Sejak kami menulis artikel-artikel tentang insurans, kami dapati masih ramai pembaca yang masih takde kefahaman asas tentang insurans. Sebab tu kami akan cuba semampunya untuk beri kefahaman kepada pembaca tentang bagaimana insurans tu berfungsi. Kali ini kami bertuah kerana salah seorang pengguna dan ejen insurans sudi untuk berjumpa dan berborak dengan kami tentang insurans.
Kami pun tanya soalan-soalan panas kepada pengguna dan ejen insurans ni, untuk pastikan dia berikan gambaran sebenar bagaimana insurans berfungsi. Untuk pengetahuan korang, kami tanya soalan kat seseorang yang ingin dikenali sebagai Fairuz, dan dia telah terlibat dengan industri kewangan sejak tahun 2007, dan terjun ke bidang insurans pada tahun 2009, sampailah ke hari ini. Maksudnya dia dah ada pengalaman lebih kurang 11 tahun dalam industri insurans.
1. Soalan paling penting, tapi masih susah orang nak jawab. Mengapa masih ramai yang takut nak beli insurans?
Editor ORANGKATA: Kalau kita pergi ke tempat awam, dan bertanya secara rawak kepada orang ramai tentang pemilikan insurans, ramai yang akan kata mereka tidak memiliki insurans. Hakikat ini telah kami sebutkan pada artikel terdahulu. Jika kita tanya orang ramai mengapa mereka enggan memiliki insurans, ramai yang kata ‘takutlah’. Apa pandangan Fairuz tentang hal ini?
Fairuz: Haha (gelak). Ketakutan ini mungkin terjadi kerana salah faham pembeli insurans dengan apa yang diterangkan oleh ejen yang kurang terlatih. Keadaan ini menyebabkan ada media dan penerbit membuat cerita tentang isu-isu seperti; ada orang meninggal, tapi susah nak dapat manfaat dan tuntutan insurans. Keadaan ini menyebabkan orang jadi takut.
Cuma, perlu difahami, insurans sekarang adalah keperluan, bukan lagi aksesori. Sebabnya kalau sakit nak duduk dekat tempat yang selesa sikit, kena ada insurans. Malaysia merupakan di antara negara yang ada kadar inflasi kesihatan yang tinggi, makin lah insurans menjadi satu keperluan. Lagipun, sekarang ni syarikat insurans dah semakin telus, sebab Bank Negara sendiri dah perketatkan kriteria dan kelayakan penanggung insurans. Jadi, hal-hal ini sepatutnya mampu memadamkan stigma dalam kalangan masyarakat tentang insurans.
2. Okaylah, kalau saudara sebagai ejen insurans, apa kaedah terbaik untuk meyakinkan pembeli?
Editor ORANGKATA: Sekarang ni, macam-macam kaedah yang digunakan oleh ejen untuk memberi keyakinan kepada pelanggan sasaran untuk membeli insurans. Salah satu kaedah yang kerap digunakan adalah pergi belanja pelanggan sasaran tu makan atau minum. Pada pandangan Fairuz, apa kaedah terbaik dan betul untuk beri keyakinan kepada pelanggan?
Fairuz: Sebenarnya takde kaedah terbaik yang boleh dilakukan oleh ejen. Apa yang paling penting sebenarnya adalah kesedaran masyarakat tu sendiri. Insurans ni adalah sesuatu yang penting, kalau insurans ni tak penting, takdenya kerajaan akan berikan potongan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada orang yang beli insurans. Apa yang penting untuk ejen adalah memberi peringatan kepada masyarakat tentang kepentingan insurans.
Sekali lagi saya nak beri penekanan, insurans sekarang adalah keperluan, dan bukan lagi aksesori. Insurans bukan sekadar medical card je, ia termasuklah insurans am dan hayat. Kita sebagai orang Islam misalnya, kalau berhutang kena dibayar. Kalau takde insurans sudah tentu ia akan membebankan keluarga yang ditinggalkan. Lagipun, selalunya kalau orang baru dapat kerja, selalunya orang akan tanya pasal insurans dulu.
3. Saudari cakap banyak-banyak ni, pernah ke lakukan tuntutan insurans? Macam mana prosesnya?
Editor ORANGKATA: Macam yang kami selalu tulis dalam artikel, selalunya orang takut nak beli insurans disebabkan oleh proses susah nak claim kalau berlaku apa-apa musibah. Selalu orang cakap; orang insurans ni, kalau nak ambik duit dari kita, laju je. Apabila berlaku apa-apa masalah di kemudian hari, punya payah nak dapatkan tuntutan. Apa komen Fairuz?
Fairuz: Saya ada satu pengalaman yang tak boleh dilupakan tentang seorang pelanggan insurans. Ada satu pelanggan ni dia nak beli medical card, saya cadangkan insurans hayat, dan saya dapati suami dia takde medical card. Jadi, saya cadangkan suaminya beli ‘medical card dan life’ (RM30,000). Ditakdirkan tuhan, 6-7 bulan selepas suaminya melanggan insurans ni – suaminya meninggal kerana alahan makanan laut, padahal sebelum ini suaminya takde masalah itu.
Claim dari pelanggan ni kami dapat berikan dalam masa sebulan. Sebenarnya kami boleh dapatkan dengan lebih cepat, cuma suaminya dimasukkan ke hospital kerajaan, sebab itu laporan kematian datang lambat sikit. Proses untuk tuntutan insurans ni tak susah, prosesnya sangat cepat kalau takde penipuan yang diberikan oleh pelanggan semasa proses awal membeli insurans.
4. Masih ramai yang melihat kerjaya insurans ni sebagai kerja separuh masa je, takde masa hadapan. Komen saudari?
Editor ORANGKATA: Apabila kita tanya tentang cita-cita atau kerjaya yang nak dilakukan oleh kanak-kanak, atau pelajar yang berada di peringkat pengajian tinggi, jarang kita dengar diorang nak jadi ejen insurans. Saya sendiri ada pandangan peribadi bahawa ejen insurans merupakan salah satu kerjaya yang baik, sebab mampu tolong orang. Cuma tentu sahaja orang lain ada pandangan yang berbeza, apa komen Fairuz?
Fairuz: Sebenarnya ejen insurans adalah satu kerjaya yang menarik untuk diceburi, cuma masih ramai lagi yang tak tahu. Ia bukan setakat dapat menolong orang, ia juga mampu membawa pulangan yang baik sebagai kerjaya. Cuma, sebagai ejen insurans kita kena ingat satu benda; iaitu kita harus sentiasa mempertingkatkan value (nilai) dalam pekerjaan kita. Kita wajib ada prinsip dan matlamat yang betul untuk membantu orang.
5. Macam biasalah, kita akhiri pertemuan kita hari ni dengan harapan saudari tentang industri insurans
Editor ORANGKATA: Saudari telah memberikan beberapa jawapan yang menarik untuk pertemuan kita kali ini, perut pun dah berbunyi ni, kejap lagi kita makan. Cuma, sebelum kita makan, saya nak tanya, apa harapan saudari terhadap industri insurans, dan apa pesanan saudari kepada mereka yang belum memiliki insurans?
Fairuz: Saya harap industri insurans akan terus berkembang maju dan terus melindungi orang ramai. Untuk mereka yang belum memiliki insurans, saya sekali lagi nak kata – insurans sekarang ni bukan lagi satu aksesori tapi satu keperluan. Dia macam kalau kita bawak kereta lah, kalau bawak kereta kita kena sediakan satu tayar ganti, kalau-kalau tayar kita bocor di pertengahan jalan. Ramai yang tak nak beli sebab tengah sihat.
Cuma percayalah, untuk elakkan korang terpaksa keluarkan duit yang banyak ketika sakit, atau kena bayar mahal bila dah tua nanti, beli lah insurans!