyung dan beberapa seni warisan lain disekat daripada dipentaskan di Negeri Cik Siti Wan Kembang tu. Tapi, baru-baru ni, diorang tukar pendirian pulak. Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah mengatakan bahawa takde halangan untuk penggiat seni menjalankan persembahan hiburan termasuk makyung kalau mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS, kata penggiat seni tak boleh jadikan peraturan yang ditetapkan sebagai halangan untuk berseni, namun mereka perlu lebih kreatif mengikut garis panduan.
Sebelum ni, pada September 2017, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri pimpinan PAS tu tetap dengan pendirian mengharamkan persembahan tarian Makyung di negeri tu.
“Kita ada dasar kita sendiri untuk tidak membenarkan persembahan Makyung daripada dilakukan di Kelantan. Kalau nak buat persembahan di luar Kelantan tidak ada masalah…kita kekal dengan dasar kita.”
Tapi, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Datuk Md Anizam Abd Rahman, pernah menyebut yang Kerajaan Negeri Kelantan tak menghalang persembahan tarian tradisional makyung dilakukan kalau mematuhi enakmen hiburan patuh syariah.
Ada gesaan dari wakil PBB untuk seni terus disokong, bukan disekat
Selain larangan persembahan oleh pelakon wanita, persembahan makyung kat Kelantan turut haramkan bacaan mantera, selain persembahan cerita mengenai dewa-dewi. Dari segi pakaian persembahan makyung, sekarang pun dah ada pakaian pemain makyung patuh syariah, malah ramai bertudung lengkap dan menutup aurat.
Gesaan dari PBB Pelapor Khas Hak Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Karima
Bennoune, sebelum ni desak Kerajaan Kelantan memperbaiki hak berbudaya kat negeri tu, sebab masih wujud sekatan terhadap acara seni dan budaya macam makyung, main puteri dan wayang kulit kat Kelantan.
Gesaan ni disebut masa Persidangan Mengenai Seni dan Budaya Antarabangsa Ke-8, kat The Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPac). Bennoune berkata, Malaysia perlu mencari jalan untuk menyokong seniman yang terbabit dengan seni itu.
“Seniman yang terbabit perlu disokong untuk memastikan seni itu terus bertahan, selain diberi bantuan kewangan berikutan kerosakan yang berlaku lanjutan daripada pengharaman itu,” katanya.
Selain makyung, pakyung pun ada yop! Seni makyung sebenarnya turut menampilkan watak lelaki atau lebih dikenali sebagai ‘pakyung’. Antara pakyung yang terkenal adalah Rosnan Rahman. Dia
sendiri ambil masa selama 8 tahun untuk mendalami gaya tarian, nyanyian dan lakonan makyung yang unik.
Anak kelahiran Pokok Sena ni adalah pengasas Kumpulan Makyung Istana Budaya (IB). Kumpulan ni pernah dijemput membuat persembahan kat Universiti Sophia, Tokyo. Walaupun bukan anak jati Kelantan, dia tetap berusaha gigih sehingga pernah memenangi Aktor Terbaik masa Anugerah Seni Boh Cameronian 2012 menerusi teater ‘Rebab Berbisik’.
Makyung juga digunakan untuk tujuan perubatan, turut terima banyak pengiktirafan…
Sejarah Makyung Makyung dipercayai dah bertapak kat negara ni sebelum kedatangan Islam lagi.
Mengikut catatan awal, seni makyung mula diperkenalkan kat Istana Raja Perempuan Pattani pada tahun 1613. Kemudian, warisan ni dibawa masuk ke Kelantan masa pemerintahan Sultan Mahmud IV sekitar tahun 1900.
Drama tari makyung ni merupakan suatu bentuk drama-tari Melayu yang gabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Makyung ni dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau – Indonesia.
Makyung dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Makyung dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultan Kelantan sehingga 1920-an. Sebab tu tradisi ni dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat kat istana seperti pakaian yang berhias cantik.
Banyak pengiktirafan yang diterima seni ni, antaranya sebagai Karya Agung Budaya Lisan dan Warisan Kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2005. Seni Makyung jugak aktif digiatkan kat Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Pada Oktober 2010, ITBM telah menggerakkan Majlis Memperkenalkan Buku Makyung (karya Rahimidin Zahari dan Sutung Umar RS) kat Pesta Buku Frankfurt, Jerman pada Oktober 2010, selain persembahan makyung yang digabungkan dengan wayang kulit Kelantan masa Pesta Buku Antarabangsa Tokyo (TIBF) 2014 kat Tokyo, Jepun.
Makyung bukan tahyul, malah berunsur ketuhanan selain warisan budaya, ada jugak melihat makyung membawa mesej ketuhanan dengan penekanan kepada kepentingan hubungan antara Tuhan dan makhluknya. Sebagai contoh, bangsal atau pentas persembahan makyung menjadi simbol
kepada pentas tempat tinggal manusia, manakala empat tiangnya melambangkan empat huruf yang membentuk nama Tuhan.
Ini ditekankan oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM), Dr AS Hardy Shafii masa Seminar Kearifan Tempatan kat Muzium Negara, yang mengatakan bahawa makyung mengingatkan penonton terhadap hakikat sebenar dan makna kewujudan alam. Benda ni mengingatkan kita kepada sejarah Wali Songo kat Tanah Jawa, yang menggunakan medium kesenian dan kebudayaan dalam menyebarluaskan agama Islam.
Makyung semakin pupus, kita semua harus berusaha untuk memelihara warisan bangsa
Sekarang ni, seni makyung boleh dianggap kurang diberikan perhatian dalam masyarakat, dan tak mustahil ia boleh pupus kalau pelapis muda tak dibentuk untuk menggantikan aktivis sedia ada khususnya pakyung.
Jadi, semua pihak – para penggiat seni, institusi seni dan budaya, badan bertanggungjawab dan penerbit buku; kena mainkan peranan untuk memelihara antara seni warisan tertua kat dunia ni, daripada lenyap ditelan zaman. Makyung adalah warisan kita yang perlu dipertahankan, kerana kalau tak, tak mustahil nanti ada negara lain yang mendakwa makyung tu milik diorang pulak. Ah sudah!