Ada yang dipenjara kerana ingkar PKP, cuma ada yang tak setuju. Ini sebabnya

F1
Ada yang dipenjara kerana ingkar PKP, cuma ada yang tak setuju. Ini sebabnya

Sejak dari PKP fasa pertama lagi, dah ramai yang didakwa dan dipenjarakan sebab dah langgar PKP. Tak cukup dengan tu, masih banyak lagi yang melakukan ‘kekasaran’ ke atas polis sampai kena tahan pulak hanya sebab maki polis. Ada pulak pegawai polis yang mungkin dikenakan tindakan tatatertib kerana rotan para remaja yang masih degil ketika diarahkan pulang ke rumah.

Namun adakah tindakan penjara ni je mekanisme terbaik nak kawal para pesalah PKP ni? Sebelum ni kami dah bangkitkan kepentingan ada mekanisme yang sesuai, jadi kali ini, kami kupas pasal isu ni pulak…

Via Giphy

Jabatan Penjara minta pesalah PKP tak lagi dihantar ke penjara, lebih baik didenda buat khidmat masyarakat…

Namun begitu, jumlah orang yang dah kena tahan semakin ramai pulak sampai Jabatan Penjara minta pesalah PKP tak lagi dihantar ke penjara. Ni disebabkan Jabatan Penjara tak dapat nak kawal tahap kesihatan dan risiko yang mungkin timbul kerana keadaan penjara yang kurang memungkinkan polisi penjarakan sosial dilakukan.

Tu ada betulnya jugak; sukar untuk Jabatan Penjara nak sumbat para pesalah yang semakin hari bertambah pulak. Jadi kalau macam tu, adakah kita perlu sediakan tempat khas (selain dari penjara) untuk para pesalah PKP ni sebagaimana kita sediakan tempat khas untuk kuarantin suspek COVID-19?

Pusat Kuarantin Covid
Kita lebih perlu fasiliti untuk kuarantin para pesakit di bawah siasatan penyakit, bukan tahanan ingkar PKP yang sihat ni…Via Bernama

Tahukah korang pada awal fasa pertama dulu, ada pesalah ingkar PKP hanya dijatuhkan hukuman khidmat masyarakat selama tiga bulan dan didenda RM1,000. 7 lelaki mengaku bersalah ingkar PKP lepas ditahan ketika sedang beriadah di padang di Pulau Tikus, Georgetown.

Menurut Majistret yang mengadili kes tersebut iaitu Majistret Jamaliah Abd Manap, pada mulanya dia menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Denda Khidmat Masyarakat
Via Harian Metro

Kemudiannya, dia beri pertuduhan pilihan mengikut Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954, iaitu tiga bulan khidmat masyarakat yang ditentukan Jabatan Penjara dan denda RM1,000 jika sabit kesalahan. Oleh demikian, tertuduh perlu melakukan khidmat masyarakat empat jam sehari.

“Tugas mahkamah bukan sahaja untuk menghukum pesalah, tetapi juga mewujudkan kesedaran kepada orang ramai seperti hukuman penjara digantikan dengan hukuman khidmat masyarakat. Jika tertuduh gagal untuk melaporkan diri bagi hukuman khidmat masyarakat, hukuman berkenaan akan dibatalkan dan dikenakan hukuman penjara,”- Majistret Jamaliah Abd Manap, dipetik dari siaran Harian Metro pada 30 Mac 2020

Khidmat Masyarakat
Via Ketengah

Perkara ni sebenarnya turut dicadangkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara;

“Jabatan Penjara ingin cadangkan bahawa para pesalah yang ingkar PKP ini dijatuhkan hukuman arahan khidmat masyarakat di bawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954, dimana mereka dihukum menjalankan khidmat masyarakat berbanding hukuman penjara”- Datuk Seri Zulkifli Omar, seperti yang dilaporkan oleh Borneo Post pada 5 April 2020

528068
Zulkifli Omar. Via Sinar Harian

Berbaloi ke dijatuhkan penjara kerana orang lapar, nak cari makanan je?

Kami faham yang abang-abang polis kita cuma buat kerja. Kami hormati tugas mereka dan menghargai penat lelah serta pengorbanan mereka. Pihak polis tak boleh dipersalahkan dalam hal ni sebab arahan dah jelas iaitu mengawal pergerakan keluar penduduk. Malah, masyarakat awam pun dah jelas.

Walaupun begitu, kita kena ingat jugak bahawa para pesalah PKP ni bukanlah ‘penjenayah’ dan kebanyakan dari mereka merupakan pesalah muda. Secara tak langsung, para pesalah PKP mempunyai rekod banduan dah hanya disebabkan mereka ingkar PKP.

Pesanan Warden Penjara Covid
Pesanan seorang Warden Penjara dari sebuah hantaran Facebook… Via Astro Awani

Kisah seorang pelajar tingkatan enam ni menarik perhatian kami sebab awalnya, rekod dia bersih dari sebarang kelakuan jenayah. Namun hanya kerana lapar pada waktu tengah malam dan nak beli mi segera di kedai, dia ditahan  atas dakwaan ingkar PKP. Berikut luahan pelajar tersebut yang hanya nak dikenali sebagai Man.

“Jika diikutkan saya boleh dijamin dengan nilai jaminan RM800 tetapi keluarga tidak mampu menyediakan wang jaminan itu.

Saya sudah kematian bapa menyebabkan ibu terpaksa menjual nasi bajet untuk menyara keluarga seterusnya tidak mempunyai cukup wang untuk membayar wang jaminan. Sesal sekarang pun tiada guna kerana perkara sudah berlaku tetapi saya mengingatkan kepada orang ramai terutama remaja supaya tidak melakukan kesalahan sama,”

“Saya bukan budak nakal dan tidak pernah melakukan jenayah, oleh itu berasa sangat tertekan apabila ditahan seperti ini. Memang salah saya kerana keluar pada waktu malam seterusnya melanggar arahan PKP (dan) oleh (itu) tidak menyalahkan pihak berkuasa,”- Seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro pada 1 April 2020

Man Tingkatan Enam Covid
Hanya dikenali sebagai Man…Via Harian Metro

Tak semua ada kelebihan ada peti sejuk penuh dengan makanan, begitu jugak mempunyai simpanan yang cukup untuk bayar denda. Kalau bukan korang yang kena, boleh jadi ada antara ahli keluarga atau kenalan korang yang ditahan khususnya remaja yang tengah belajar macam kes Man.

Majikan pun susah nak terima mereka yang ada rekod banduan ni. Dahlah memang susah cari kerja sekarang, lagi-lagi apabila ekonomi dunia meleset teruk akibat COVID-19. Banyak syarikat kecil terpaksa gulung tikar, dan syarikat besar pula kena berjimat-cermat hingga terpaksa buang pekerja baharu mengikut prinsip last in, first out.

Kedai Tutup Covid
Via WRTV

Ketua Hakim suruh pegawai kehakiman guna pertimbangan sewajarnya, turut setuju cadangan Jabatan Penjara…

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat gesa para pegawai kehakiman untuk guna pertimbangan sewajarnya dalam menjatuhkan hukuman penjara bagi kesalahan ingkar PKP.

Dalam kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Tengku Maimun kata pegawai kehakiman dinasihati mengambil pertimbangan berkenaan risiko penularan wabak itu yang dihadapi penjara.

Tengku Maimun Tuan Mat
Ketua Hakim Negara…Via Sinar Harian

Walau bagaimanapun , perkara ni masih terletak pada budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkan bentuk hukuman yang sesuai dengan mengambil kira masalah risiko penularan wabak itu yang dihadapi penjara-penjara sepertimana yang disuarakan oleh Jabatan Penjara.

Tu jugak merupakan masalah terbesar untuk insitusi penjara seluruh dunia sebenarnya, bukan kita je. Banyak negara seperti Iran dah lepaskan banduan-banduan susulan risiko peningkatan penularan virus tersebut. Kira-kira 54,000 banduan dilepaskan, manakala 10,000 daripadanya bakal diampunkan. Benda ni lah yang kita perlu elakkan berlaku kat Malaysia.

Iran Penjara
Adakah kita nak ikut jejak Iran? Nanti masalah lain pula timbul…Via Wikicommons

PKPMP dalam kenyataan itu juga sahkan dah terima surat dan cadangan menggantikan hukuman penjara kepada hukuman khidmat masyarakat Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Untuk pengetahuan korang jugak, kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah ingkar PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana kawasan jangkitan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Buat khidmat masyarakat tak bererti bebas penjara, tetap ada kemungkinan dipenjarakan jika enggan…

Sebelum korang jadi tak puas hati kenapa mekanisme hukuman khidmat masyarakat ni pulak yang dicadangkan, kita kena jelas mengenai risiko penularan dalam penjara tu pulak.

Via Giphy

Selain tu, buat khidmat masyarakat ni pun sebahagian dari hukuman jugak dimana kehadiran mereka adalah wajib di bawah Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954. Boleh lah membantu masyarakat yang perlukan perhatian dan tenaga muda, kan?

Jika mereka langgar, maka mereka boleh ditahan semula dan dipenjarakan sebab dah ingkar perintah mahkamah. Oleh demikian, mekanisme ni masih lagi berfungsi untuk memberi pengajaran pada rakyat, bukan menghukum semata-mata. Pihak polis pun masih lagi kena laksanakan tugas mengawal dan menguatkuasakan undang-undang dengan menahan pesalah.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top