Jambatan Temburong di Borneo bakal jadi jambatan terpanjang Asia Tenggara

Temburong Jambatan

Siapa sangka negara kecil macam Brunei pun impikan nak buat jambatan, menghubungkan bukan je dua daerah kat dalam negaranya namun turut bawa lebih banyak peluang ekonomi untuk para penduduk Sabah dan Sarawak. Lebih menarik lagi, jambatan ni bakal mengalahkan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Pulau Pinang (24 km) dan pastinya mengalahkan idea Jambatan Batam-Bintan yang hanya sepanjang 7km.

Jambatan Temburong Pembinaan
Jambatan Temburong ketika dalam pembinaan. Via Bru Direct

Penat nak lalui pintu imigresen, tekad nak bina jambatan

Dimulakan pada tahun yang sama Jambatan Kedua Pulau Pinang siap iaitu pada 2014, Jambatan Temburong pula dijangka akan siap pada hujung tahun ni dengan kepanjangan sejauh 30km. Jambatan tersebut juga akan menghubungkan Mengkubang dan Sungai Besar di daerah Brunei-Muara ke Estet Labu di daerah Temburong.

Oleh sebab pada awalnya, kedua-dua kawasan ni terpisah oleh daerah Limbang, Sarawak. Jadi mereka kena lalui empat pintu imigresen kalau nak sampai ke kawasan Mengkubang ataupun ke Temburong, Brunei.

Brunei Mega Projek
Via Iloveborneo.my

Bila jambatan ni dah siap, mereka dah tak payah nak lalui jalan darat menerusi Limbang, Sarawak dan hanya boleh guna jambatan mereka je. Namun begitu, pembinaan jambatan terpanjang ni taklah semudah yang disangka dan memerlukan tenaga kepakaran dari luar. Malah, nak bina tu pun perlu masa dan perancangan yang teliti.

Untuk tu, mereka pisahkan projek jambatan tu kepada 6 pakej yang merangkumi terowong dan sistem kabel sebab dalam rancangan jambatan tu, mereka nak bina 14.6 km atas Teluk Brunei dan 12 km lagi atas tanah paya.

Dah boleh sampai Brunei dari Sabah dan Sarawak…

Pembinaan Jambatan Temburong ni pun ada baiknya untuk rakyat Malaysia khususnya orang Sabah dan Sarawak. Ditambah lagi dengan pembinaan jalan Pan-Borneo, nak ke Brunei pun dah semakin mudah. Malah, orang Brunei pun lebih senang nak masuk bertandang ke Malaysia khususnya ke Miri dan Lawas, Sarawak dan boleh terus guna jalan darat nak sampai ke Kota Kinabalu, Sabah.

Positif dengan perkembangan tersebut, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah iaitu Datuk Dr Abdul Rahman Ismail kata:

“Laluan ini akan memudahkan penduduk negara jiran untuk ke Sabah, Miri dan Lawas, selain memasuki Limbang secara harian dan tidak menjejaskan kemasukkan pengunjung ke daerah ini secara drastik walaupun ada kebimbangan Limbang hanya dijadikan transit apabila jambatan ini siap nanti.”- Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Borneo

Selain dari Limbang, beberapa daerah lagi seperti daerah Lawas di Sarawak dan daerah Sipitang, Sabah pun akan dapat kesan positif hasil dari tarikan masuk para pelancong dari Brunei ni ke Malaysia. Mestilah secara tak langsung, tarikan masuk ni akan suburkan kegiatan sosioekonomi rakyat Borneo.

Agak-agak berapa lama nak sampai Brunei dari Kota Kinabalu, Sabah?

Seorang pengguna Reddit, u/jechan85 dalam sebuah bebenang platform r/Brunei dah cuba buat anggaran kadar tempoh perjalanan nak sampai ke Brunei dari Kota Kinabalu. Sebelum Jambatan Temburong siap, dia agak tempoh masa dari Kota Kinabalu ke Brunei (dengan bantuan Google Map) adalah 5 jam 27 minit.

Brunei Kota Kinabalu 5 Jam
Via Imgur

Kemudian dia agak lagi masa perjalanan dari Kota Kinabalu ke Estet Labu, sebahagian kawasan Brunei yang bakal disambungkan oleh Jambatan Temburong ke ibukota Brunei, Bandar Sri Begawan. Dengan bantuan Google Map jugak, dianggarkan selama 3 jam 34 minit.

Brunei Kota Kinabalu
Via Imgur

Oleh kerana masa perjalanan jika guna Jambatan Temburong adalah dianggarkan selama 40 minit, maka jumlah masa perjalanan tu dah disingkatkan dekat sejam lebih daripada anggaran sebelum wujudnya Jambatan Temburong. Ertinya, masa perjalanan tu makan masa kira-kira 4 jam lebih berbanding 5 jam 27 minit.

Masa Perjalanan Jambatan Temburong
Via Imgur

Peluang ekonomi lebih cerah kat Borneo jika Indonesia nak…

Lepas pembinaan Pan-Borneo yang akan hubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei dan ditambah lagi dengan bakal terbinanya Jambatan Temburong, satu lagi projek besar yang dijangka turut merancakkan potensi perniagaan di Kepulauan Borneo. Projek tersebut adalah pembinaan landasan kereta api laju yang direncanakan oleh Presiden Joko Widodo, lepas dia putuskan nak pindahkan ibukota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur.

Rel Kereta Api Kalimantan
Via Detik.com

Dalam usahanya nak bangunkan Kalimantan dan mempersiapkan kawasan tersebut jadi kota metropolitan sepesat Jakarta, keberjayaan projek ni bermaksud secara langsung negeri-negeri Malaysia Timur dah dihubungkan dengan dua negara jiran iaitu Brunei dan Indonesia. Namun begitu, kerjasama bilateral kena diwujudkan terlebih dahulu khususnya antara Malaysia dengan Indonesia sebagaimana kerjasama Malaysia-Brunei menerusi Jambatan Temburong dan Laluan Pan-Borneo.

Jika nak dikutkan peta kat atas, orang Sabah boleh nikmati kereta api laju Indonesia menuju ke mana-mana daerah Indonesia di Kalimatan dari kawasan Tawau ataupun Kalabakan manakala orang Sarawak pula boleh naik kereta api tersebut dari Kuching. Seronok jugak kan, dah boleh jalan-jalan ke negara jiran, lagi-lagi dengan infrastruktur pengangkutan dan jalan raya yang lebih baik.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *