Raja Buku di Wales, Richard Booth akhirnya meninggal dunia

Richard Booth

Tak selalu kita dapat tengok orang yang nak bina negaranya sendiri dan isytihar diri sebagai raja. Tambah-tambah lagi, negara yang dia nak buat tu guna buku sebagai sumber utama pembangunan kawasan ‘negaranya’ sendiri. Siap buat pasport, bendera dan wang kertas sendiri lagi!

Ni lah dia wang kertas Hay Town. Ada pengumpul wang kertas nak ke? Via richardkingofhay

Hay-on-Wye, kini jadi tarikan para pencinta buku seluruh dunia, pada mulanya hanyalah kawasan desa yang tenang di Hereford, Wales. Bersempadan dengan England, secara sejarahnya ia menjadi ‘benteng pertahanan’ ketika tercetusnya perang antara pihak Welsh dengan England.  Sekarang Hereford dah maju, cuma masa Richard Booth lahir; kampungnya Hay-On-Wye tak semaju mana.

Richard Booth dapat idea nak buat ‘pekan buku’ sebab  Amerika

Lahir pada 12 September 1938 di Plymouth, dia dengan keluarga dia pindah ke Hay-On-Wye pun sebab keluarganya dah dapat estet warisan di sana. Lepas beberapa tahun membesar kat sana, dia dapat pula peluang nak belajar di Oxford dalam jurusan sejarah. Tiba-tiba hidupnya pun beralih arah bila dia dapat kerja sebagai akauntan kat sana. Masa tu, kerja jadi akauntan ni boleh tahan juga.

Entah kenapa, hati dia tak sedap pulak. Hanya tiga minggu je dia tahan, terus dia pulang semula ke Hay-On-Wye.  Pada 1961, dia beli ni satu bangunan lama yang merupakan bekas stesen bomba dan bina kedai buku pertamanya. Taklah seunik impiannya, nama kedai buku si Richard Booth ni adalah “The Old Fire Station” pada 1962.

Bukan setakat restoran je ada ‘open air’, kedai buku pun ‘open air’. Ni adalah salah sebuah kedai buku terpakai di Hay-on-Wye. Via Solosophie

Lumrahlah kalau jadi penjual buku ni, dia kena banyak merantau untuk cari buku baharu. Kebanyakan buku yang dia dapat pun biasanya datang dari usaha dermaan buku terpakai dari beberapa keluarga kaya, pengedar buku yang dah bankrap dan pihak gereja. Kemudian, dia luaskan pilihan nak beli buku terpakai daripada universiti di Amerika. Sepanjang dekad 60-an hingga 70-an, lawatan peribadinya ke Amerika buatkan dia takut.

Eh, dia nak takut apa? Dia takut dengan suasana tempat membeli belah yang ada di Amerika. Bagi dia, kawasan tempat membeli belah ni takde ‘jiwa’. Buku terpakai ni macam suatu lawan pada kapitalisme yang dia nampak di Amerika.

Nak jadi raja sebab tak percaya dengan kerajaan…

Yakin dengan kemampuannya jadi raja tanpa campur tangan para politik di England, maka pada 1977 tu dia isytihar dirinya jadi raja. Memetik kata-katanya:

“The divine right of Kings is better than the divine right of officials”

Baginya, lagi bagus ada raja sebab tak payah nak berpolitik. Pengisytiharan dia ni bolehlah kita anggap disambut baik oleh orang tempatan. Kebetulan masa ‘pertabalan’nya, ada dua orang budak lelaki tengok upacara tu dilangsungkan. Bila dia buat begini, seluruh United Kingdom terkejut. Boleh pulak isytihar diri sendiri jadi raja. Dah tu, boleh pula buat kempen Hexit pada 1978. Macam cerita Brexit jugalah, Hay Town nak keluar dari Eropah.

Dah dia jadi raja, macam mana pula dia pilih menteri-menteri dia? Hah, ni lagi unik. Perdana Menteri dia adalah seekor kuda! April Ashley, rakan modelnya diangkat sebagai ‘Duchess’ manakala ‘kabinet menteri’nya diisi oleh kengkawan dia juga.

Boleh tahan rock kapak juga ‘Raja’ Richard Booth of Hay Town. Via Telegraph

Biasanya ‘mesyuarat kabinet’nya akan dijalankan sekali sebulan di sebuah pub. Kalau Amerika ada C.I.A sebagai pusat spy, ‘raja buku’ Richard ni pun ada jugalah… nama organisasi spy dia ialah C.I.Hay (sempena nama pekan kecil tu, Hay Town).

Pendekatan yang  pelik tu lah yang  selalu menarik…

Sebelum dia umum dirinya sebagai raja dan Hay-On-Wye sebagai kawasan yang ‘bebas’ dari birokrasi kerajaan pusat di London, takde orang nak tengok Hay Town. Ketika tu, sumber ekonomi para penduduk tempatan adalah pertanian dan perdagangan kecil je. Richard Booth tengok potensi kawasan Hay Town ni boleh dikembangkan jadi pusat sesuatu supaya lebih ramai pelancong akan datang, sekaligus boleh tolong majukan ekonomi luar bandar.

Tambah lagi, salah satu cara nak ‘bebaskan’ Hay Town dari campur tangan ahli politik adalah bila penduduk tempatan dapat jana ekonomi sendiri. Keyakinan ni buat semangat dia makin kuat dan jitu. Kekuatan semangat ni berjaya marakkan semangat dan minat penduduk tempatan bila dia berjaya buka enam kedai buku. Salah satunya adalah kedai yang paling terkenal, iaitu Richard Booth’s Bookshop. Masih berdiri sampai sekarang ye!

Berdiri penuh bangga depan kedai buku miliknya. Via BBC

Hasilnya, kira-kira 30 buah kedai buku terpakai yang wujud sekitar Hay Town. Pada 1988, usaha dia nak tarik perhatian orang ramai lebih besar apabila dah mula buat Hay Festival. Korang tekalah berapa ramai yang datang masa festival julung kali diadakan? Sam Roberts kata, dalam puluhan ribu juga orang datang.

Pada 2004, dia dianugerahkan Member of the Order of British Empire (MBE). Anugerah ni dikurniakan kepadanya kerana usaha dan tenaganya berpuluh tahun mempromosikan pelancongan.

“Hail, Raja Hay-On-Wye!” Via Y Lolfa

Walaupun dia dah suka hati umum dirinya ‘Raja Hay Town’, ternyatalah ia lebih kepada sekadar gimik berbanding sebuah permintaan yang serius walaupun dia ni terlibat dalam Parti Buruh Sosialis dan pernah bertanding pada 1999. Antara penerima anugerah ni yang korang mungkin kenal adalah Ed Sheeran.

Kehilangan yang amat besar buat warga Hay Town…

Pemergiannya pada 19 Ogos lalu sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah. Idea gilanya yang nak tengok Hay Town maju dengan perusahaan buku buatkan banyak pekan kecil terinspirasi dengan usahanya. Apa tidaknya, kesan rantaian daripada kedatangan pencinta buku terpakai dah hidupkan Hay Town.

Suasana masyarakat kat Hay-On-Wye. Via TripAdvisor

‘International Organisation of Book Towns’ pula dah ditubuhkan dengan niat supaya boleh kumpulkan wakil penjual buku dari pekan-pekan buku. Daripada Hay Town, seterusnya pekan buku dibuka di Belgium, Perancis, Belanda, Switzerland, Norway dan Finland… sehinggalah Malaysia. Setakat September 2019 ni, cuba korang tengok senarai keahlian organisasi antarabangsa tersebut. Hanya kita dan Korea Selatan je jadi wakil tau!

Malangnya ramai laporkan wakil kita, iaitu sebuah projek yang dimulakan pada 1997 di Pulau Langkawi dinamakan Langkawi International Book Village dianggap ‘mati’ dah. Meskipun ramai pelancong puji keindahan suasana Langkawi, tapi ia tak ‘semeriah’ pekan buku seperti Hay Town.

Nampak macam sunyi je kan? Seronok kalau nak membaca, tapi sambutan pun macam suam-suam kuku je. Via Langkawi Insight

Nampaknya banyak juga kita kena belajar dari mendiang Richard Booth. Buku bukan setakat hanya untuk mendidik diri dan masyarakat. Richard Booth dah buktikan potensi buku sebagai suatu komoditi yang bernilai tinggi . Visi Richard Booth kena diteruskan kerana kita pun dah nampak kan impak ekonomi yang dibawa kerana buku, betul tak?

Kuala Lumpur pun dah nak dijadikan sebagai Kota Buku UNESCO kelak pada 2020, maka kita kena sedia untuk ambil peluang dan sokong. Bukan setakat beli, tapi korang juga boleh jual sendiri buku terpakai sebagai pendapatan sampingan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *