Kita selalu dengar pasal kelompok B40, tapi ada cadangan nak gunakan B20…

F1

Bila kita bayangkan pasal B40, imej orang miskin terpapar kat depan mata. Rumah kayu yang usang, dan sang tua yang mengharap simpati untuk terus hidup. Bantuan diberi setiap bulan, ada jugak yang bersedekah supaya dapat bantu ringankan kesusahan B40. Adakah mereka yang terus dibantu oleh ihsan masyarakat ni ‘dipinggirkan’ dan ‘dilupakan’ oleh kerajaan sampai kena masuk TV dulu baru wakil rakyat nak turun?

Miskin Malaysia Kampung
Via The Star

Dapatan KRI kata kelompok B40 dah lupus, sepatutnya dah jadi B20…

Kajian terbaru dari Khazanah Research Institute (KRI) kata klasifikasi kelompok ekonomi kita sepatutnya dah diubah mengikut keadaan semasa. Idea mengkelompokkan masyarakat daripada hasil pendapatan isi rumah tiap bulan ni sebearnya dah lama, iaitu bermula pada 2011 supaya sasaran bantuan tu diterima pada mereka yang lebih memerlukan.

Perkembangan Polisi
Dari penggunaan istilah “miskin” menjadi “B40”. Via KRI

Jadi sejak 2014, Malaysia dah sasarkan tiga perkara utama untuk dikembangkan supaya dapat membantu golongan B40 iaitu dari segi penggandaan hasil pendapatan seisi rumah, meningkatkan tahap pendidikan tinggi dan tingkatkan lagi tahap perkongsian pendapatan untuk sekeluarga. Perkembangan ketiga-tiga sasaran ni akan dilihat pada 2020.

Banyak program yang dah dilakukan sebagai strategi bantu golongan B40, antaranya MySalam sebagai perlindungan kesihatan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH). Namun daripada kelompok B40 tu, ada lagi “lapisan-lapisan” tertentu rupanya…

B40 Kri Lapisan
Dalam B40 ni, ada yang lebih miskin dan amat perlukan bantuan..Via KRI

Daripada lapisan-lapisan pengkelompokan ni, ternyata kelompok ekonomi rakyat pun berbeza-beza jugak dengan keperluan masing-masing. Dalam B40 ni, ada yang dah boleh beli rumah. Tapi wujud jugak segelintir rakyat yang masih tak mampu pun beli rumah sendiri walaupun dengan pilihan bantuan yang tersedia oleh kerajaan.

Sebab tulah, KRI cadangkan bahawa klasifikasi terbaharu untuk memudahkan saluran bantuan yang lebih sesuai adalah dengan membahagikan semula lapisan rakyat dari segi ekonomi iaitu B20, M50 dan T30.

Kri Kategori Pendapatan
Via Twitter

Suka hati je nak ubah, rasional ke nak tarik balik kemudahan rakyat?

Cadangan perubahan ni datangnya dari institusi kajian, bukanlah dari pembuat dasar. Ertinya, sebarang perubahan terhadap polisi tu akan dikaji semula oleh pihak kerajaan supaya penstrukturan semula boleh dijalankan seadilnya jika perlu.

Via Giphy

Mungkin kita kena faham jugak kenapa KRI cadangkan perubahan klasifikasi masyarakat ni. Majalah Labur dah ringkaskan menjadi tiga sebab utama kenapa baru sekarang, cadangan tu baru diutarakan oleh KRI. Kami ulas seringkasnya agar korang faham rasional kajian ni.

Pertama sekali, kita kena faham bahawa realiti definisi dan klasifikasi agihan pendapatan ni berbeza untuk setiap negeri. Kalaulah hasil pendapatan kasar keluarga korang adalah RM4,000 lebih… korang termasuk dalam golongan B40 di Selangor tapi M40 kat negeri-negeri lain. Nampak bezanya tak?

Kelas Pendapatan B40
Via Trendsmap

Oleh sebab perbezaan tersebut, wujud kemungkinan terdapatnya mereka yang tak layak dapat bantuan (kalau ikut syarat kerajaan pusat) walaupun mereka ni termasuk dalam lapisan B40 di negeri lain. Tambah lagi, banyak perkara yang harus dilihat semula seperti kadar peningkatan gaji dan kos sara hidup untuk setiap negeri. Sebab tulah cadangan baharu KRI tu nak rapatkan jurang ekonomi masyarakat agar lebih adil dan menyeluruh.

Ikut KRI lagi, golongan B20 adalah mereka yang mampu sediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal sahaja. Malah, kebanyakan dari mereka hanya guna pengangkutan awam seperti MRT, LRT, KTM, Monorel dan bas henti-henti sebagai pengangkutan utama mereka. Tu pun jikalau kat negeri mereka, pengangkutan awam tu cukup efisien dan berfungsi secukupnya.

Via Giphy

Kebiasaannya, golongan B20 membelanjakan pendapatan bulanan mereka untuk makanan, rumah dan pakaian. Mereka mewakili 20% dari populasi rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah RM1,196 sebulan.

Manakala untuk M50 pula, mereka biasanya merupakan golongan pembayar cukai yang tidak memerlukan sebarang bantuan dan subsidi kerajaan. Maksudnya, mereka tak menghadapi terlalu banyak kesukaran nak beli benda lain selain dari keperluan asas. Apa yang mereka perlukan secara ekonominya adalah bantuan dalam memperkasa aset dan akses dalam menambah pendapatan mereka.

Namun begitu, golongan M40 yang sedia ada sekarang ni pun tak tunjukkan sebarang ciri-ciri kelas berpendapatan sederhana. Golongan M50 mewakili 50% daripada populasi rakyat Malaysia dan pendapatan mereka adalah di antara RM1,196 hingga RM3,015 sebulan. Kerajaan boleh memikirkan untuk sediakan bantuan yang lebih relevan kepada golongan M50 ni.

Via Giphy

Golongan T30 pula dilihat tidak mempunyai masalah untuk berbelanja selain dari keperluan asas seperti hobi dan barang aspirasi. Dengan pendapatan bulanan melebihi RM3,015, KRI kata nilah sebenarnya golongan kes pertengahan sebenar di Malaysia.

Menarik jugak ni bila dikatakan dulu, T20 ni dianggap sebagai masyarakat yang berpendapatan tinggi kan…

Definisi Lama T20
Kerangka definisi buat masa ni. Via Babab.net

Dulu Wan Azizah akui benda ni, nak bawa untuk pertimbangan kerajaan…

Sebelum kerajaan pintu belakang merobek kepercayaan rakyat kepada tampuk pimpinan Malaysia kini, Wan Azizah kata dia bercadang untuk membawa idea pendefinisian semula B40 ni ke peringkat pembuat dasar supaya tindakan selanjutnya boleh dilakukan.

“Jika kita (terus) guna (sasaran) B40 sebagai sebuah strategi pengagihan kekayaan, ia bermakna strategi yang sama akan digunakan untuk tiga kelompok utama dalam kategori tersebut – iaitu untuk miskin tegar, miskin dan mereka yang mampu memenuhi keperluan asas mereka. Semua kelompok utama ni perlukan strategi pengagihan kekayaan yang berbeza” – Dr. Wan Azizah Wan Ismail, seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today pada 20 Februari 2020

Wan Azizah Bernama
Via Bernama

Dengan dapatan KRI baru-baru ni, adakah ni bermaksud kita hampir takde dah masyarakat “berpendapatan tinggi”? Adakah kita memang dah terpenjara dalam perangkap pendapatan sederhana (middle income trap)? Perkara ni dah lama disuarakan oleh celik pandai di Malaysia, dan diulangi semula oleh Yeo Bee Yin pada tahun lalu.

“Jika kita tengok pada struktur ekonomi negara, kita terperangkap dalam situasi pendapatan sederhana. Kita kembangkan ekonomi kita dengan tenaga buruh murah, modal dan bahan mentah. Tapi kita tak dapat keluar darinya kerana kita kekurangan mengunapakai kemajuan sains dan teknologi…”- Yeo Bee Yin, seperti yang dilaporkan oleh The Star pada 15 Disember 2019

Middle Income Trap
Ikut carta ni, kita dah masuk tahap ‘pertengahan atas’. Boleh ke kita keluar dari tahap tersebut? Via Slideshare

Kami tertanya-tanya jugak, mampukah PN mengeluarkan kita dari middle-income trap ni sekaligus memberi bantuan sewajarnya kepada kelompok ekonomi masyarakat sepertimana yang dah dicadangkan oleh Khazanah Research Institute? Jika benarlah dakwaan mereka untuk menyelamatkan negara, sewajarnya benda macam ni diambil kira untuk kemakmuran bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *