Ini yang akan terjadi kalau takde seorang pun Ahli Parlimen cukup undi

F1

Semalam dah jadi macam hari kami tunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penuh debaran dan teka-teki. Kalau masa SPM kita cuma fikir keputusan yang akan beri kesan pada diri kita, tapi apa yang jadi semalam adalah berkaitan dengan masa hadapan negara. Kami pun asyik tengok telefon je untuk tengok berita-berita berkaitan.

Reaksi kami semasa menunggu keputusan dari Istana Negara. Via Giphy

Semalam, ada berita yang kata pihak Istana Negara akan beri jawapan kepada game politik yang tengah berlaku. Tunggu punya tunggu, belum ada pengumuman. Kami rasa benda tu akan diumumkan hari ni kot. Cuma kami tertanya-tanya apa yang akan terjadi kalau takde satu pun Ahli Parlimen yang dipilih dengan angka 112 sokongan atau lebih.

Apa akan jadi? Kami pun terjumpalah satu tulisan yang dikarang oleh seorang aktivis politik yang bernama Abd Malek Hussin tentang kemungkinan yang akan terjadi kalau takde seorang pun yang dapat undi majoriti mudah.

Aktivis politik ni terangkan kepada orang awam tentang apa yang akan jadi kalau takde Ahli Parlimen cukup undi

Setakat semalam, saudara Malek ni menyimpulkan takde mana-mana calon dari kalangan ahli Dewan Rakyat dapat undi majoriti untuk jadi Perdana Menteri yang baru. Mengikut maklumat terkini yang didapatinya, jumlah ahli Dewan Rakyat yang mencalonkan Anwar Ibrahim mengatasi calon-calon lain. Benda ni masuk akal, sebab jumlah ahli Parlimen PH yang ada hari ni adalah – 92 kerusi. ‬

‪Jika diandaikan dalam konteks pilihan raya pelbagai parti dan calon, Anwar dah boleh dikira sebagai pemenang.‬ Cuma, benda ni bukan soal menang sesuatu pilihan raya, tapi mengenai perlantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.‬

‪Benda ni terserah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk lantik seorang ahli Dewan Rakyat jadi PM yang pada pendapatnya dapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat.‬

‪Persoalannya, bolehkah Agong lantik Perdana Menteri yang takde majoriti semasa di Parlimen, walaupun ahli Dewan Rakyat tu terbukti dapat kepercayaan lebih besar berbanding calon-calon yang lain?‬ ‪Dalam erti kata lain, bolehkah Agong melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan lebih besar ahli-ahli Dewan, tapi takde bermajoriti mutlak di Parlimen?‬

Sebenarnya benda ni boleh berlaku di negara kita, ramai yang tak tahu istilah kerajaan minoriti

Pada pendapat saudara Malek ni, benda tu tak jadi masalah. Perlembagaan Persekutuan tidak halang pembentukan sesebuah kerajaan minoriti. Malah, dalam amalan demokrasi Westminster, kerajaan minoriti telah berkali-kali dibentuk tanpa majoriti di House of Commons UK sejak 1900 dan juga diamalkan di lain-lain negara maju berdemokrasi.

‪Anwar Ibrahim boleh jadi Perdana Menteri yang mengetuai Jemaah Menteri dengan berkerajaan minoriti. Kerajaan minoriti terbentuk dalam sistem demokrasi berparlimen apabila sesebuah parti atau gabungan parti-parti takde majoriti mutlak dalam Parlimen.‬

‪Tanpa majoriti, kerajaan minoriti tentunya akan lebih cenderung jadi tak stabil, sebab ia terdedah kepada penolakan rang undang-undang, dan jika pembangkang bersatu dengan cukup jumlah majoriti, kerajaan boleh ditumbangkan dengan undi tak percaya di Parlimen.‬

‪Jika diluluskan ketetapan undi tidak percaya, Perdana Menteri dan kerajaan minoriti hendaklah meletakkan jawatan selaras Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan. Perdana Menteri kemudiannya boleh meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, dan pilihan raya umum diadakan.‬

S1
Kedudukan terkini Ahli Parlimen. Via Berita Harian

‪Untuk mengatasi benda ni, kerajaan minoriti perlu ambil langkah berunding dengan satu atau dua parti lain untuk membentuk kerajaan campuran yang baru, atau mengekalkan kerajaan minoriti dengan disokong oleh parti-parti pembangkang tu dalam bentuk persefahaman yang tertentu, dan mengekalkan mereka sebagai pembangkang.‬

‪Pembentukan kerajaan minoriti bukan suatu yang pelik dalam sistem Parlimen, khusunya dalam negara-negara yang mengamalkan demokrasi.  ‬Pada masa kini, ada banyak negara maju berdemokrasi mempunyai kerajaan minoriti, antaranya — Belgium, Canada, Croatia, Republik Czech, Denmark, Ireland, Netherlands, New Zealand, Norway, Portugal, Romania, Slovenia, Sepanyol dan Sweden.‬

Benda ni bukan baru pun, Denmark yang ada kerajaan minoriti paling kurang rasuah

‪Negara paling signifikan berkerajaan minoriti ialah Denmark. Sejak 1982, Denmark hampir tak pernah ada kerajaan majoriti. Namun, kerajaan yang silih berganti di Denmark dapat lakukan reformasi ekonomi tanpa masalah di Parlimen.‬

‪Mette Frederiksen, seorang wanita berusia 43, menjadi Perdana Menteri Denmark sejak 27 Jun 2019. Dia mengetuai parti Social Democrats yang memperolehi cuma 26.8% atau 48 daripada 179 kerusi di Parlimen, tapi dapat sokongan daripada beberapa parti pembangkang yang lain untuk berkuasa.‬

‪Sekalipun, tanpa kerajaan majoriti, Denmark tak mengalami krisis politik. Malah, Denmark kekal jadi negara bersih rasuah di dunia, mendapat tempat pertama dalam Indeks Persepsi Rasuah mengikut laporan Transparency International 2019 dan negara keempat terbaik dunia dalam Indeks Mudah Menjalankan Perniagaan mengikut laporan Bank Dunia 2020 selepas New Zealand, Singapura dan Hong Kong.‬

S1
Index Rasuah. Via WeForum

Berbanding idea ‘kerajaan campuran’ yang diusulkan oleh Tun Mahathir, kami rasa idea ni lebih masuk akal. Sebabnya, dalam amalan demokrasi; kita tak boleh biarkan seseorang tu terlalu berkuasa tanpa disemak imbang. Tak kiralah orang tu sehebat mana, tentunya ia tak boleh dibiarkan berkuasa bersendirian tanpa disemak.

 

Artikel ini diambil dan disunting daripada status Facebook saudara Abdul Malek Hussin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *