Walaupun telah banyak berkorban, frontliner masih sukar dapat elaun khas, ini ceritanya

F1
Walaupun telah banyak berkorban, frontliner masih sukar dapat elaun khas, ini ceritanya

Masuk bulan Mei ni, kita dapat tengok sendiri perbezaan keadaan dan sentimen ‘kegerunan’ rakyat terhadap COVID-19. Kalau tak kerana barisan hadapan kita yang sentiasa berusaha pulihkan para pesakit yang dijangkit virus tersebut, mungkin kita masih lagi digesa untuk duduk di rumah seperti 2 bulan lalu.

Tapi ada orang kata, masih ada petugas kesihatan masih lagi tak dibayar elaun khas selari dengan apa yang digariskan dalam BPN. Dahlah ramai yang mengadu BPN tak cukup, sistem maklumatnya pun masih pakai data lama. Kali ni, kami nak kupas pulak isu elaun khas petugas kesihatan.

Petugas Kesihatan
Via Berita Harian

Petugas kesihatan luah terlalu banyak kerenah birokrasi, bukannya tak bersyukur

Surat luahan hati seorang petugas kesihatan yang disiarkan di Sinar Harian pada 9 Mei lalu buatkan kami terpanggil nak kupas isu elaun khas ni. Ia dimulakan dengan ucapan penghargaan kepada semua petugas kesihatan daripada semua peringkat atas sokongan dan tenaga mereka.

Kemudian, surat tu lebih panjang huraikan beberapa masalah yang timbul bila nak tuntut elaun khas tu. Sepertimana yang dah dijanjikan dalam BPN, para petugas kesihatan akan dapat RM600 untuk sebulan. Haa… ramai ingat elaun khas ni setiap bulan dapat; sebenarnya ia berbentuk one-off jugak.

Faq Pekeliling Kkm
Tak ramai pun layak dapat dibawah syarat yang digariskan KKM.. – FAQ Surat Pekeliling KSU KKM

Perkara ni sebenarnya dah berlarutan sejak April lalu, iaitu apabila ada mempertikai syarat dan kriteria pemberian elaun khas daripada RM400 ke RM600. Tak hairanlah bila ada jugak cakap macam tak ikhlas je bagi duit. Duit kerajaan adalah duit rakyat ye…

Daripada surat tersebut, antara masalah yang disebutkan tu adalah perkiraan hari bekerja yang kurang tepat dan isu penggiliran jadual syif untuk kakitangan di wad COVID-19 atau bahagian yang ada risiko COVID-19. Maksudnya, tak semua kakitangan dapat duit BPN seperti yang diwar-warkan pada Mac lalu.

“Antara syarat yang ditetapkan, petugas yang berkhidmat di bahagian ada risiko Covid-19 selama lebih 15 hari layak tuntut RM600, yang bertugas kurang 15 hari tidak layak tuntutan penuh (berkemungkinan hanya RM200 layak). Contohnya, di Jabatan Kecemasan terdapat pembahagian ruang untuk merawat: zon Covid-19 (Sari, Bilik Decon), zon PHC dan zon bukan Covid-19.

Jadual syif akan menggilirkan kakitangan untuk mengelakkan staf keletihan atau terkena jangkitan, jadi agak mustahil untuk seorang kakitangan dapat lebih daripada 15 hari bertugas di zon Covid-19 sahaja.”- Dipetik dari surat luahan

Petugas Kesihatan Wad Covid
Via MStar

Selain tu, untuk petugas klinik kesihatan pulak… mereka kena jaga para pesakit yang disyaki atau pesakit positif Covid-19, tetapi tuntutan hanya layak jika pesakit benar-benar positif. Petugas farmasi pun tak layak sebab tak jaga pesakit, namun KKM kena kira pertambahan beban kerana permintaan nak sediakan ubat-ubat tu.

Begitu jugak dengan mereka yang bekerja dekat bahagian x-ray dan makmal. Sepatutnya kakitangan makmal pun dapatlah jugak elaun tu sebab sampel yang terpaksa diuji tu terlalu banyak.

Makmal Kkm
Via Malaysiakini

Mungkin jika ada sampel yang positif, barulah layak untuk tuntut elaun. Tu pun kalau ada sampel positif pada hari tu, barulah boleh tambah bilangan hari agar lepasi syarat nak tuntut elaun khas.

“Banyak lagi syarat-syarat yang tidak munasabah untuk menidakkan kakitangan mendapat tuntutan elaun Covid-19 yang dijanjikan.

Pada pandangan saya, kakitangan yang mengadu masalah-masalah dalam tuntutan elaun ini bukanlah tidak reti bersyukur. Mereka cuma kecewa kerana ada pihak yang cuba menidakkan tuntutan mereka.

Jika kerajaan tidak menjanjikan apa-apa elaun sekalipun mereka pasti melakukan tugas masing-masing seiring dengan slogan KKM iaitu Kami Sedia Membantu.” – dipetik dari surat luahan.

Pekerja Swasta Hospital Kerajaan
Satu soalan yang menarik.. -Via Twitter

Kena mudahkan urusan tuntut elaun khas untuk barisan hadapan

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) gesa agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), wakil kesatuan dan pekerja berhubung isu tuntutan elaun Covid-19 membabitkan anggota kesihatan dapat bincang semula untuk selesaikan isu ni.

“Elaun yang diberikan oleh kerajaan ialah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Janganlah kita lunturkan semangat dengan kerenah birokrasi yang dicipta sendiri,”- Adnan Mat, Presiden CUEPACS, seperti yang dilaporkan Sarawakvoice.com pada 10 Mei

Kerenah birokrasi ni pun sebenarnya ada kaitan dengan prinsip penurunan kuasa kepada Ketua Jabatan untuk kenal pasti dan keluarkan arahan bertugas kepada doktor dan anggota kesihatan. Oleh demikian, isu ni pun kena diperjelaskan kepada Ketua Jabatan, sebab mereka merupakan peringkat pengurusan antara KKM dengan anggota kesihatan.

Petugas Kesihatan Ppe Covid
Via The Malaysian Insight

Bukan tu je, barisan polis dan penguatkuasa yang ditugaskan dulu pun turut mempunyai masalah tuntutan elaun khas kerana faktor kerenah birokrasi. Macam petugas kesihatan jugak; ramai di antaranya terdiri daripada pelbagai jabatan dan bahagian yang telah diarahkan untuk bertugas ketika PKP dulu.

Sukar sangat nak mohon. Kami perlu sediakan pelbagai dokumen yang memang terpaksa mengambil masa untuk mendapatkannya, sebagai contoh penyata bank. Selain itu kami perlu sertakan bermacam-macam lagi dokumen… tuntutan tersebut memang tersangat cerewet.

Kadang terfikir juga, adakah insentif yang ingin diberikan kepada kami petugas barisan hadapan ini benar-benar ikhlas? Kenapa pihak berkenaan tak masukkan saja ke dalam akaun bank kami,”- Zafrul (bukan nama sebenar), anggota pegawai polis Terengganu, seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 9 Mei

Pdrm Sekatan Jalan Raya
Via Perak Today

Perkara ni mendapat perhatian bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Katanya kalau kerajaan tak ikhlas, kerajaan tak isytiharkan bantuan tersebut. Macam KKM jugak, Ketua Jabatan ditugaskan untuk pastikan mereka lakukan tugas atau tak.

“Ia memang satu keperluan sebagai proses kerana kita tidak mahu ada penipuan dan penyelewengan apabila orang tak buat kerja tapi buat tuntutan.

Perkara itu juga perlu dikaji kerana penipuan tuntutan juga boleh dituduh di mahkamah. Kalau pegawai itu luluskan tanpa semak, pegawai tu pun boleh kena (dakwa)”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada 10 Mei

Musa Hassan
Via Berita Harian

Integriti dan amanah menjalankan tugas adalah satu hal, kerenah birokrasi pula satu hal yang lain. Kami faham bahawa kita nakkan ketelusan dan ketelitian, tapi kelancaran pengurusan tu seharusnya boleh dipermudahkan lagi dengan sistem yang lebih baik. Rasanya dah masuk 2020 ni, sepatutnya kita dah boleh melangkah dari keperluan nak uruskan dokumen bertimbun-timbun tu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top