Apabila pandemik Covid-19 melanda dunia, salah satu perkara yang membuatkan umat Islam terkesan tentang norma baharu adalah keadaan saf solat yang baharu. Saf solat yang ada pada hari ini memerlukan kita melakukan penjarakan sosial untuk mengurangkan risiko jangkitan ketika solat berjemaah. Keadaan ini telah dipersetujui oleh majoriti sarjana agama kerana ia bertujuan untuk memelihara nyawa.
Dalam konteks Malaysia, kita selalunya akan menunggu arahan dari kerajaan negeri tentang Standard Operating Procedure (SOP) solat berjemaah. Menariknya, ada satu negeri ni rakyatnya memang patuh SOP kerana membenarkan solat berjemaah walaupun ketika itu negara sedang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tempoh hari.
Korang kena ingat, apabila jemaah tak patuhi SOP yang ditetapkan, berkemungkinan kebenaran solat berjemaah akan ditarik semula; atau lebih teruk, akan wujud kluster baharu dari solat berjemaah.
Negeri Sembilan merupakan negeri yang benarkan semua masjid dan surau beroperasi ketika PKP 2.0
Pada awal tahun ini, Kerajaan Negeri Sembilan benarkan semua surau dan masjid untuk beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. Perkara tu dimaklumkan sendiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun dalam satu sidang media khas.
“Semua masjid serta surau di seluruh Negeri Sembilan dibenarkan mengadakan solat fardu dan solat Jumaat sepanjang tempoh PKP dengan merujuk kepada SOP yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sebelum ini. Jemaah diwajibkan membawa sejadah sendiri yang bersaiz besar dan memakai pelitup muka. Perlu mengambil wudhu’ di rumah dan mematuhi had keluasan melakukan ibadah di dalam ruang utama masjid,” – Aminuddin Harun, seperti yang dilaporkan samudera.my
Ketika itu, Dato’ Seri Haji Aminuddin berharap agar semua jemaah dan ahli jawatankuasa sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan JHEAINS bagi mengelakkan kemungkinan wujudnya kluster masjid. Apa yang buat kami kagum, sepanjang tempoh itu, takde kluster masjid atau surau. Keadaan ini menunjukkan rakyat Negeri Sembilan yang pergi masjid atau surau merupakan umat Islam yang bertanggungjawab.
Menjelang Ramadan, mereka antara negeri yang ‘mesra’ dengan jemaah
Menjelang bulan Ramadan pada minggu hadapan, solat sunat Tarawih dibenarkan di masjid dan surau di Negeri Sembilan. Benda ni diumumkan dalam garis panduan sempena Ramadan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), beberapa hari lepas.
Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli kata; garis panduan tu bagi memastikan segala aktiviti sepanjang Ramadan dapat berjalan lancar dan dalam masa sama usaha menyekat penularan wabak Covid-19. Katanya, aktiviti di masjid dan surau dibenarkan dari jam 4 pagi hingga 12 tengah malam.
Imam-imam di Negeri Sembilan digalakkan membaca surah pendek, manakala tazkirah sebelum dan sesudah solat, tak dibenarkan. Penyediaan jamuan iftar, moreh dan sahur atau apa juga sumbangan makanan perlu disediakan secara bungkusan dan disusun atur lebih awal serta diedarkan oleh ahli jawatankuasa dengan mematuhi SOP ditetapkan.
“Jamuan iftar dibolehkan tetapi di tempat yang disediakan dengan mematuhi penjarakan fizikal manakala aktiviti memasak untuk jamuan di masjid dan surau sepanjang Ramadan ini adalah dilarang,” – Mohd Zaidi Ramli, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian
Jemaah juga diingatkan untuk mematuhi segala SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutama pemakaian pelitup muka, memeriksa suhu dan penggunaan cecair pembasmi kuman ketika hadir ke masjid dan surau.
Pernah juga ada kontroversi tentang jemaah solat Jumaat, tapi ia telah dijawab
Dari gaya bahasa kami tulis artikel ni, nampak kami puji lebih-lebih pulak Negeri Sembilan ni. Mesti korang tertanya-tanya, ada tak isu atau kontroversi berkaitan pelaksanaan solat berjemaah di sana? Sudah tentu ada, tetapi orang yang sepatutnya menjawab persoalan ini, telah memberikan jawapan.
Pada bulan Januari lepas, satu video berdurasi lebih dua minit tular di media sosial, perakam video itu mempersoalkan SOP semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila jemaah sedang keluar daripada masjid dan baru selesai menunaikan solat Jumaat. Perakam video tu persoalkan kehadiran jemaah yang ramai, motosikal dan kereta yang banyak diletakkan di bahu-bahu jalan sehingga dikatakan menghalang laluan kenderaan lain.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd. Zaidi Ramli menegaskan, sepanjang pemantauan yang dibuat sama ada oleh pihak polis atau penguat kuasa JHEAINS sendiri, mendapati jemaah di masjid berkenaan mematuhi SOP.
“Jemaah telah membawa sejadah besar sendiri, memakai pelitup muka, mematuhi jarak fizikal yang telah ditetapkan oleh pihak jawatankuasa semasa berada dalam masjid. Hanya satu pintu pagar sahaja dibuka untuk laluan masuk ke kawasan masjid. Jawatankuasa masjid telah menyediakan tiga khemah di luar kawasan masjid untuk tujuan melicinkan proses pendaftaran dan mengimbas suhu badan jemaah,” – Mohd Zaidi Ramli, seperti yang dilaporkan oleh Utusan
Tambahnya, kapasiti sebenar masjid itu tanpa mengambil kira penjarakan fizikal adalah seramai 3,000 orang manakala kapasiti dibenarkan dengan penjarakan fizikal adalah seramai 1,200 orang. Jumlah jemaah ketika video itu dirakamdilaporkan seramai 900 orang. Benda ni selaras dengan arahan Kerajaan Negeri yang membenarkan rumah ibadah dibuka untuk tujuan ibadah dan bukan untuk upacara keramaian.
Sikap jemaah Negeri Sembilan sepatutnya dijadikan contoh untuk rakyat Malaysia
Sikap yang ditunjukkan oleh rakyat Negeri Sembilan ini sepatutnya dijadikan contoh oleh seluruh rakyat Malaysia. Sekiranya kita konsisten mematuhi SOP untuk mengelakkan jangkitan Covid-19, lebih mudah untuk kerajaan melonggarkan beberapa hal seperti solat berjemaah ni. Kalau kita sesuka hati langgar SOP, lebih-lebih lagi ketika membawa imej agama, sudah tentu ia akan membawa fitnah kepada diri dan agama.