Filipina kembali tuntut Sabah pada musim pilihan raya, nampaknya mereka seleweng sejarah

F1

Minggu lalu, kita dikejutkan dengan tindakan Filipina yang dikatakan akan letak peta Sabah dalam lingkungan peta negaranya untuk dicetak dalam edisi dokumen perjalanan rasminya. Ni menimbulkan kegusaran kita sebagai rakyat Malaysia kerana tindakan tersebut berkemungkinan besar boleh ditafsirkan sebagai tindakan pengisytiharan perang kerana melanggar hak kedaulatan Sabah sebagai sebuah negeri dalam Malaysia.

Dulu kami dah kupas mengenai isu tuntutan Filipina ke atas Sabah dari sudut sejarah dan perundangan, jadi kali ni kita beralih ke pandangan media Filipina pulak. Sejak beberapa bulan lalu, semakin banyak media alternatif Filipina yang aktif sebarkan propaganda untuk menguatkan tuntutan negara mereka ke atas Sabah.

Sabah Malaysia Filipina
Via defenders-philippine-sovereignty.blogspot.com

Kami tertanya jugak; macam mana mereka boleh rasa yakin Sabah tu Filipina punya?

Propaganda Filipina sudah lama berlangsung, jadi bahan politik murahan yang atas nama nasionalisme

Siapa sebenarnya yang memulakan kempen nasional untuk tuntut Sabah ni? Haa… antara beberapa nama popular dalam sejarah akhbar Filipina adalah Napoeleon G. Rama dan Nicasio Osmena. Pada Disember 1961 hingga 1962, isu mengenai Sabah ni hangat diperkatakan di dada akhbar-akhbar utama ketika tu iaitu Philippines Free Press danĀ Evening News.

Berikutan cadangan Tunku Abdul Rahman mengenai gagasan Malaysia, lebih banyak pihak berkepentingan yang cuba menokok tambah dan menyeleweng fakta untuk memastikan Republik Filipina mendesak agar menuntut Sabah serta menjadikan isu Sabah sebagai antara isu nasional yang amat perlu diselesaikan segera.

Beberapa pendekatan yang banyak kali digunakan oleh media akhbar yang mulai berminat dengan isu Sabah adalah dengan penulisan rencana, kolumnis jemputan dan artikel editor. Hasilnya, semakin banyak kolektif penulis mengetengahkan isu Sabah ni sehinggakan perkembangan isu tersebut terus dikutip oleh lebih banyak akhbar lain seperti Manila Times, Philippine Herald, Manila Chronicles, Daily Mirror dan Manila Daily Buletin.

Filipino Sabah Home
Via Facebook

Isu Sabah ni akhirnya mendapat perhatian Napoleon G. Rama dengan usaha Nicasio Osmena selaku peguam yang diupah oleh pihak waris Kesultanan Sulu. Napoleon G. Rama ni sorang wartawan terkemuka dan berpengaruh di Filipina pada waktu tu, maka sudah tentulah tulisannya yang berunsur provokatif akan menarik perhatian ramai.

Salah satu tulisan popularnya bertajuk North Borneo is Ours dah diterbitkan dalam Phillipines Free Press pada 20 Januari 1962. Artikel tersebut menggesa ahli dewan yang baharu dilantik lepas pilihan raya tu agar tuntut Borneo Utara lagi-lagi apabila pada 1961, Diosdado Macapagal telah berjanji nak selesaikan isu Borneo Utara jika dipilih nanti.

Napoleon G Rama
Napoleon G. Rama.. Via Wikipedia

Ni menunjukkan bahawa Napoleon G. Rama sendiri mentafsir bukti sejarah dengan pengetahuan yang kurang mendalam mengenai perjalanan sejarah Borneo Utara yang ditadbir British dan Kesultanan Sulu yang dikawal Sepanyol serta Amerika Syarikat. Walaupun dia dakwa dah buat kajian dengan meneliti perjanjian kat arkib Sepanyol, dia tak petik pun pasal Protokol Madrid yang memansuhkan semua hak kedaulatan Kesultanan Sulu dan merujuk pada keputusan mahkamah yang mentafsirkan ia bukan bayaran sewa pada 1939.

Fakta pemilikan sebenar diseleweng dan dipetik secara semberono, kini dikitar semula oleh halaman media alternatif di platform sosial

Di peringkat awal, tumpuan utama akhbar Filipina angkat persoalan pemilikan sebenar ke atas Borneo Utara. Ikut cerita yang diberi oleh waris Sulu dan peguamnya, perjanjian ‘pajakan’ antara Kesultanan Sulu dan Overbeck sepatutnya terbatal sebab Overbeck ni individu persendirian. Fakta lain yang digunakan untuk mewajarkan kekuasaan Sulu ni adalah tindakan Sultan Esmail Kiram yang nak batalkan perjanjian tersebut pada 1958 kat British namun tak dilayan.

Treacher Borneo
Untuk analisis benda ni, kena faham pasal hubungan Overbeck-Dent dan British dulu.. -Via Twitter

Ernesto O. Granada, sorang lagi penulis tersohor menyatakan bahawa tuntutan ke atas Sabah ni adalah satu bentuk penghormatan dan penghargaan kepada Amerika Syarikat atas segala usaha membangunkan Filipina. Dia jugak sempat nyatakan kekagumannya terhadap perkembangan isu Sabah ni kat media akhbar ketika tu dengan kesungguhan Osmena yang turut disokong waris Sulu serta Datuk Bandar Filipina iaitu Arsenio H. Lacson.

Kena pulak beberapa lagi penulis terkemuka yang lantang dalam isu mempertahankan tuntutan ni adalah Teodor M. Locsin, bapa kepada Setiausaha Luar Filipina ketika ni iaitu Teodor Locsin Jr. dan Jovito R. Salonga yang merupakan ahli kongres serta anggota Jawatankuasa Hal Ehwal Filipina yang tak suka pada British.

Jovito Salonga
Jovito Salonga.. -Via Philippine Canadian Inquirer

Napoleon G. Rama tu selalu desak Presiden Macapagal untuk kembalikan semula tuntutan Filipina ke atas Sabah dengan mengembalikan semula prinsip pemulihan wilayah Filipina. Resolusi No. 42 kemudiannya mengisytiharkan Borneo Utara sebagai sebahagian dari Filipina, namun segala langkah rasmi gagal di peringkat Senat, Pejabat Kedutaan British mahupun kat ICJ. Takde pun tindakan cabar semula yang dibuat Filipina lepas tu.

Tetapi hari ni, tuntutan tersebut dibangkitkan lagi apabila anggota kerajaan yang berkepentingan mendesak kerajaan agar teruskan je dakwa Sabah milik Filipina. Tak cukup dengan tu, lebih banyak propaganda yang disebarluaskan untuk meraih simpati antarabangsa. Salah satu halaman media alternatif yang aktif gunakan pendekatan tersebut adalah ASEAN Skyline.

Bukan sekali halaman ni sengaja cuba melaga-lagakan rakyat Indonesia, Filipina dan Malaysia, malah ia jugak membuatkan rakyat negeri Sabah dan Sarawak tak selesa dengan provokasi serta propaganda mereka.

Bukan tu je, ramai lagi pengguna media sosial dari Filipina masih lagi yakin dengan isu tuntutan Sabah yang sudahpun berulangkali dimainkan oleh media-media Filipina sejak 1960-an lagi. Apa-apa penipuan pun, bila diulangi secukupnya, akan diambil akhirnya sebagai suatu kebenaran yang mutlak.

Tak hairanlah jika satu hari nanti, tindakan agresif mungkin berlaku kembali sepertimana yang telah berlaku dalam peristiwa berdarah Tanduo yang mengorbankan nyawa pejuang kita pada 2013. Serangan sekumpulan militan yang mengaku mereka sebahagian dari tentera Sulu jugak menyebabkan Malaysia berhenti bayar jumlah pampasan RM5,300 kepada waris Sulu.

Lahad Datu Terkorban
Antara pejuang kita yang terkorban.. -Via Rojak Daily

Berikutan usaha terbaharu Filipina yang turut menuntut kawasan maritim, Wisma Putra keluarkan kenyataan bantahan ke atas usaha Filipina dan masih bertegas bahawa Sabah adalah milik Malaysia serta tindakan menuntut semula wilayah Sabah tu takde asas dalam mana-mana undang-undang antarabangsa.

Jika korang nak baca lebih lanjut mengenai kajian terhadap kempen dan propaganda Filipina ke atas Sabah, korang boleh baca dapatan kajian Norizan Kadir dan Danny Wong Tze Ken (2017).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *