Setiap hari, pasti akan ada satu kes jenayah seksual yang terpapar di dada-dada akhbar. Sejak 2013 hingga pertengahan 2018, terdapat lebih 50,000 jenayah seksual dan keganasan rumah tangga dilaporkan kepada pihak berkuasa. Jenayah ni termasuklah kes rogol, cabul, dera dan sebagainya. Golongan terbesar yang jadi mangsa ialah wanita dan kanak-kanak. Lebih mengejutkan, menurut Women’s Aid Organisation, hanya 10 peratus daripada angka sebenar jenayah rogol berjaya dilaporkan. Menurut Women’s Centre for Change (WCC) pula, setiap 35 minit, satu kes rogol akan terjadi di Malaysia. Jadi jumlah angka sebenar jenayah ini? Anda darablah sendiri.
Ada yang beri reaksi yang lebih teruk, macam takda hati
Bagi sesetengah pihak, mungkin telinga mereka sudah lali mendengar angka dan statistik ini. Jenayah kejam yang menghantui setiap mangsa seakan terlalu biasa sehingga ia tak lagi mengejutkan masyarakat. Walaupun reaksi ni mengecewakan, ada golongan yang lebih teruk dalam memberikan reaksi. Siapakah mereka? Mereka ialah golongan yang sentiasa menuding jari kepada mangsa dengan menyalahkan mereka setiap kali tragedi ini berlaku. Tak perlu lihat jauh, tengok sahaja Facebook.
Kata- kata seperti, “kenapa pakai macam tu? kan dah kene”, “kenapa keluar malam?”, “memang layak pun kene sebab tak jaga diri” pasti akan memenuhi ruang komen berita. Tidak kurang si tukang like dan mengiyakan.
Kalau nak tahu, perbuatan ini dinamakan “victim blaming” atau tindakan menyalahkan mangsa. Jadi kali ini, kami akan berikan hujah mengapa perbuatan ini tak akan menyelesaikan masalah dan hanya mengeruhkan lagi keaadan. Sama ada meletakkan keseluruhan salah kepada mangsa atau sebahagian, semuanya termasuk dalam kategori ni. Ungkapan ini datang daripada seorang psikologi bernama William Ryan dengan bukunya berjudul “blaming the victim” pada 1971.
Di dalam buku tu, Ryan menggambarkan victim blaming sebagai suatu ideologi yang digunakan untuk menjustifikasikan penindasan. Senang cerita, ia merupakan tindakan yang mengalihkan perhatian umum daripada masalah sebenar. Dalam jenayah seksual, nyata-nyatalah pemangsa seperti perogol yang salah, tetapi di mata segelintir pihak, mangsa akan turut salah.
Apa kesan daripada victim blaming ni? Teruk ke kesannya?
Tindakan victim blaming ni pertamanya amatlah memudaratkan mangsa. Seperti statistik di atas, hanya 1 daripada 10 kes dilaporkan, ini kerana mangsa sentiasa takut dan cemas. Sudahlah tidak mendapat sokongan moral, ditambah pula dengan wujudnya komen-komen tersebut. Mangsa mula merasakan bahawa mereka layak mendapat bala dan akhirnya pemangsa bebas tanpa hukuman.
Inilah ketidakadilan yang biasanya terjadi. Bayangkan keadaan mangsa yang perlu mengharungi dua trauma berturut-turut daripada pemangsa dan golongan yang kurang belas kasihan. Kita tidak mahu mangsa takut, kita mahu mangsa melapurkan jenayah ini agar setiap penjenayah mendapat hukuman yang setimpal. Hanya dengan meyakinkan mangsa untuk membuat laporan, kita dapat melihat angka kes yang lebih tepat dan betapa teruknya masalahnya ni.
Hujah kedua adalah kerana jenayah ni memang bukan salah mangsa! Kita mempunyai kecenderungan untuk melihat setiap perkara sebagai cause and effect atau sebab dan akibat. “Kau buat, kau tanggung”. Tetapi tidak semua perkara boleh dilihat dalam perspektif ini, lebih-lebih lagi dalam kes jenayah. Penjenayah adalah golongan tidak berperikemanusiaan yang tetap akan melakukan jenayah demi memuaskan nafsu sendiri.
Dengan menyalahkan mangsa, secara tidak langsung kita memperakui jenayah ke atas mangsa. Seakan-akan kita akan melakukan perkara yang sama kalau kita bersama mangsa. Jenayah ni boleh berlaku dimana-mana tanpa diduga. Oleh itu, janganlah kita menunding jari mentang-mentang belum kene dibadan sendiri.
Kalau nak kata mangsa tak berhati-hati, statistik menunjukkan 75% jenayah seksual dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa. Daripada keluarga dan rakan sendiri. Ini menunjukkan, mangsa memang terperangkap dalam situasi tersebut, bersama orang yang sepatutnya melindungi mereka. Kerana mangsa adalah majoriti wanita dan kanak- kanak, cara berpakaian selalu dijadikan alasan. Kalau pakaian yang salah, mengapa para kanak-kanak dan bayi turut menjadi mangsa?
Kes bayi dirogol oleh suami pengasuh pada tahun lepas misalnya masih jelas dalam ingatan. Apa salah bayi tersebut? Kalau pakaian adalah punca, macam manalah agaknya keadaan golongan yang menyalahkan mangsa ini apabila pergi ke negara-negara barat.
Budaya victim blaming harus segera dihentikan!
Victim blaming adalah suatu sikap penindasan yang menguntungkan penjenayah. Mereka inilah yang perlu diberi perhatian, mereka ini yang perlu dikawal dan dididik untuk menjadi manusia yang berperi kemanusiaan. Mereka harus melihat wanita dan kanak sebagai golongan yang berdarjat dan perlu dihormati dan bukan alat rakusan nafsu. Pendidikan awal akan kesaksaman jantina perlu ditanam sejak kecil.
Wanita hakikatnya sudah selalu behati-hati dan ianya tidak cukup. Kita mahu lahirkan masyarakat yang setiap golongan termasuklah kanak-kanak sentiasa berasa selamat dan aman pada setiap waktu.