Ada yang nak Hishammuddin kembali, ini respons pemimpin UMNO

f1 min (15)

UMNO Bahagian Sembrong menyatakan hasrat supaya bekas ketua bahagiannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diterima semula dalam kepemimpinan parti. Perkara itu disuarakan secara terbuka dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, sekali gus ia masuk tahun kedua UMNO Bahagian Sembrong membawa usul supaya penggantungan Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa syarat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika berucap merasmikan mesyuarat itu hari ini memulakan ucapan dengan mengenang peranan besar Hishammuddin yang dianggap sebagai ‘sifu’ dalam permulaan karier politiknya.

“Sembrong ini bukan sekadar kawasan politik, ia tempat saya mula belajar dan mengenal erti perjuangan dan orang yang membawa saya ke sini ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,” katanya

Menurut Menteri Besar Johor itu, walaupun Hishammuddin tidak hadir dalam majlis berkenaan, usul yang dikemukakan mencerminkan penghargaan ahli akar umbi terhadap kepemimpinan Hishammuddin.

“Saya dimaklumkan ada usul supaya pucuk pimpinan UMNO mempertimbangkan semula untuk menerima beliau kembali di peringkat UMNO Bahagian Sembrong. Insya-Allah, sebagai Pengerusi UMNO Johor, saya akan bawa usul ini ke peringkat tertinggi,” katanya.

UMNO sebelum ini membuat pembersihan besar-besaran parti apabila beberapa pemimpinnya digantung dan dipecat antaranya Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

datuk seri hishammuddin tun hussein
Hishammuddin. Via Bernama

Hishammuddin digantung selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Pada 11 Disember lalu, media melaporkan Hishammuddin mengulangi pendirian untuk tidak merayu keputusan penggantungan keahliannya atas alasan sehingga ke hari ini tidak tahu punca penggantungannya selama enam tahun itu. Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, usul dibawa bahagian itu, selaras dengan kehendak majoriti ahli perwakilan yang mahu bekas Menteri Kanan Pertahanan itu kembali aktif dalam parti.

Reaksi beberapa pemimpin Umno berhubung gesaan tarik balik pengantungan Hishammuddin

Pemuda UMNO Johor menyambut baik cadangan UMNO Bahagian Sembrong yang mahu penggantungan keahlian Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ditarik semula. Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, langkah yang dicadangkan itu dilihat sebagai satu usaha ikhlas dan membina untuk memperkukuh parti, bukan sahaja di peringkat bahagian dan negeri, malah di peringkat nasional.

“Nama Hishammuddin bukan sahaja sinonim dengan rakyat Sembrong, bahkan sangat berkait rapat dengan perjuangan dan legasi UMNO itu sendiri. Ketika UMNO sedang berusaha memantapkan asas serta kekuatan parti melalui kepimpinan di semua peringkat, cadangan seperti yang dikemukakan oleh UMNO Sembrong wajar diberi perhatian serius,” katanya

Menurut Noor Azleen, pihaknya percaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan parti akan meneliti cadangan tersebut dengan sewajarnya.

hishammuddin hussein bernama 20221027
Hishammuddin. The Vibes

“Usul terbabit diyakini akan dipertimbangkan seperti mana pendekatan yang telah diambil terhadap usul-usul daripada bahagian lain di seluruh negara. Keputusan yang diambil kelak perlu berpaksikan kepada kepentingan parti dan hala tuju masa depannya,” ujarnya.

Semua UMNO bahagian dibenarkan mengemukakan sebarang usul termasuk isu penggantungan keahlian bekas Naib Presiden parti itu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada mesyuarat perwakilan. Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata usul itu kemudian akan dikumpulkan dan dikemukakan kepada kepimpinan parti untuk diteliti.

“Saya rasa sesiapa boleh buat (kemukakan) permohonan (usul). Perkara itu hak mereka,” katanya

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata demikian bagi mengulas pertanyaan berhubung usul untuk menarik balik penggantungan keahlian Hishammuddin. Bagaimanapun, beliau berkata, UMNO belum menerima sebarang permohonan berkaitan perkara itu.

71666709654 tbazalinaothman
Azalina. Via Awani

“Saya tidak nampak (terima) apa-apa permohonan (tarik balik penggantungan keahlian Hishammuddin). Mungkin ia dalam mesyuarat pengurusan parti,” katanya.

Mesej yang sama dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata jika Ahli Parlimen Sembrong itu mahu penggantungannya ditarik balik, beliau perlu terlebih dahulu menulis surat rayuan kepada parti.

“Tulis surat…(beliau) pergi kita tak halau, balik tak dijemput, nak balik, baliklah. Terpulang kepada MKT yang punya kuasa untuk memendekkan hukuman. Kalau MKT kata ok, oklah. Macam (penggantungan keahlian) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dia datang minta tolong dengan saya, saya kata tulis surat (kepada parti untuk rayuan). Dia tulis surat dan lulus (penggantungan ditarik balik), apa masalahnya, jangan bodoh sombong nak buat apa, UMNO tak terhegeh-hegeh,” katanya.

Penganalisis berkata kemasukkan semula Hishammuddin dan KJ mungkin akan bawa impak positif pada UMNO

Persada politik tanah air terus menyaksikan episod dinamik yang sukar dijangka apabila UMNO kini berdepan desakan UMNO Sembrong untuk menamatkan penggantungan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, desakan tersebut lebih daripada isu peribadi kerana ia menjadi petanda UMNO sedang berdepan pertembungan dua arus utama antara pembaharuan dan terikat kepada keistimewaan lama.

Menurutnya, sekiranya Majlis Tertinggi UMNO tunduk kepada desakan akar umbi dengan menerima kembali Hishammuddin, ia boleh dianggap sebagai kemenangan kem profesional dan pragmatik dalam parti yang semakin terasing sejak kejatuhan Barisan Nasional (BN).

“Langkah itu juga boleh dianggap sebagai pengiktirafan semula kuasa politik dinasti dan lama dalam UMNO, sekali gus membayangkan parti itu enggan melakukan perubahan sebenar.  Penerimaan semula Hishammuddin mungkin beri sedikit ruang kepada citra sederhana UMNO tetapi jika diteliti secara kritis, ia boleh menjadi ‘make over’ kosmetik untuk menutup agenda sebenar, iaitu kesinambungan elit dan kronisme,” ujarnya.

Ahmad Zaharuddin berkata, situasi dalam UMNO semakin menarik dengan satu lagi teka-teki mengenai Khairy Jamaluddin Abu Bakar, figura yang sukar ‘dijinakkan’.

xr:d:daekpgvimvi:4434,j:4345259064369086807,t:23120508
Khairy Jamaluddin. Via Utusan

“Adakah Khairy akan kembali menyemarakkan UMNO yang sedang hilang arah? Pengaruh beliau dalam naratif politik UMNO ibarat ‘hantu’ yang belum bermukim tetapi cukup menggetarkan. Ini menunjukkan politik Malaysia ketandusan figura segar yang berprinsip dan berwawasan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bekas Ketua Pemuda UMNO itu terus menjadi tumpuan apabila wujud desakan akar umbi agar beliau kembali ke pangkuan parti selepas pemecatannya.

Ahmad Zaharuddin percaya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini berdepan persoalan sama ada berani membuka pintu kepada Khairy atau terus tunduk kepada tekanan ‘old guards’ yang bimbang akan bayangan reformasi dalaman.

“Khairy sendiri telah beri isyarat dan acapkali ‘meletup’ di media atas kapasiti penganalisis atau pengkritik UMNO dari luar di stesen radio, kadang kala sibuk membina ‘jenama peribadi’. Jika diterima kembali, beliau mampu menjadi jalur baharu dalam memperluas pengaruh UMNO dalam kalangan pengundi muda dan profesional, malah berpotensi mencetuskan pertembungan dua kem dalam parti,” ujarnya.

Beliau turut memberi amaran UMNO boleh kehilangan sokongan pengundi bandar sekiranya terus menutup pintu kepada Khairy yang memiliki pengaruh dan pengalaman pentadbiran untuk mencetuskan gelombang baharu, sama ada melalui pentas baharu politik atau sekadar ‘perancang di belakang pentas’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *