Kita dah lama kenal apa tu ‘rasisme’. Sepanjang sejarah pembinaan bangsa negara kita, banyak usaha program dan insiatif untuk rapatkan jurang perkauman tu. Kita dah mulai kenal perbezaan kaum dan ciri-ciri budaya yang cerminkan cara hidup mereka. Kita kenal jenis makanan antara kaum, dan kita bangga mempunyai kepelbagaian tersebut.
Tapi kenapa kat media sosial, masih ramai yang secara terbuka bersikap perkauman? Bila kita tegur, mereka nafikan pulak bahawa apa yang mereka perkatakan tu bersifat perkauman. Bila dikecam beramai-ramai atau kena heret polis baru pandai minta maaf…
Artis Red Hong Yi tegur masih ada antara kita yang bersikap rasis, sesama sendiri dan sesama kaum berlainan kulit
Red Hong Yi adalah seorang artis seni yang dah banyak cipta seni visual berkaitan dengan rasisme di seluruh dunia. Ketika COVID-19 melanda, ramai orang berwajah Asia kat negara-negara Barat ditumbuk, dicaci dan dimaki lalu dituduh sebagai pembawa virus dari China. Kami tak tolak bahawa diskriminasi terhadap orang Malaysia di luar pun wujud jugak sejak menularnya wabak tersebut.
Baru-baru ni, dia ada muat naik sekeping gambar kat laman Facebooknya mengenai rasisme terhadap kaum berkulit hitam, khususnya orang Afrika. Gambar tersebut dikatakan ditemui depan sebuah apartmen di Kuala Lumpur.
Dalam gambar tersebut, jelas terpampang larangan agar tuan rumah diminta untuk tak sewakan rumah kepada orang Afrika. Kami tak pasti jika larangan tersebut masih ada ke tak, ataupun sama ada ia adalah peraturan baharu yang dinaikkan pada tahun ni.
Pada 2013 jugak, sebuah kondominium di Bandar Sri Subang bertindak melarang dan menarik semula kontrak sewa rumah daripada 6 warganegara dari benua Afrika atas sebab ‘menganggu ketenteraman’. Kalau halau je, takpe. Yang ni lepas halau, dah ramai tak nak terima orang dari Afrika khususnya para pelajar dari sana.
Ni adalah satu bukti bahawa sentimen perkauman tu masih ‘hidup’ lagi di tanah Malaysia ni. Ditambah lagi dengan beberapa isu kritikal seperti isu pendatang Rohingya; ternyata kita kena belajar dan fahami semula apa tu ‘rasisme’. Ia merupakan penyakit yang takde ubatnya kecuali dengan muhasabah diri.
Nak kenal rasisme ni lagi susah sebenarnya, ramai tak sedar pun tindakan mereka mempunyai unsur rasisme
Tanda pertama bahawa korang bersikap rasis adalah korang rasa korang berbeza dengan manusia dari kaum lain, dan rasa lebih istimewa. Kat media sosial, ramai suka main lepas cakap atau tulis je apa-apa komen yang buatkan dirinya je rasa didengari dan puas hati.
https://twitter.com/haikalclassic/status/1260088191618437120?s=12
Contohnya, larangan sewa untuk warganegara dari mana-mana negara Afrika tadi. Terang-terang dah tak suruh orang dari negara-negara Afrika menyewa, tanpa sebarang sebab yang betul-betul penting. Mereka dinafikan hak untuk menyewa dan tinggal di sana, macam apa yang berlaku dalam kes kondominium Bandar Sri Subang.
Sama cerita jugaklah dengan perangai tuan rumah atau majikan yang siap-siap letak preference nak kaum apa tanpa wujudnya sebab yang kukuh. Ramai orang pertahankan pihak tuan rumah atau majikan ni, kononnya tu hak mereka nak tetapkan syarat tersebut.
Bila nak cakap pasal hak ni, mesti ada kena mengena dengan keadilan kan? Kat mahkamah pun, pesalah boleh je bela diri. Kalau kita nak tanya para tuan rumah dan majikan yang letak preference ni, agak-agak apa je alasan mereka untuk buat larangan atau syarat nakkan satu kaum je?
Jika ia ada kena mengena dengan pengalaman atau pendapat peribadi, maka boleh jadi tu adalah tindakan diskriminasi perkauman. Kita semua kena belajar macam mana nak kenal pasti sama ada sesebuah pandangan tu datangnya dari stereotaip atau kepercayaan peribadi yang berakarkan rasisme.
Peribahasa “nila setitik rosak susu sebelanga” ajar kita bezakan mana satu sikap individu, mana satu sikap seluruh kaum
Stereotaip adalah benda kedua yang harus korang hati-hati nak terima tiap kali ada orang cuba pertahankan pandangannya bahawa sesetengah kaum ni lebih buruk perangainya dari kaumnya sendiri. Selain tu, kadang-kadang ada jugak pendapat yang bersifat pukul rata – “Melayu malas”, “India suka mabuk” atau “Cina kuat berjudi”.
Klasifikasi kaum bukanlah penentu personaliti seseorang. Banyak je Melayu yang rajin. Banyak je India yang tak suka minum alkohol. Banyak je Cina yang tak layan judi. Begitulah jugak dengan pekerja asing yang tinggal di sini, termasuklah kaum Rohingya. Banyak je yang baik, tak kacau orang pun.
“Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga” ni adalah pepatah Melayu yang mengajar kita bahawa kesan tindakan seorang individu boleh mencemarkan nama baik kaum. Tapi ia juga membuktikan bahawa kita wajib bezakan mana satu tindakan perseorangan dan mana satu yang datang dari sikap serta budaya pemikiran seluruh kaum tu terlebih dahulu.
Kita ambik semula contoh Melayu malas. Kami dah terangkan sikit macam mana idea stereotaip ‘Melayu malas’ tu muncul, dan kenapa pandangan tu dibangkitkan kembali oleh Tun Mahathir dulu. Keburukan stereotaip ni adalah nak pastikan orang jadi takut dan tak suka dengan kaum lain, menyukarkan jalinan perpaduan dan perkongsian idea.
Salah satu cara nak bendung sentimen perkauman adalah gunakan akal dan adab
Banyak jugak kami baca komen-komen pengguna laman sosial apabila ditegur mengenai pandangan mereka. Biasanya mereka akan nafikan bahawa mereka tu rasis, kemudian akan terus gunakan contoh peribadi semata-mata nak buktikan bahawa stereotaip tu betul.
Media sosial ni adalah ruang terbuka – semua orang boleh baca termasuklah orang dari kaum lain. Orang pun boleh terasa hati jugak… sama hakikatnya apabila korang terbaca pandangan yang tak puas hati pasal Bahasa Melayu. Di sinilah adab dan akal mainkan peranan, macam pepatah Melayu “ular menyusur akar takkan hilang bisa”.
Begitu jugaklah dalam pentas politik. Orang politik ni macam pelakon jugak… kat depan kaca televisyen tu berlawan sesama sendiri, tapi di belakang tabir, duduk semeja berketawa sama-sama. Sebagai rakyat, kita tak perlulah hanyut sangat dengan drama politik ni, terutamanya apabila dah mula guna ayat-ayat berunsurkan politik perkauman.