Sidang Parlimen dilakukan cuma sehari kerana kewujudan virus baru di dalam Parlimen

F1

Artikel ini merupakan artikel satira yang membawa maksud ia cumalah sindiran semata-mata, dan tidak terkait dengan fakta.

Sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mei ni hanyalah semata-mata bagi dengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa libatkan sebarang urusan lain. Ia akan menutup pintu untuk sebarang usul undi tak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, beritahu dia terima surat pemakluman daripada Muhyiddin selaku ketua Majlis Dewan Rakyat, kerajaan putuskan takde sidang selepas titah Diraja yang dijadualkan berlangsung jam 10 pagi, pada 18 Mei.

Kewujudan Covid-112 dan pengaliran udara di Dewan Rakyat telah menyebabkan persidangan penuh sukar untuk diadakan

Situasi ini dipercayai berlaku kerana keadaan udara di dalam Dewan Rakyat yang akan berubah setelah titah diraja berakhir. Pengaliran udara di Dewan Rakyat yang berubah menyebabkan kadar jangkitan Covid-19 akan meningkat mendadak.

Untuk menjaga nyawa ahli politik yang sanggup berlapar, berenang merentasi lautan berapi dan mengetip kuku dengan menutup mata demi kesejahteraan rakyat, tindakan ini perlu dilakukan.

As
Kawasan yang dipercayai menyebabkan pengaliran udara akan bertukar selepas titah diraja. Via Berita Harian

Kedudukan geografi Dewan Rakyat yang tak strategik telah menyebabkan perubahan angin ini berlaku. Sejak Covid-19 diumumkan kepada dunia, ia telah berevolusi kepada beberapa “strains”. Atas sebab inilah kadar jangkitan di sesetengah negara tinggi dan kadar kematian tinggi (akibat ada strains yang agresif menyerang paru-paru, dan ada pada kadar sederhana). Dipercayai strain baru telah ditemui di Malaysia.

Strains yang digelar “Covid-112-e-parlimen-2020” atau lebih dikenali sebagai Covid-112 telah ditemui. Virus ini dipercayai boleh menyerang ahli Parlimen yang bersidang, terutamanya mereka yang berhasrat untuk melakukan berbincang pakej bantuan ekonomi yang baru atau cuba memberi usul tak percaya kepada kerajaan. Kewujudan adaptasi virus ini akan menjadi lebih berbahaya dengan keadaan pengaliran udara Dewan Rakyat yang akan berubah secara mendadak selepas titah diraja berakhir.

25530434 8073543 Image A 2 1583332676853
Tak lama lagi Covid-112 akan dimasukkan dalam infografik ni. Via DailyMail

Virus ini cuma muncul di Parlimen, oleh itu rakyat tak perlu gusar. Kini rakyat dah boleh pergi kerja, bermesyuarat, bahkan makan di dalam restoran. Keadaan ini dipercayai berlaku kerana virus Covid-112 cuma didapati di Parlimen sahaja. Atas sebab inilah Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa tempat masih boleh dilakukan, termasuklah mesyuarat untuk menukar Menteri Besar Kedah.

Bantuan baru belum diumumkan untuk membantu rakyat mendekatkan diri kepada tuhan di bulan Ramadan

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan, bentuk bantuan sosial yang baru tidak diumumkan bersama. Wang yang diberikan melalui Bantuan Prihatin Nasional hanyalah untuk April dan Mei, dan ramai yang kata jumlah tu sebenarnya masih tak cukup. Sebenarnya, ramai rakyat yang telah tersilap dan tak faham apa sebab kerajaan masih tak umum lagi bentuk bantuan baru.

Ada sebab kenapa kita diminta berlapar. Via Giphy

Adakah anda lupa, ini bulan apa? Ia adalah bulan Ramadan yang mulia, tuan-tuan. Mesti ramai yang tak terfikir logik ni – bantuan baru belum lagi diumumkan untuk memastikan kita semua fokus beribadah dan memanfaatkan bulan Ramadan. Kalau kita asyik fikir duit yang nak diberi oleh kerajaan je ketika bulan Ramadan ni, macam mana kita nak fokus?

Kerajaan kita tahulah apa yang terbaik, takkan kita semua dah lupa – masa sidang media PM baca doa kot. Sudah tentu mereka lebih tahu, daripada kita insan yang lemah ni. Kalau ada rakyat yang rasa lapar, berzikirlah – kitakan selalu diberitahu, zikir makanan orang akhir zaman. Kehilangan kerja yang berlaku tanpa sebarang “framework” yang jelas bagaimana ia boleh diatasi – adalah bertujuan untuk melihat sejauh mana rakyat akan bertawakal kepada tuhan.

Kalau fikir betul-betul, betul jugak kan? Via Giphy

“Seperti yang dipercayai oleh kami yang percaya ilmu tuhan ni luas, siapa yang faham, dia fahamlah. Setiap orang ada maqam tersendiri, selagi dia belum mengenali diri, selagi itulah dia tidak akan memahami tindakan kerajaan ini,” – Kata Mak Cik Kiah ketika ditemui dalam program bantuan makanan

Kita harus bersyukur kerana memiliki kerajaan yang mampu berfikir di luar kotak

Kita harus bersyukur kerana memiliki kerajaan yang memahami dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan rakyat hidup senang. Mereka melakukan semua ini bukanlah semata-mata untuk kuasa atau wang, tapi tak lain tak bukan – kerana niat ingin mendapatkan syurga dan berbakti demi rakyat tercinta, tersayang, terbaik, ketawa bersama, menangis bersama, ku bersumpah harap kita mati pun bersama (eh ini lagu).

Kebijaksanaan membantu rakyat untuk bertawakal dan berzikir pada bulan Ramadan juga perlu dipuji, inilah yang kita mahukan selama ini – kerajaan membantu rakyatnya untuk dekat kepada tuhan, dan kalau ada yang kelaparan akibat tak menerima bantuan – dihantar sekali terus kepada tuhan.

Artikel ini merupakan artikel satira yang membawa maksud ia cumalah sindiran semata-mata, dan tidak terkait dengan fakta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *