Janji dicapati, anak muda Thailand mengetuai protes besar tuntut perubahan

F1

Lepas berlakunya protes besar-besaran di Indonesia, kini sebuah lagi negara jiran kita turut terpaksa turun ke jalanan untuk menuntut hasrat mereka kepada kerajaan negaranya. Thailand baru-baru ni dah menyaksikan kebangkitan belia yang dikatakan tak puas hati dengan kerajaan dan Rajanya sendiri.

728 X 90

Dah kenapa boleh macam tu pulak? Jom baca ringkasan kami mengenai cerita protes kat Thailand.

Thailand Protest
Via Indian Express

Penat dengan krisis politik negara, belia turun ke jalanan untuk tuntut janji kemajuan dari kerajaan tentera

Meskipun Thailand tak pernah dijajah, ia tak bermakna negara tersebut jugak terlindung dari sebarang rasa tak puas hati rakyat. Dulu kalau korang masih ingat krisis politik 2008 kat sana, hubungan sesama rakyat memang tegang. Ada sebahagian rakyat yang sokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Sinawatra manakala sebahagian rakyat lagi sokong Raja Bhumibol Adulyadej. Pertembungan ni berlanjutan lama, sehingga pada 2009, pertemuan ASEAN terpaksa dibatalkan kerana krisis politik kat sana.

Akibat krisis politik tersebut, sebuah peralihan kuasa dicetuskan oleh pihak tentera pulak pada 2014. Lepas bertahun lamanya kerajaan Thailand yang terbina atas sokongan tentera tu menjanjikan kemajuan, kebebasan dan demokrasi, janji tu tinggal kenangan je lah.

Red Yellow Shirts
Baju kuning sokong raja, baju merah pulak sokong PM… Via Bangkok Jack

Orang muda kat sana akhirnya tak nak lagi terus tunggu, dan mulai menggerakkan protes menuntut janji-janji yang ditabur dulu lepas peralihan kerajaan. Ditambah lagi pada 2019 tu, mereka dah adakan pilihan raya tetapi ramai melihat pilihan raya pertama sejak peralihan kuasa di tangan tentera tu macam tak adil dan sengaja melebihkan kemenangan pada parti pro-tentera, Palang Pracharath.

Pada tahun ni pulak, tak hairanlah jika kita dapat saksikan protes anti-kerajaan yang dipimpin mahasiswa kat sana. Hal ni diburukkan lagi dengan parti progresif yang banyak dapat undi iaitu Future Forward Party ni dipaksa untuk membubarkan dirinya atas arahan kerajaan pada Februari lalu. Arahan pembubaran parti ni buatkan orang muda rasa tak puas hati, lagi-lagi apabila pemimpin tu pun muka-muka yang sama je.

Ikut pandangan Thitian Pongsudhirak, saintis politik dan Pengarah Institute of Security and International Studies di Universiti Chulalongkorn;

“Jika anda dengarkan mereka, satu perkataan yang selalu disebut adalah ‘masa depan’. Selama 20 tahun, mereka hidup dalam politik Thai dan melalui dua peralihan kuasa kepada tentera, dan pada masa yang sama, Thailand tidak bergerak (maju) ke mana”- Seperti yang dilaporkan CNN

Tuntutan paling popular adalah bubarkan parlimen, tukar Perdana Menteri dan letak kedudukan raja ‘mutlak’ kepada peranan raja berperlembagaan

Dengan krisis politik dan pandemik yang sedang berlaku, protes besar-besaran ni dianjurkan di Bangkok’s Democracy Monument dan dianggotai mulanya sebanyak 3,000 orang. Protes ni turut berlaku di beberapa bandar lain serentak dengan penganjuran protes kat Bangkok pada Julai lalu.

Ketika ni, Perdana Menterinya Jeneral Prayut Chan-o-cha hanya menyatakan kerisauannya terhadap gerakan ni dan menasihatkan agar tak langgar adat monarki. Segala tuntutan tu boleh diserahkan kepada parlimen untuk dinilai dalam suatu suruhanjaya yang rasmi. Beberapa tuntutan protes ni secara umumnya memang ada kena mengena dengan reformasi kerajaan dan struktur kuasa raja tu sendiri.

Panusaraya
Panusaya Sithijirawattanakul tengah baca 10 tuntutan kepada raja Thai… Via CNN

Protes tersebut berlanjutan sehingga Ogos, dimana munculnya wajah baharu yang mendominasi suara-suara muda yang inginkan perubahan. Sorang gadis bernama Panusaya Sithijirawattanakul secara lantangnya kemukakan 10 tuntutan kepada Raja Maha Vajiralongkorn, Raja Thailand kini selepas kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej.

Antara tuntutan tu adalah nak minta raja bubarkan parlimen dan tukar perdana menteri, serta mengubal ‘hak-hak istimewa’ yang dinikmati kerabat raja termasuklah Raja Vajiralongkorn. ‘Hak-hak’ yang dimaksudkan ni termasuklah ‘menurunkan’ pengaruh Raja Vajiralongkorn daripada raja yang kebal kepada raja yang perlu patuhi perlembagaan dan perundangan Thailand. Selain tu, para pasukan tentera diraja jugak harus dimansuhkan sekali dengan parlimen yang dikuasai golongan tentera.

Raja Vajiralongkorn
Raja Vajiralongkorn bersama Permaisuri Suthida dan Puteri Bajrakitiyabha…Via CNN

Walaupun di Thailand, struktur kuasa raja tak lagi secara rasminya boleh dianggap sebagai raja mutlak sejak 1934, namun peranan dan kedudukannya dilihat tak membantu menstabilkan pun krisis politik negara tersebut. Raja Vajiralongkorn ni pulak sentiasa terpalit dengan pelbagai khabar buruk dan suka bermewah-mewah, lantaran dia pun hanya datang ke Thailand sekejap je sebelum terbang semula menetap di luar negara. Masa negaranya dilanda pandemik, dia sendiri takde bersama dengan rakyat di Thailand.

Ni berbeza dengan pengaruh mendiang bapanya yang disayangi rakyat. Raja Bhumibol Adulyadej ditangisi ramai dan sentiasa dilihat sebagai antara ketua negara yang menjadi teras semangat Thai. Dia turun ke bendang padi dan melawat rakyat petaninya, tak suka melancong ke sana sini dan pernah memarahi dua ahli politik yang bertikam lidah pada 1992. Dia jugak bijak mengimbangi sokongan antara rakyat dan tentera, apabila dia berjaya memacu perkembangan industri pertanian dan penternakan Thailand.

Kewujudan institusi diraja berperanan jadi orang tengah, kerajaan boleh jadi goyah jika rakyat mulai tak hormat

Tuntutan protes tu pun bukanlah bermaksud mereka nak tolak kewujudan institusi diraja. Sebaliknya, mereka nak tekankan reformasi dan menuntut kebertanggungjawab dengan semangat nak majukan negara. Dalam soal kenegaraan ni, takde rakyat yang nak negara atau masyarakatnya terus mundur ditinggalkan negara lain.

Sudah pasti, takkan lari dari krisis politik tu dalam sejarah politik sesebuah negara. Namun yang lebih penting adalah bagaimana kita nak selesaikan perkara tersebut. Krisis politik yang berlanjutan hanya akan melemahkan negara, dan kewujudan institusi diraja menjadi lebih penting apabila ia berperanan menjadi orang tengah dan pemutus kata dalam apa-apa krisis yang wujud.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *