TIGA filem tempatan yang bertemakan keluarga, ada yang siap dapat anugerah antarabangsa

F1

Kalau ada filem baru keluar, selalunya yang akan menarik perhatian ramai ialah filem bergenre animasi, seram, romantik dan filem dari luar negara seperti filem-filem Hollywood. Jarang sekali filem kekeluargaan yang dapat menarik perhatian penonton di negara ini. Tapi percubaan pengarah seperti Kabir Bhatia (pengarah drama Nur Kasih) nampaknya berjaya memecahkan panggung bagi filem bergenre kekeluargaan pada 2017 dengan filem Bisik Pada Langit. Alang-alang kita bersembang pasal filem dalam genre ini, kali ini kami nak kongsikan beberapa filem kekeluargaan yang bagus dalam mendidik penonton.

1. Bisik Pada Langit (2017), memaparkan sikap ibu bapa yang tak adil dalam beri kasih sayang

Filem ini mengisahkan tentang perjalanan keluarga Wak Selamat (Jalil Hamid) dalam menghadapi kematian satu-satunya anak perempuan mereka, Siti Hajar (Ummi Nazeera). Siti Hajar kemalangan semasa berkonvoi naik motorsikal bersama-sama kekasihnya. Pada awalnya, mungkin anda juga akan rasa marah pada watak Siti Hajar.

Mak bapak hantar kau belajar jauh-jauh sampai Australia, kau boleh ikut pakwe travel naik motor?

Mungkin ada salahnya apa yang Siti Hajar buat tu. Tapi dalam filem ini, dia dah meninggal dunia dah pun. Keluarganya di kampung, walaupun agak kesal, tapi mereka sedih yang teramat mendapat khabar duka ini. Apatah lagi, menguruskan jenazah Siti Hajar untuk pulang ke tanah air bukanlah senang. Keluarga mereka bukan orang senang, ayahnya, Wak Selamat pula hanya buat kerja-kerja kampung.

8a87dc1b 4548 4bd6 921d F79816039449
Babak Wak Selamat mendapat khabar kematian Siti Hajar. Via mStar

Dalam masa yang sama, reaksi adik bongsunya yang jelas sifat cemburu pada arwah juga turut menaikkan darah penonton. Namun, pada akhir filem ini, kita semua akan mengerti mengapa hal-hal sebegini terjadi pada keluarga mereka.

Wak Selamat terlalu tegas menghalang anak perempuannya yang berminat dengan motor. Memanglah, sebagai bapa, pastinya dia risau kalau terjadi apa-apa, apatah lagi dengan satu-satunya anak perempuan. Dalam masa yang sama, filem ini mengkritik sifat berat sebelah dalam keluarga yang nampak biasa dalam masyarakat kita, tapi ianya sangat toksik. Adik bongsu dalam keluarga ini (Naim Daniel) sering disisihkan walau apa-apa pun pencapaiannya, kerana ibu bapanya lebih memberi perhatian kepada si kakak.

Melihat ibu bapa lebih sayangkan adik-beradik yang lain. Via Giphy

Dalam masa yang sama, anak sulung (Beto Khusyairi), seperti anak-anak sulung dalam keluarga lain, terpaksa memikul tanggungjawab dan sering berkorban, hanya kerana dia anak sulung. Apa yang terjadi selepas selesai pengebumian Siti Hajar, barulah keluarganya tahu tentang rahsianya selama ini semasa berada di Australia. Nak tahu? Tontonlah filem ini!

2. Redha (2016), sebuah filem tentang ayah yang tak terima kehadiran anak Autism

Filem ini telah diarahkan oleh Tunku Mona Riza, mengisahkan tentang pasangan suami isteri Razlan (Namron) dan Alina (June Lojong) yang mempunyai anak autism bernama Daniel. Walaupun di pasaran tempatan, filem ini kurang mendapat sambutan, tapi filem ini telah merangkul 3 anugerah di Festival Filem Antarabangsa Kazan, Rusia.

Rasanya tak banyak filem di negara kita yang mengangkat tema seperti filem ini. Setiap anak yang dilahirkan di dunia ini, adalah istimewa. Namun sebagai ibu bapa, bagaimanakah kita bersedia dalam menghadapi situasi seperti yang dialami oleh watak Razlan dan Alina ini?

Filem ini bermula dengan krisis dalam diri Razlan yang sukar menerima kenyataan bahawa anak mereka lahir dalam keadaan autistik. Isterinya saban hari cuba untuk memujuk Razlan untuk menerima keadaan mereka. Orang putih cakap, ‘you have to live with it’. Sampailah, ditakdirkan Alina meninggal dunia secara mengejut.

34b115e2 D3a7 45b4 9d63 8633f83cd8e8
Poster filem Redha. FB

Saat inilah, kita menyaksikan bagaimana seorang bapa tunggal menghadapi hidupnya. Entah mengapa, kejadian yang hampir meragut nyawa Razlan akhirnya mempertemukannya dengan sinar baru dalam hidup. Ketika Daniel sedang bermain dengan pelampung di pantai, tanpa sedar dia dah sampai jauh ke tengah laut. Razlan yang panik terus terjun ke laut dan berenang untuk dapatkan anaknya, malang sekali kakinya ‘cramp’ dan hampir lemas.

Mujurlah ada seorang pelatih sukan renang (Remy Ishak) di situ. Dia selamatkan Razlan. Anehnya, Daniel rupa-rupanya reti berenang. Kejadian itu telah membuka mata Razlan dan dia bertekad untuk luaskan potensi Daniel dengan berpindah ke Kuala Lumpur supaya dapat hantar Daniel belajar berenang dan wakili negara dalam sukan tersebut.

Filem ini sangat informatif bagi anda yang ingin tahu lebih lanjut tentang Autism.

3. Filem Aku Tak Bodoh (2010), sebuah adaptasi filem dari Singapura. Memaparkan kecelaruan anak-anak muda

Filem ini merupakan sebuah adaptasi filem dari Singapura (I am Not Stupid 2). Filem ini mengisahkan tentang seorang pelajar bernama Roy, 16 tahun yang menghadapi liku-liku hidup remajanya. Roy ada seorang adik, Jefri, masih bersekolah rendah dan kawan baiknya pula, Sudin (lakonan Aeril Zafrel).

Orang cakap, nak jaga anak remaja ini sangatlah mencabar. Betul juga. Dalam kehidupan kita, fasa remaja adalah fasa yang paling mencabar. Dari seorang kanak-kanak yang naif, kita kena belajar untuk menjadi dewasa. Tapi, apalah yang kita tahu tentang dunia orang dewasa?

Roy, seorang remaja yang sangat berbakat dalam dunia blog. Filem ini diterbitkan pada tahun 2010, masa itu belum ada lagi media sosial seperti Instagram dan TikTok. Jadinya, menjadi seorang blogger yang berjaya itu samalah seperti Social Media Influencer zaman sekarang ni.

001(2)
Babak Namron bergaduh dengan anak, Aeril Zafrel. Via airaniezlife.blogspot.com

Tapi, pada mata ibu bapanya, menulis blog itu membuang masa saja, walaupun Roy dapat anugerah blogger terkenal. Sudin pula, seorang anak yatim. Ayah dia (Namron) pula bekas banduan keluar penjara. Seperti Roy, Sudin juga seorang remaja yang berbakat cuma bakatnya dalam bidang seni mempertahankan diri. Tapi satu je, Sudin ni tak cemerlang dalam akademik.

Disebabkan sikap ibu bapa yang sering sibuk dan tak pernah hargai dirinya, Roy kecewa. Sampailah satu hari, secara tak sengaja Roy terlanggar bahu dua orang gangster. Eh, tak pasal-pasal gangster jalanan tu kejar Roy. Nasib baik ada Sudin. Jadi Sudin pun belasahlah gangster jalanan yang tak berapa gangster tu. Nah, di sinilah apa yang ditakutkan ibu bapa yang ada anak-anak remaja terjadi.

016604120
Watak Roy dan Sudin. Via airaniezlife.blogspot.com

Gangster-gangster itu mula dekati Roy dan Sudin. Akhirnya, disebabkan layanan yang diterima dalam kumpulan gangster itu sangat baik, Roy dan Sudin pun rasa seronok ikut mereka ke mana-mana. Klimaksnya, bila Roy dan Sudin disuruh curi Iphone tapi sebab diorang noob, diorang kantoi dengan polis. Lepastu, polis-polis tu minta rasuah untuk lepaskan mereka daripada kena tangkap.

Budak-budak remaja yang gelabah tak tahu nak buat apa macam Roy dan Sudin akhirnya pergi meragut pula. Adakah mereka terkantoi sekali lagi? Anda kena tonton filem ini.

Filem ada peranan yang besar dalam mendidik dan mengkritik masyarakat

Filem bukan sekadar hiburan. Tapi filem juga adalah wadah untuk mendidik dan mengkritik masyarakat. Kutipan sesebuah filem itu penting bagi kelangsungan industri ini. Walaubagaimanapun, kita tak sepatutnya menilai sesebuah filem berdasarkan hasil kutipan sahaja. Sebab itu tak pelik kenapa filem yang tak box-office pun boleh dapat anugerah seperti filem Adiwaraku. Untuk golongan ibu bapa pula, tontonlah filem-filem yang kami sarankan dalam perkongsian kali  ini. Moga kita semua akan menjadi ibu bapa dan anak-anak yang lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *