Kita tidak boleh menafikan, salah satu sebab Barisan Nasional tumbang pada PRU14 dahulu; imej Najib Razak yang dah tercemar gila. Cerita tentang dakwaan rasuah dan skandal 1MDB dah tersebar ke merata dunia. Keadaan ini telah menyebabkan rakyat jadi malu kerana memiliki PM yang macam tu, akhirnya dia tumbang pada PRU14. Ketika PH memerintah, populariti Najib kembali meningkat – terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu.
Ada banyak teori yang dikeluarkan untuk cuba menjawab kenapa Najib kembali popular. Antaranya dia sanggup “merendahkan martabatnya” – seperti bergaul dengan mat rempit dan melakukan hal-hal “hispter” yang tak beri gambaran imejnya sebagai bekas Perdana Menteri. Cuma, kena ingat juga – selain itu, sikap gelojoh sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam menangani isu perkauman telah menyebabkan masyarakat Melayu tak selesa, ini yang telah menjadi “minyak” kepada kepopularan Najib.
Game politik di Malaysia ni cukup simple kalau nak “menang” tanpa ada apa-apa syarat atau prinsip. Korang gunakan je sentimen bangsa atau agama. Mesti akan menjadi. Kalau korang buat sesuatu yang salah, ia boleh ditutup dengan jubah atau perbuatan islamik. Bak kata Zizi Kirana dalam lagunya – hati hitam boleh tutup dengan jubah. Cuma, sejak PH dijatuhkan, nampaknya popularitinya semakin surut. Cuma, dia bertuah kerana masih ada beberapa pemimpin PH nak bagi dia “minyak”.
Ada cadangan supaya Najib diangkat semula jadi Pengerusi Barisan Nasional yang biasanya dipegang Presiden UMNO
Semasa PH jadi kerajaan, kami pernah kritik mereka. Masa tu kami kata, PH kena move on dari isu Najib dan 1MDB ni. Diorang kena mula buat kerja secara berpasukan dan jangan asyik bawak naratif 1MDB ni, sebab – benda kalau hari-hari makan pun boleh bosan. Cuma, nampaknya nasihat ni telah menyebabkan orang mungkin dah mula lupa siapa Najib Razak, sehingga ada yang cuba nak bawak dia jadi PM sekali lagi.

Menurut laporan Sinar Harian, ada desas-desus kononnya nak desak bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN). Katanya usaha untuk lobi jawatan tu sedang dilakukan bagi membolehkan Najib dapat kembali jawatan yang pernah dipegangnya sebelum ni. Percubaan ni bukanlah kali pertama, sebab pada tahun lepas, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dedahkan Najib pernah mintak supaya dijadikan sebagai Pengerusi BN.
Cuma, masa tu, Najib dah dilantik jadi Pengerusi Lembaga Penasihat BN oleh Majlis Dewan Tertinggi BN dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merupakan Pengerusi BN. Sementara tu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos kata, saranan Najib pegang jawatan lebih penting dalam parti tu dilihat relevan untuk kukuhkan lagi UMNO dan BN untuk PRU akan datang.

Katanya, peranan Najib perlu ditonjolkan pada ketika ini dan sekarang dia cuma diberikan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN sedangkan fungsi jawatan tu dilihat minimum.
Jamal kata benda ni penting untuk kembalikan keyakinan rakyat, tapi Nong Chik ada pandangan yang berbeza
Langkah ini kata Jamal bertujuan untuk bantu UMNO dan BN hadapi PRU dan untuk dapatkan keyakinan rakyat. Kata Jamal, apa yang boleh menguatkan kembali BN adalah Najib mesti dilantik sebagai Pengerusi BN. Walaupun secara tradisionalnya Presiden UMNO ialah Pengerusi BN tapi kali ni kita lihat, saya bukan kata Presiden (UMNO) gagal, (langkah) ini untuk perkasakan lagi Presiden UMNO supaya Datuk Seri Najib boleh bantu Presiden UMNO.
“Najib perlu dilantik sebagai Pengerusi BN. Perkara ini boleh dilakukan sebenarnya. Ini kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid boleh fokus dalam parti UMNO, memperkuatkan UMNO dan memperkukuhkan UMNO,” – Jamal, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian

Cuma ada je orang yang tak setuju dengan Jamal ni. Bagi bekas Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pulak, hal ehwal dalaman parti perlu diserahkan kepada mereka yang berjawatan.
“Pada saya, biarlah mereka yang berjawatan menjalankan tanggungjawab, ada jawatan dalam UMNO seperti Presiden, Timbalan dan Naib Presiden serta semua yang terbabit kerana inilah hierarki dalam UMNO. Najib boleh bertanding apabila sampai masanya nanti. Apabila tiba pemilihan (parti) akan datang, setelah beliau selesai menjalani proses perbicaraannya di mahkamah, memang dia layak untuk bertanding (dalam pemilihan UMNO) akan datang. Bukan sahaja layak tetapi dia berhak untuk bertanding,” – Nong Chik, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Dia kata, sekiranya berlaku PRU mengejut dalam tempoh terdekat ni, keputusan parti perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti yang ada sekarang untuk membuat keputusan bagi mewakili UMNO dan BN.
Adakah Najib akan kembali pegang jawatan penting? Satu tamparan hebat kalau namanya belum dibersihkan
Melihat perkembangan politik semasa, tak mustahil untuk Najib buat comeback untuk PRU15. Lebih-lebih lagi, kami percaya gabungan parti kerajaan yang ada pada hari ni tak akan berkekalan sehingga PRU15. Sebabnya mudah je, BERSATU, UMNO dan PAS sebenarnya tengah kejar pengundi yang lebih kurang. Sudah tentu krisis tentang pembahagian parti akan berlaku, kan? Lagipun kami dapat nampak, masa hadapan Bersatu agak suram untuk PRU15.
Najib dah pernah kata dia nak bersihkan namanya melalui kaedah undang-undang, kami harap dia kotakakan apa yang dia cakap tu. Selagi Najib tak dibuktikan bersalah dan bersih dari tuduhan-tuduhan rasuah/skandal ni, dia tak sepatutnya pegang apa-apa jawatan penting dalam negara.