Setiap makhluk yang diciptakan oleh Tuhan, tidaklah ia diciptakan dengan sia-sia dan tanpa tujuan langsung. Kalau tumbuhan diciptakan untuk mengimbangi kandungan oksigen dan karbon dioksida dalam udara sekeliling, haiwan pula diciptakan untuk keseimbangan ekosistem dan diversiti.
OK lah, kami bukanlah nak buat iklan “Malaysia merupakan bumi yang bertuah kerana kaya dengan kepelbagaian bio…” macam kat TV tu. Nanti anda skip baca artikel ni. Tapi kali ini kami nak cerita sikit pasal macam mana haiwan boleh membantu Orang Kelainan Upaya (OKU).
1. Anjing Pemandu, menunjuk arah kepada tuannya…
Anjing Pemandu atau Guide Dog bukanlah sesuatu yang asing di negara Eropah. Kita selalu dengar anjing boleh bantu polis untuk kesan bukti di tempat kejadian. Dan selalu juga kita dengar kisah kesetiaan anjing pada tuannya sampai tuan dia dah meninggal dunia pun dia masih tunggu tuan dia, macam kisah anjing Hachiko di Jepun.
Alolo comelnyee dia clingy terok! – via Giphy
Haa, tapi ramai tak tahu anjing juga boleh jadi haiwan pemandu. Dan selalunya anjing pemandu yang telah dilatih ini akan tolong tuannya yang buta semasa berjalan-jalan di luar rumah. Anjing mempunyai keistimewaan melalui deria bau yang kuat. Jadi, tak hairanlah macam mana anjing boleh ingat jalan dan siap boleh tunjuk arah lagi. Satu lagi, bila ada benda bahaya atas jalan, dia akan halang tuan dia lalu kat situ. Jadi, keselamatan tuannya terjaminlah dengan bantuan anjing pemandu ni.
Di UK, pada tahun 2008, sebuah masjid di Leicester telah menjadi perintis kepada fatwa yang membenarkan anjing pemandu masuk ke kawasan masjid. Sebabnya, ada seorang budak lelaki buta ni memang guna anjing pemandu untuk berjalan di luar rumah. Jadi bila nak pergi solat jumaat pun dia bawa anjing dia sekali.
2. Anjing Pendengar, mengecam bunyi untuk tuannya
Selain mempunyai deria bau yang kuat, pendengaran anjing juga sangat tajam. Bagi OKU dalam pendengaran, mereka perlukan pembantu yang dapat menjaga keselamatan di rumah. Contohnya, anjing pendengar ini akan tolong tuannya bila ada orang datang tekan loceng, penggera asap berbunyi, telefon berdering atau jam loceng berdering.
Eh-eh, dengar sesuatulah! – via Giphy
Anjing pendengar dapat membezakan pelbagai jenis bunyi. Dan bila anjing ni dapat dengar bunyi-bunyi tu, dia akan pergi kepada tuannya dan beri sentuhan fizikal untuk beritahu apa yang dia dengar. Selain itu, anjing pembantu ini juga akan bawa tuannya ke arah sumber bunyi tersebut. Cerdik, kan?
3. Kuda Terapi, membantu Pesakit Cerebral Palsy
Seronoknya kalau dapat naik kuda – via Giphy
Di Malaysia, terapi ini sudah ada tapi masih baru kalau nak dibandingkan dengan Barat. Kelebihan terapi ini ialah ia bukan saja dapat meningkatkan keyakinan diri pesakit, malah, ia juga dapat menguatkan tulang belakang pesakit apabila berlaku hentakan badan pesakit dengan badan kuda.
Di samping tu, terapi ni juga dapat memperbaiki pengawalan kepala, memperbaiki dan mempertingkatkan kelenturan pelbagai pergerakan tubuh, memperbaiki koordinasi dan keseimbangan tubuh dan meningkatkan interaksi pesakit dengan persekitaran dan masyarakat.
4. Haiwan Peneman, mengurangkan keresahan kanak-kanak Autism
Selain kuda dan anjing, semestinya haiwan lain seperti kucing juga dapat membantu dalam proses terapi. Mesti ramai yang suka kucing, kan? Ya, kucing adalah haiwan kegemaran ramai yang bukan saja comel, kadang-kadang perangai kucing boleh dikatakan agak mirip seperti manusia juga.
Menurut Autisme Awareness Centre, haiwan peliharaan dapat menjadi peneman, kawan serta mengurangkan kesunyian dan keresahan yang dialami oleh penghidap autisme. Hal ini demikian kerana mereka dapat berinteraksi dengan haiwan yang secara fitrahnya haiwan tidak akan bersikap menghakimi keadaan mereka (non-judgemental).
Dengan memeluk atau membelai kucing, ia dapat berikan ketenangan kepada kanak-kanak atau orang dewasa yang mengalami autisme. Kehadiran haiwan seperti kucing adalah istimewa di sisi manusia. Ia bukan sekadar teman dalam hidup, malah dapat meningkatkan kesejahteraan dari sudut kesihatan mental.
Setiap ciptaan Tuhan adalah anugerah…
Begitulah serba sedikit tentang hubungan haiwan dengan manusia. Kadang-kadang, manusia tak dapat tolong sesama manusia. Tapi haiwan hadir dalam hidup manusia untuk melengkapi kehidupan kita. Sebab itulah kita kena saling sayang-menyayangi antara manusia dengan haiwan. Jangan didera haiwan-haiwan yang tidak berdosa!
Jadi, kongsikan artikel ini di media sosial, mana tahu ada ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas yang sedang mencari terapi untuk anak-anak mereka. Mungkin artikel ini dapat membantu serba sedikit.