Heboh jugak baru-baru ni tentang poster sebuah siri drama televisyen Melayu. Kalau sebelum ni, kontroversi memuncak kerana filem Babi dan grafik posternya; kali ni pulak mengenai nama siri televisyen tu sendiri. Ye lah, sekilas pandang… nama siri televisyen tu seakan lawak daripada permainan kata: “Rahimah tanpa Rahim”. Ada jugak yang cuba meneka bahawa ni sekadar siri kisah cinta romantis kaw-kaw.
Namun begitu penjelasan penerbitnya buatkan kontroversi ni semakin menarik, lagi-lagi apabila tajuk siri tersebut menjadi bahan gurauan warganet sehingga ada pulak yang gunakannya sebagai lawak lucah. Rupanya, isu di sebalik drama tu sebenarnya lebih dekat pada realiti yang tak ramai orang sedar…
Tajuk kontroversial jadi topik perbincangan satu Malaysia, penerbit jelaskan maksud di sebaliknya
Pada awalnya, ramai jugak yang ingatkan tajuk tersebut ni hanyalah mainan bergurau warganet. Kot-kotlah ada yang sengaja cipta poster sebagai tanda parodi kepada gosip maya. Poster tersebut kemudiannya tular dan menjadi hangat dibincangkan dalam kalangan warganet. Ada jugak sebahagian yang rasa tertarik nak tau apa sebenarnya tema utama dalam cerita tersebut.
Dari sudut nilai komersial, publisiti macam ni sememangnya baik untuk menarik perhatian bakal penonton. Tak perlu dah belanjakan wang yang banyak demi mempromosikan drama televisyen tu. Siap ada yang ‘tolong’ parodikan lagi poster tersebut, dengan tajuk yang sedikit lucah bunyinya seperti “Zakaria tanpa Zakar” dan lain-lain lagi. Walaupun begitu, siri drama ni sebenarnya membawa isu yang lebih serius.
Sebagaimana yang kita dapat faham, secara asasnya isu yang nak dibawakan tu adalah kisah si Rahimah ni dilahirkan takde rahim. Tetapi ada warganet membalas semula, judul tu tak perlulah ada unsur lucah dengan memaksudkan perkataan ‘rahim’ tu lalu mencadangkan para penerbit agar tukar je tajuk lain. Penerbitnya, Jalena Rejab jelaskan:
“Memang ia mengangkat kisah seorang wanita bernama Rahimah yang dilahirkan tanpa memiliki rahim. Tapi bukannya kita nak persembahkan cerita ini 100 peratus mengenai rahim. Rahimah Tanpa Rahim mengangkat kisah Rahimah yang turut dilanda masalah keluarga dan cinta manakala sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) yang dihadapi Rahimah hanyalah subplot kepada jalan cerita ini. Menerusi drama ini juga, saya ingin tekankan masalah sebenar yang dihadapi kaum hawa di dunia ini khususnya di Malaysia yang lahir tanpa rahim. Saya pertahankan judul drama ini pun sebab nak didik masyarakat mengenai apa kejadian kehidupan Rahimah yang selama ini hidup terseksa,”- seperti yang dipetik Harian Metro pada 21 Januari 2021
Kepentingan hadirnya drama ni, ditambah dengan tajuk yang menarik perhatian ramai sekaligus menjadi perkara baik dalam usaha nak beri kesedaran dan pendedahan terhadap para wanita yang menghadapi sindrom tanpa rahim tu. Sama halnya dengan penyakit-penyakit lain yang kini dah biasa didengari seperti kanser; dulu orang mungkin tak percaya kanser tu wujud sampailah pelbagai usaha kesedaran dan pendedahan tu diwujudkan berterusan.
Rahim tak dicuri makhluk halus, ada penjelasan saintifik mengenai wanita lahir tanpa rahim
Pada suatu masa dulu, mungkin ada je wanita yang dilahirkan takde rahim dan bila nak berubat… dikatakan pulak rahim kena curi oleh mahkluk halus, ataupun ditohmah mandul oleh segelintir anggota masyarakat. Sekarang ni dengan teknologi sains yang lebih baik, kita dah menemukan nama saintifik terhadap situasi wanita takde rahim ni. Sindrom Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser, atau lebih pendek, Sindrom MRKH ni wujud dalam segelintir kecil wanita di seluruh dunia termasuklah Malaysia.
Memetik sebuah laman sesawang Rarediseases.org, sindrom MRKH ni berlaku apabila rahim ni gagal terbentuk dengan baik meskipun tubuhnya nampak sempurna dari luar. Maksudnya, pertumbuhan payudara tu taklah terbantut kerana rahim tu tak terbentuk dengan sempurna di dalam. Selalunya tanda utama kehadiran sindrom tersebut adalah pesakit biasanya mengadu tak pernah datang haid.
Bahkan, ia jugak dikenalpasti mempunyai beberapa tahap. Tahap 1 biasanya fokus pada perkembangan rahim je, manakala tahap 2 pulak ditemukan ada abnormaliti perkembangan organ lain seperti buah pinggang dan tulang. Ia tak menganggu kesihatan pesakit secara amnya, tetapi rata-rata pesakit wanita mengalami tekanan psikologi disebabkan sindrom tersebut.
Dalam sebuah kajian tinjauan terhadap sindrom MRKH di Malaysia pada tahun lalu, hasil dapatan membuktikan bahawa kesan sindrom tersebut benar-benar menganggu emosi dan status perhubungan mereka dengan pasangannya. Salah satu kekangan yang membuatkan mereka semakin sukar nak dapatkan rawatan adalah sikap masyarakat termasuklah para doktor termasuklah gynaecologists yang dikatakan kurang berpengalaman seterusnya acuh tak acuh je hanya sebab pesakit tu tak kawin lagi.
Ada jugak antara pesakit ni berkongsi; bila ibu bapa dapat tau bahawa anak gadisnya tu takde rahim, ibunya seakan menyalahkan diri sendiri dan kerapkali tak suruh anak gadisnya tu bercinta. Menurutnya lagi, ibu pesakit jugak terfikir kalau-kalau masa mengandungkan anaknya tu, dia ada salah makan ataupun suaminya tu ada buat sesuatu yang tak baik sehingga ‘dihukum’ makhluk ghaib. Perkara ni tentunya meninggalkan kesan trauma psikologi yang besar sebab kerana dia, ibu bapanya jugak tak keruan fikirkan salah mereka.
Dapatan kajian ni jugak menyimpulkan bahawa masih banyak ruang yang harus diisi dengan pengetahuan dan pendidikan terhadap kewujudan sindrom ni dalam kalangan wanita di Malaysia. Korang boleh baca kajian tersebut secara terperinci di sini. Yang penting sekali, usaha membawakan isu kesihatan wanita seperti siri drama televisyen perlulah dipuji dan bukanlah perkara yang boleh dibuat gurau lagi.