Macam yang kita tau, sehari-dua ni kecoh dengan bantahan daripada banyak pihak pasal isu Pelan Damai Israel-Palestin ciptaan Amerika Syarikat (AS), yang dah tentulah terang-terang digerakkan oleh Donald Trump dan sekutu diorang iaitu rejim Zionis Israel. Ramai yang bangkang pelan ni pasal diorang membelakangkan sentimen dan harapan masyarakat dunia; untuk tengok Palestin jadi sebuah negara merdeka kat tanah yang dijajah Israel.
Apa benda sebenarnya DOTC ni, dan kenapa ia ditolak keras oleh ramai pihak?!
Pelan yang diorang panggil ‘Deal of The Century’ (DOTC) ni menyaksikan AS melalui Trump dan penasihat dia, Jared Kushner nak bagi lampu hijau kepada Israel untuk luaskan pendudukan haram kat wilayah Tebing Barat. Selain tu, diorang nak mengakui kawalan keselamatan Israel kat beberapa wilayah yang dah dirampas sejak tahun 1967.
Ini termasuklah dengan takde rasa sensitif langsung, nak iktiraf Baitul Maqdis untuk jadi ibu negara Israel. AS dengan sengaja menutup mata diorang untuk lihat punca sebenar konflik iaitu; penjajahan haram Israel ke atas tanah Palestin yang wajib diselesaikan dulu. Benda asas pun tak settle, tang mana ‘deal of the century’ nya?
Ini jugak yang John Kerry pernah cakap masa 2013 kat sidang Kongres AS; pelan perjanjian damai Israel-Palestin ni jadi terhalang sebab tindakan jahat Israel sendiri yang suka rampas dan ceroboh tanah rakyat Palestin sewenang-wenangnya.
Tak selalu parti pembangkang dan pemerintah kat Malaysia ni boleh setuju dengan sesuatu perkara. Kalau boleh, asal apa benda pun boleh jadi isu buat berkelahi. Lagi-lagi bila ada kamera dan ‘live’ kat Parlimen. Ada yang dah macam monyet terjerit-jerit tanpa sebab jelas.
Tapi, dalam situasi ni, DAP dan UMNO sama-sama mengutuk pelan damai Trump. Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching ada buat kenyataan media menggesa AS untuk tak melaksanakan pelan ni, sebab boleh merosakkan usaha untuk mencapai keamanan kat Palestin. Sambil menyebut jugak yang pelan Trump tu berat sebelah kepada Israel, dia jugak tekankan yang pelan tu dibuat tanpa ada sebarang perbincangan dengan pihak Palestin.
Macam kita tahu, dalam parti DAP pun ada yang aktif menggerakkan isu kemanusiaan terutamanya Palestin, macam Steven Sim, Timbalan Menteri Belia & Sukan.
DAP jugak sebut yang tindakan unilateral Israel-AS dalam tempoh tiga tahun ni, terutama bila Trump setuju isytihar Baitul Maqdis untuk jadi ibu negara Israel, adalah penindasan yang jelas selain penggubalan ‘undang-undang negara Yahudi’ bercirikan apartheid yang terang-terang melanggar aspek kemanusiaan.
Israel macam biasalah, langsung tak hormati resolusi antarabangsa, dan ikut kepala sendiri je…
Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan pulak dengan tegas sebut pelan Trump tu tak menghormati dan mengambil kira hak, tuntutan dan kepentingan Palestin sebagai pihak berkepentingan yang selama ni diceroboh, diusir dan ditindas Israel.
Dia jugak sebut yang mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu kota Israel, menjadikan Lembah Jordan sebagai wilayah Israel, mengiktiraf semua penempatan haram kat tanah milik Palestin sebagai wilayah berdaulat Israel dan melaksanakan undang-undang Israel kat semua wilayah yang dirampas adalah salah, bercanggah dengan kepentingan Palestin dan melanggar ketetapan undang-undang antarabangsa.
AS mesti hormat dan tunduk kepada desakan masyarakat antarabangsa menerusi beberapa resolusi penting PBB yang mahukan penjajahan Israel ke atas tanah Palestin ditamatkan. Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 sendiri dah sebut benda benda ni pada 23 Disember 2016.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pulak mesti bertindak ke atas Israel yang berterusan melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB yang secara jelas menyatakan bahawa penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967 melanggari undang-undang antarabangsa.
ICC sepatutnya mencontohi Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam mewajibkan ‘provisional measures’ untuk pihak pendakwaan ‘Office of the Prosecutor’ (OTP) untuk mulakan siasatan berdasarkan jenayah yang dilakukan Israel. Benda ni bertepatan dengan Artikel 15 (1) Statut Rome.
Malaysia jadi tuan rumah persidangan antarabangsa LP4Q 2020, kumpulkan ahli Parlimen di peringkat global
Perjuangan Palestin memerlukan kempen besar-besaran daripada masyarakat global untuk menamatkan penderitaan penduduk kat wilayah yang dah bergolak sejak tujuh dekad lalu tu. Pengkhianatan Trump dan AS ni mesti dikritik pemimpin dunia menerusi Persidangan Tahunan Kali ke-3, Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (#LP4Q) yang akan dilangsungkan kat One World Hotel, Petaling Jaya pada 8-9 Febuari 2020 ni.
Persidangan ni dah berlangsung dua kali kat Istanbul pada 2016 dan 2018 dan dirasmikan oleh Racep Tayyip Erdogan (Presiden Turki) sebelum ni, persidangan kali ke-3 kat Malaysia ni dianjurkan LP4Q yang dinaungi oleh Parlimen Malaysia, dengan sokongan NGO-NGO macam ABIM, PCOM, QFM, IKRAM, HALUAN, MyCARE, MAPIM dan banyak lagi.
LP4Q ni adalah kumpulan bebas antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 2015 yang bertujuan mengaktifkan peranan anggota Parlimen dalam menyokong hak asasi manusia Palestin mengikut undang-undang antarabangsa.
LP4Q ni bekerjasama dengan ahli-ahli Parlimen dari seluruh dunia untuk perundingan, koordinasi dan kerjasama mengenai isu-isu Palestin. Kira-kira 3,000 ahli Parlimen telah menandatangani Ikrar Al-Quds. Jadi, ni adalah ruang yang sangat strategik untuk para wakil rakyat zahirkan kesatuan dan kesepakatan diorang dalam isu Palestin, dan kemudiannya buktikan komitmen diorang untuk pembebasan Palestin.
Seperti Syarahan Perdana Palestin masa tahun 2002 yang tampilkan dua tokoh besar, Tun Mahathir dan Ustaz Fadzil Noor (Almarhum), semua pemimpin kerajaan dan oposisi mesti ada jiwa besar dan tunjukkan kesatuan, bila babitkan isu kemanusiaan.
Isu Palestin ni bukan isu agama semata-mata, tapi ia melibatkan isu kemanusiaan
Isu Palestin bukan hanya tentang isu agama atau penduduk kat sana, tapi ia adalah isu kemanusiaan sejagat – apabila nilai nyawa, maruah, kehormatan dan perdamaian hanya memihak kepada Israel. Kita ada peranan untuk angkat dan bela isu kemanusiaan yang berbangkit, terutamanya tentang Palestin. Kita mesti menjadi contoh dalam konsistensi memperjuangkan krisis pada peringkat antarabangsa, bukannya hanya bermusim.