Tak ramai dapat meneka apa yang bakal berlaku semasa pagi 8 Julai lalu di Nara, Jepun. Jepun tengah dalam proses pilihan raya, di mana Shinzo Abe; nama yang cukup popular dan pernah dinobat PM paling lama berkhidmat di Jepun, masih aktif turun berkempen untuk calon partinya. Ketika dia jadi PM, pelbagai polisi telah dia perkenalkan. Latar politik dirinya yang bercorakkan nasionalis konservatif banyak mengubah lanskap politik di dalam dan luar negaranya. Namun begitu, dia menerima sokongan yang agak besar sehingga dah pegang tampuk pentadbiran Jepun selama empat penggal.
Shinzo Abe baru berumur 68 tahun, sebelum menemui ajalnya akibat tembakan dari senjata api yang dihasilkan sendiri oleh sorang bekas tentera. Masa tu, takde orang jangka benda macam ni boleh berlaku sebab sangat jarang berlaku kes tembakan ni di Jepun. Suspek tu pun tak larikan diri, malah tak melawan langsung pun bila ditahan. Dia sendiri tak nampak serba salah atau menyesal tembak Shinzo Abe. Patutlah tak nampak pun rasa bersalah tu, kerana apa yang dia percaya, Shinzo Abe lah pemusnah masa depan keluarganya.
Shinzo Abe mati dalam perjalanan ke hospital, suspek dah lama rancang nak bunuh wakil tertinggi organisasi gereja rahsia
Ketika kejadian, Shinzo Abe tengah berucap di luar stesen kereta api Yamato-Saidaiji di Nara sempena kempen untuk calon partinya Liberal Democratic Party (LDP), Kei Sato di sana. Sedang dia tengah berucap tu, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan sebanyak 2 kali. Dalam satu rakaman klip video, korang boleh tengok betapa terkejutnya orang ramai yang mengikuti sesi ucapan tersebut. Abe dikejarkan ke hospital di Nara menggunakan helikopter namun tak dapat diselamatkan. Mengikut laporan, dia dah meninggal dunia dalam perjalanan akibat kehilangan darah yang sangat banyak meskipun dah 4 jam diberi pemindahan darah sebanyak 100 beg darah.
Suspek, dikenalpasti sebagai Tetsuya Yamagami berusia 41 tahun dan tak pernah ada rekod jenayah. Akan tetapi, dia ada dendam bukan setakat dengan Shinzo Abe je, tapi dengan seluruh organisasi yang dianggap dah menyusahkan keluarganya. Sejurus lepas tembak Abe, dia ditahan terus oleh pasukan sekuriti dan dibawa ke balai polis Nara atas dakwaan percubaan membunuh. Bila Abe disahkan meninggal dunia, dakwaan tu bertukar pulak kepada kesalahan membunuh.
Menurut laporan beberapa media Jepun, dia memang sorang yang pendiam dan pemalu. Dia sertai pasukan maritim Jepun pada Ogos 2002, ditempatkan di Pangkalan Laut Kure dan ditugaskan berkhidmat untuk kapal pemusnah JS Matsuyuki. Dia dilepaskan dari tentera pada 2005, berpangkat Quatermaster. Tak banyak diketahui dengan apa yang berlaku untuk 15 tahun lepas dia jadi tentera. Pada Oktober 2020, Yamagami kerja semula sebagai pengendali jentera angkut-susun (forklift) di Kyoto. 2 tahun kerja, dia berhenti dengan alasan ‘tak berapa sihat’.
Yamagami kelihatan tenang semasa dalam tahanan polis. Ketika disiasat, dia kata motifnya lebih berunsur peribadi berbanding politik. Yamagami cerita, ibunya ni dilihat terlalu fanatik dengan Unification Church selepas bertahun-tahun sertai organisasi keagamaan tu. Tahap fanatiknya tu sampai membuatkan ibunya tu rela isytihar bankrap selepas menderma dengan jumlah yang agak besar kepada organisasi tersebut. Ibunya mula libatkan diri dalam organisasi agama tu sejak 1998, kemudian berhenti kejap sekitar 2009 dan 2017.
Ibunya kembali aktif pada 2019 atau 2020. Organisasi tu taknak beritau berapa jumlah derma yang diberikan oleh ibu si Yamagami sejak 1998, dengan alasan diorang tak simpan sangat rekod dermanya. Pengerusi Unification Church, Tomihiro Tanaka sahkan bahawa ibunya memang sorang anggota dalam organisasi tersebut, namun menolak isu kaitan rapat organisasi tersebut dengan Abe. Diorang kata, Abe cuma mesra dengan diorang je tapi bukanlah anggota rasmi Unification Church.
Rancangan awal Yamagami sebenarnya bukanlah nak tembak Shinzo Abe. Sebaliknya, dia nak bunuh pegawai tertinggi Unification Church. Tapi kebetulan pulak, Shinzo Abe memang perlu turun berkempen ke sana ke sini… jadi dia putuskan nak bunuh Shinzo Abe. Dia mula meneliti pergerakan Abe di beberapa lokasi sebelum hari kejadian, dan dah rancang serangan tu selama beberapa bulan. Sehari sebelum kejadian di Nara, Yamagami dah bersedia nak tembak Abe di Okayama. Tapi masa tu, protokol keselamatan yang ketat memaksanya batalkan rancangan tersebut. Jadual Abe kemudiannya berubah ke bandar Nara pada 8 Julai, dan Yamagami terus ikut pergerakan Abe menerusi maklumat di laman web rasminya. Nara tak jauh dari rumahnya, jadi tak sukar pun nak kejar Shinzo Abe dan laksanakan rancangannya tu.
Jepun berkabung selepas kehilangan Abe, negara jiran pulak bersorak gembira
Sementara Jepun sedang berkabung selepas kehilangan Shinzo Abe, lain pulak reaksi negara jiran. Sementara duta-duta negara lain mengutus ucapan simpati dan takziah, warganet di Korea Selatan dan China bersorak gembira mendengar khabar kematian Shinzo Abe. Bahkan, ada yang kaitkan tindakan Yamagami bunuh Abe tu ada kena mengena dengan parti-parti negara jiran tersebut. Walaupun buat masa ni, belum ada bukti kukuh bagi dakwaan tersebut. Spekulasi ni tak dinafikan memang menarik jugak, sebab Yamagami ni bekas tentera. Dahlah bertahun takde sejarah pekerjaan rasmi, kemudian ditemukan pulak beberapa senjata api buatan sendiri di rumahnya – maksudnya dia mahir buat senjata api.
Yamagami dikatakan buat sendiri senjata api tersebut, dengan ada beberapa laras lagi ditemukan di rumahnya. Sejarah carian dia pun penuh dengan topik pembuatan senjata dan bom. Mulanya dia nak gunakan peledak, tapi dia risau pulak bila pakai bom… orang lain pun kena jugak. Selain tu, takde jaminan orang yang disasarkan tu akan mati. Jadi nak tak nak, senjata api adalah jalannya. Dia sendiri uji senapang patahnya (polis Jepun kata tu sepucuk pistol) kat beberapa kepingan kayu tebal, kemudiannya di pintu hadapan rumah ibadat keagamaan di Nara. Penduduk tempatan kata pada malam 7 Julai tu, diorang memang ada dengar bunyi yang sangat kuat. Polis percaya tu kerja Yamagami yang sedang uji senjatanya untuk rancangan pembunuhan tersebut.
Berbalik kepada kesan kematian Shinzo Abe kepada negara-negara jirannya… ramai mengimbau semula kenangan diorang dengan Abe dengan rasa yang agak pahit. Memandangkan Abe ni dari puak sayap kanan Jepun, iaitu dari aliran konservatif dan nasionalis Jepun, dia banyak cetuskan kontroversi. Misalnya masa dia jadi PM dulu, kerapkali Tokyo cuba nafikan bahawa Jepun ada kaitan dengan kewujudan ‘wanita penghibur’ (comfort women). Para wanita penghibur ni diambil dalam kalangan wanita Korea, dimana ramai turut dijadikan hamba seks dan pelacur semasa zaman penjajahan Jepun. Dah tu, dia cuba nak kata dengan penjajahan Jepunlah, tanah Semenanjung Korea dapat maju macam sekarang. Tentulah naik marah rakyat Korea Selatan… kalau kena kat kita, pun kita naik marah jugak.
Selain tu, Abe jugak agak kritikal terhadap China. Lepas dia dah habis jadi PM pada 2020, Abe selalu tegur tindakan Beijing ke atas kawasan Indo-Pasifik. Abe lebih rapat dengan kuasa Barat khususnya Washington sebagai pemberat kepada kuasa China – suatu tindakan yang biasa dilakukan oleh negara-negara Pasifik termasuklah kita di Asia Tenggara. Dia dikatakan turut terlibat dalam proses pemindahan vaksin dari Tokyo ke Taipei, semasa Taiwan tengah alami krisis jangkitan Covid yang meningkat dulu. Ini buatkan Abe lebih rapat dengan para pemimpin Taiwan termasuk Presiden Tsai Ing-wen.
Walau bagaimanapun, para pemimpin kedua-dua negara takdelah keluarkan kenyataan negatif tentang Shinzo Abe. Tambahan lagi, pemimpin kedua-dua negara cuba untuk berbaik dan memulihkan hubungan diplomatik yang ada demi kesejahteraan rantau Pasifik. Diorang masih lagi berkongsi kegusaran terhadap ancaman Korea Utara, Kim Jong Un dan banyak lagi kepentingan serantau.