Akibat pandemik, banyak negara terpaksa tutup sempadan masing-masing termasuklah Malaysia dan negara-negara jiran lain seperti Singapura, Indonesia dan Brunei. Masing-masing kemudiannya menumpukan kawalan kadar jangkitan dalam negara dengan pelbagai pendekatan yang dilihat sesuai sejak awal Januari tahun ni.
Optimis dengan perkembangan semasa, Dr. Noor Hisham kata kita mungkin dah boleh buka sempadan kepada 6 negara zon hijau ni. Jom tengok reaksi dan perkembangan kawalan penularan jangkitan negara-negara ni…
1. Kerjasama Singapura-Malaysia berhasil tangani penularan pandemik, mungkin dah boleh buka sempadan sepenuhnya
Memandangkan ramai rakyat Malaysia yang kerja kat Singapura, ni membawa kepada keperluan untuk Malaysia adakan kerjasama untuk tangani penularan pandemik ni bersama-sama. Jika diimbas semula perjalanan mereka tangani wabak tersebut, mereka boleh dikatakan agak lambat jugak untuk mulakan tempoh kuarantin.
Ketika kita dalam PKP 1, Singapura masih lagi belum laksanakan tempoh pemutus rantaian (PKP versi Singapura). Namun lepas ada lonjakan kes di Singapura, barulah tempoh pemutus rantai tu diadakan untuk bataskan pergerakan orang ramai di sekitar negaranya khususnya di tempat awam.
Tambah lagi, situasi kita kini pun dah tak banyak beza dengan Singapura. Kenaikan jumlah kes beberapa bulan ni datangnya dari pekerja asing, sama seperti keadaan kat Singapura.
Cuma yang berbeza di antara kita dengan Singapura adalah biasanya kerajaan tak terlibat urus penempatan pekerja asing, manakala Singapura bina penempatan khas yang tersusun dan sistematik untuk pekerja asing. Ni membolehkan kerajaan mereka kawal betul-betul pergerakan pekerja asing ni.
Pada Januari lalu, Singapura lebih awal gesa agar kualiti kediaman penginapan pekerja asing harus dipertingkatkan. Menteri Tenaga Manusia Singapura, Josephine Teo jugak menggesa agar para majikan berkongsi maklumat kesihatan dengan para pekerjanya supaya boleh elak dari jangkitan virus tu.
Langkah-langkah ni terbukti berkesan jugak dalam kawalan penularan penyakit, maka baru-baru ni Singapura dah bercadang untuk buka sempadan secara selektif. Ketika artikel ni ditulis, Malaysia tengah perincikan SOP dengan Singapura lagi.
2. Brunei sudah bebas dari wabak, masih berat hati dengan cadangan pembukaan sempadan untuk Malaysia
Kalau nak isytihar negara ‘bebas’ COVID-19, sesebuah negara tu haruslah takde kes baharu selama 2 minggu. Berlainan dengan Brunei pulak… mereka belum nak isytihar lagi sebagai bebas ‘wabak’ secara rasmi walaupun sudah 42 hari takde kes baharu. Terdahulu, Brunei tutup sempadan lebih awal daripada Malaysia.
Brunei jugak dikatakan belum bersedia untuk buka sempadan lagi kepada mana-mana negara buat masa terdekat, hampir samalah dengan keputusannya untuk menunda pengisytiharaan bebas COVID-19. Tetapi menurut Senator Alan Ling, Brunei perlu buka sempadannya semula kepada Malaysia khususnya untuk membawa pulang rakyat Sarawak yang terkandas di sana.
Selain tu, cadangan buka sempadan ni ada kena mengena dengan sektor pekerjaan penduduk Borneo Malaysia dengan Brunei. Senator Alan Ling menjelaskan;
“Malahan ada dalam kalangan rakyat Sarawak yang perlu balik Brunei untuk bekerja semula dalam sektor perkilangan dan pembinaan, namun disebabkan penutupan sempadan mereka mengalami kesukaran untuk merentas sempadan dan ini menyebabkan risiko mereka kehilangan pekerjaan adalah tinggi,”- Seperti yang dilaporkan Utusan Borneo pada 11 Jun 2020
Setakat ni Malaysia masih dalam fasa perbincangan lagi berkenaan pembukaan sempadan antara negara. Ikut pandangan Dr. Noor Hisham dulu, kita boleh amalkan polisi travel bubble, di mana kita hanya buka sempadan untuk beberapa negara je dulu tanpa perlu ujian pemeriksaan kesihatan sepertimana pergerakan rentas negeri sekarang.
3. Kes melonjak naik akibat rakyat tak peka, Australia tumpukan dahulu buka sempadan dengan New Zealand
Baru-baru ni, kerajaan negeri Victoria terpaksa batalkan rancangan untuk longgarkan kawalan pergerakan selepas kes COVID-19 kembali meningkat berpunca aktiviti kunjung mengunjung antara ahli keluarga dan majlis keramaian. Bukan tu saja, sekatan pergerakan domestik pun masih lagi menjadi isu hangat antara kerajaan negeri.
Pada Mei lalu, isu tersebut hangat diperkatakan dan banyak menerima respon negatif dari Ketua Menteri beberapa negeri di Australia. Queensland misalnya tak nak buka sempadan domestik dengan New South Wales disebabkan jumlah kes yang dilaporkan kat New South Wales termasuk Sydney menyumbang lebih dari 3,000 kes daripada 7,000 kes di Australia.
Setakat ni Australia belum menyatakan apa-apa lagi tentang rundingan dengan negara kita. Nampaknya tumpuan negara tersebut adalah untuk buka sempadan negaranya dengan New Zealand terlebih dahulu sebelum bercadang untuk membuka sempadan antarabangsa kepada lebih banyak negara.
Rundingan ni dibuat untuk membentuk “trans-Tasman safe travel zone” bersama New Zealand, selari dengan perancangan awal Perdana Menterinya Scott Morrison dan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. Singapura jugak dikatakan berminat untuk bersama-sama buka sempadan untuk New Zealand dan Australia.
4. Hampir berjaya hentikan jangkitan COVID-19 lepas 3 minggu bebas kes, New Zealand kekal waspada tentang sempadan
Setakat ni New Zealand hanya mencatatkan jumlah kes sebanyak 1,154 kes disahkan dengan 22 kematian; suatu jumlah yang agak sedikit jika dibandingkan dengan Australia. Bahkan New Zealand berjaya kawal pandemik tersebut dengan hanya tujuh minggu sekatan ketat yang dah berakhir pada bulan lalu.
Tentu sekali New Zealand masih lagi berwaspada dan tak leka terlalu awal lagi-lagi apabila negara lain sedang melaksanakan polisi dan pendekatan masing-masing untuk tangani COVID-19 tu. Sebab tu lah New Zealand buat masa ni secara terbuka nak buka sempadan dengan Australia.
Walau bagaimanapun, belum ada laporan rasmi lagi yang kami dapat mengenai sejauh mana reaksi New Zealand dengan cadangan negara kita yang nak buka sempadan antarabangsa. Bila dilihat dari polisi mereka terhadap pelajar antarabangsa, mereka masih lagi belum ada SOP yang khusus untuk menerima kedatangan semula para pelajar asing.
Dengan merujuk polisi pembukaan kemasukan pelajar asing, kita boleh bayangkan kesiapsiagaan New Zealand tentang sempadan mereka. Yang pasti, jumlah kes yang rendah ni sedikit sebanyak yakinkan para pelancong untuk terus datang lepas berakhirnya pandemik tersebut.
5. Pernah diisytiharkan darurat akibat pandemik, Jepun akhirnya berjaya ratakan lekuk kes
Kalau dulu, Jepun antara negara terawal yang dilanda COVID-19 dan menggagalkan cita-cita para pelancong yang berniat nak ke Jepun dulu. Kita pernah menasihatkan mereka yang ingin melancong ke luar negara untuk elakkan melawat negara-negara yang dilanda COVID-19, sehinggakan kita terpaksa menyekat kemasukan para pelancong Jepun ke Malaysia dulu.
Sekarang ni, Jepun antara negara zon hijau yang berjaya ratakan lekuk jangkitan walhal baru April lalu, 7 wilayah di Jepun diisytiharkan darurat. Ia suatu kejayaan yang mengagumkan, dan menarik perhatian ramai. New Straits Time senaraikan antara beberapa faktor yang membolehkan usaha mereka berjaya adalah mutasi virus yang berbeza antara kawasan Asia dan Eropah.
Dari segi isu pembukaan sempadan pulak, Jepun sememangnya dah cadang untuk buka semula sempadan negaranya kepada beberapa negara Asia lain seperti Vietnam, Thailand, Australia dan New Zealand. Walau bagaimanapun, kemasukan tersebut turut mempunyai beberapa syarat tertentu seperti warga asing tak dibenarkan naik pengangkutan awam
6. Reputasi Korea Selatan kawal penularan wabak kian tergugat, sempadan masih terbuka dengan sekatan tersendiri
Korea Selatan dah banyak bantu negara kita dari segi teknologi perubatan dan kaedah kawalan mereka dalam pandemik ni. Seringkali menjadi negara model dan dipuji ramai, sudah tentu Korea Selatan dilihat sebagai negara yang sesuai untuk kita benarkan masuk ke dalam sempadan kita.
Tetapi carian kami memperlihatkan Korea Selatan sedikit berbeza dengan negara-negara lain yang telah kami perhatikan perkembangannya menerusi laporan media. Ketika artikel ni ditulis, Korea Selatan kini tengah menghadapi gelombang kedua pandemik.
Polisi sempadan terbuka yang diamalkan oleh Korea Selatan jugak mengundang pelbagai reaksi, sebab jumlah orang yang nak masuk ke Korea Selatan lebih ramai daripada jumlah kapasiti tenaga kerja yang diperlukan untuk buat pemeriksaan kesihatan sebelum masuk ke negaranya.
Kami rasa Korea Selatan boleh mengawal keadaan ni semula seperti bulan-bulan awal pandemik tersebut meletus, namun kita jugak kena pertimbangkan tahap keselamatan dan SOP yang sesuai. Cadangan pembukaan sempadan ni bukanlah perkara remeh walaupun negara-negara ni adalah negara yang diklasifikasikan sebagai zon hijau.