Ubat kandungan ganja dibenarkan mulai tahun depan, akan umum garis panduan nanti

pokokganja

Sebut je ganja atau kanabis, orang dah tau bahawa ni dikategorikan sebagai salah satu jenis dadah yang merbahaya. Siapa-siapa yang didapati ambil ganja boleh dipenjarakan atau lebih teruk, dihukum gantung. Kempen jauhi dadah yang berlangsung berpuluh-puluh tahun lamanya boleh dikatakan berjaya mendidik masyarakat tentang bahaya dadah, termasuklah ganja ni. Namun lama-kelamaan, dah semakin banyak pihak mulai memperjuangkan kebaikan ganja tu pulak. Tak seperti dadah yang lain, ganja ni dianggap selamat dan bagus untuk rawatan penyakit tertentu.

Hujah pihak yang pertahankan ganja banyak petik contoh amalan dari luar negara seperti Amerika Syarikat. Diorang kata, ganja ni sebenarnya baik dan perlu diangkat sebagai satu lagi jalan perubatan alternatif selain dari ubat-ubatan kimia. Melihatkan perkara ni, kerajaan ambil keputusan nak teliti semula penggunaan ubat berasaskan ganja…

ganja
Via ISMAweb

Dakwaan ganja baik untuk kesihatan semakin bingit, prof dari UM ni jelaskan hakikat kebaikannya

Sebelum ni, ganja atau kanabis memang dianggap sebagai suatu yang tak patut diambil. Kalau ada yang nak ambil pun, kena ambil senyap-senyap. Kena tanam senyap-senyap. Apabila diketahui oleh pihak berkuasa, ramai dah kena tangkap sebab di Malaysia, semua jenis kanabis (ganja dan marijuana) digolongkan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kanabis ni merupakan sejenis tumbuhan yang ada cannabinoid. Difahamkan, terdapat lebih 100 jenis cannabinoid di dalamnya dan paling biasa ditemukan ialah CBD (cannabidiol) dan THC (Delta 9 tetrahydrocannabino). Walau bagaimanapun, kadar kandungan CBD dan THC berbeza bagi setiap jenis tumbuhan dalam golongan spesis ganja. Dibandingkan marijuana dengan hemp, kandungan THC tu sangat tinggi dalam marijuana. Hemp pulak takde THC, namun tinggi kandungan CBD.

minyakcbd
Minyak CBD antara produk laris di pasaran luar.. -Via Harvard Health

Ikut kefahaman kita dahulu mengenai kanabis, apa-apa jenis kandungan bahan psikoaktif seperti THC adalah bahaya. THC ni merujuk pada semua bahan yang mampu beir kesan kepada otak, sekaligus boleh menyebabkan perubahan dari segi kewarasan, tingkah laku dan kebolehan berfikir.

Pada hari ni, kita pun dah banyak menguji teori tersebut. Hasilnya, banyak negara lain di luar sana yang mulanya mengharamkan penggunaan ganja… akhirnya ambil keputusan berani untuk benarkan ganja digunakan secara bersyarat. Kami faham, ramai masih ragu lagi sebab dikhuatiri akan menyebabkan ketagihan.

cbdtablet
Via Euphoria

Menurut Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Prof Madya Dr. Rusdi Abd Rashid;

“(Langkah penilaian) sangat bertepatan, sebab penyelidik sudah lama berusaha tetapi gagal kerana sangat sukar mendapatkan kelulusan etika perubatan disebabkan stigma tumbuhan herba ini yang dikaitkan dengan ketagihan, sedangkan bukan semua bahagian pokok hemp (antara tumbuhan kanabis) boleh menyebabkan ketagihan.

Misalnya CBD atau cannabidiol (antara kandungan aktif dalam pokok kanabis), tidak menyebabkan ketagihan atau ‘high’ malah berpotensi sebagai ubat untuk autisme, tahan sakit, antimurung dan mengubati penyakit ketagihan ganja itu sendiri,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Potensi kanabis ni dilihat sangat besar, dan mampu dijadikan ubat untuk autisme, tahan sakit, anti murung dan penyakit ketagihan tu sendiri. Secara langsung, ini membuka pintu kepada lebih banyak pilihan rawatan untuk para pesakit mental. Berkenaan ia jadi ubat kepada penyakit ketagihan tu sendiri, kami teringat pada nikotin dan kempen anti-rokok yang selalu dilaungkan. Untuk berhenti ketagih rokok, pelekat nikotin (bahan yang buat orang ketagih dalam rokok) boleh didapati di farmasi dan kedai farmaseutikal sebagai salah satu cara kurangkan amalan merokok.

KKM benarkan produk perubatan kanabis tahun depan, rangka kerja CBD diumumkan tahun ini

Baru-baru ni, KKM umumkan dah benarkan produk perubatan mengandungi kanabis atau ganja CBD bermula tahun depan. Keputusan ni dibuat setelah kajian awal kementerian dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati, terdapat bukti penggunaannya boleh bantu pesakit yang tengah alami penyakit tertentu.

marijuana meduse
Via Says.com

Ini suatu berita gembira dan sinar harapan buat mana-mana pesakit yang memerlukan kebaikan produk ubat berasaskan ganja ni. Namun begitu, tak mudah ya… produk CBD ni hanya boleh digunakan bagi tujuan perubatan dan diperoleh melalui preskripsi doktor di klinik serta hospital. Ia tak boleh suka-suka dibeli dari mana-mana pihak. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kata:

“Bila bawa masuk CBD, ia tidak boleh dibeli di kaunter. Ia mesti melalui preskripsi. Bila dah ada produk di sini, doktor dah tahu macam mana nak bagi CBD. Tiada guna kita bagi kebenaran lesen untuk bawa masuk CBD tapi doktor tak tahu macam mana nak bagi preskripsi. Itu yang akan ambil masa sedikit. Jadi jangka masa tahun depan adalah realistik.”- seperti yang dilaporkan Remaja.my

Ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar dulu, Khairy Jamaluddin umumkan bahawa sesiapa yang nak usulkan bab penggunaan ganja ni, perlu kemukakan permohonan. Permohonan penggunaan kanabis untuk perubatan ni akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk penilaian dan akan didaftarkan sekiranya ada bukti saintifik yang mencukupi. Susulan kenyataan tersebut, difahamkan dah ada beberapa pakar rawatan ketagihan dadah kemukakan permohonan kajian berkaitan penggunaan kanabis untuk penyakit.

Keputusan membenarkan produk CBD tak perlu melalui mana-mana peruntukan akta mahupun kelulusan di Parlimen. Produk-produk tu akan diusulkan oleh syarikat farmaseutikal dan perlu penilaian NPRA sebelum didaftarkan pada tahun depan. Ini bermakna, Akta Dadah Berbahaya masih belum dipinda lagi. Jadi sememangnya sukar untuk orang nak salahguna kelonggaran ni, sebab produk tu perlu dah siap didaftarkan dalam bentuk ubat.

ganja rokok
Via Ceria Sihat

Sambungnya lagi, ujian klinikal sedang dijalankan mengenai penggunaan CBD.

“Bila dah ada bukti dari segi ujian klinikal untuk penyakit tertentu maka akan bertambah penggunaan CBD yang boleh digunakan dan diberi oleh pegawai perubatan. Jadi pelbagai pendekatan digunakan, pendaftaran produk, kajian tentang produk yang akan didaftar, kita akan buka kepada semua untuk hantar usul nanti dan ujian klinikal oleh penyelidik di Malaysia tentang penggunaan CBD”

Bagaimanapun, dalam isu terkait ganja seperti soal penanaman ganja… tu masih jauh lagi. Bagi KJ, kita kena ambil langkah demi langkah secara berhati-hati. Sekiranya penerimaannya tinggi, selamat dan berkesan, barulah kita fikirkan soal penanaman. Tak dinafikan lagi, idea Malaysia sebagai negara pengeluar ganja ni pernah diutarakan ramai orang. KJ sendiri kata, ramai hantar kertas kerja nak tanam ladang ganja. Dr. Rusdi pun membayangkan prospek yang sama, namun bagi tujuan kajian para penyelidik sebab kos import bahan ganja ni mahal. Kalau tanam sendiri, ia memudahkan para penyelidik dan memberi laluan mencipta lebih banyak inovasi perubatan baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.