Bahasa Tamil dikatakan dipinggirkan? Kami ulas isu semasa berkaitan hal ini

f1

Bahasa adalah suatu alat yang begitu berkuasa. Korang faham je sikit-sikit, korang dah boleh sampaikan mesej kepada orang lain. Korang faham banyak-banyak pulak, korang dah boleh berkomunikasi dan bertukar pandangan dengan orang lain. Kat Malaysia ni, kita ada pelbagai pilihan bahasa untuk dipelajari. Selain dari bahasa Melayu, kita boleh belajar bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. Pilihan bahasa ni turut diajarkan dalam institusi pendidikan kita; kat sekolah pun ada, kat universiti pun ada jugak.

728 X 90

Walaupun begitu, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ni agak mengejutkan ramai pihak dan turut menimbulkan banyak pertanyaan. Bahasa Tamil dikatakan tak lagi popular dan semakin disisihkan oleh kerajaan sendiri. Betul ke dakwaan ni? Kami cuba kupas apa sebenarnya yang berlaku…

Kpm Didiktv
Via Harian Metro

KPM maklumkan takde lagi biasiswa untuk pengajaran Bahasa Tamil, kurang keperluan untuk guru bahasa tersebut di sekolah sehingga 2025

Pada 25 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan KPM tak lagi menawarkan Biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Tamil. Antara sebab utama yang diberikan oleh KPM adalah terdapatnya lebihan guru dalam mata pelajaran bahasa tersebut di sekolah menengah. Jelas KPM lagi, penawaran biasiswa ISMP dibuat berdasarkan perancangan dan unjuran keperluan opsyen guru KPM bagi sekolah menengah dari tahun ke tahun.

Menurut maklumat yang KPM edarkan, tahun ni dijangkakan sebanyak 28 mata pelajaran yang masih ada keperluan di sekolah menengah KPM dan kena diisi menjelang 2025. Namun begitu, KPM turut unjurkan dah ada keperluan guru Bahasa Tamil di sekolah rendah menjelang 2026. Jadi KPM menerusi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) masih lagi buka tawaran program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bidang pengkhususan Bahasa Tamil untuk September 2021.

biasiswa ismp 2021
Via Ecentral

Dengan kata mudahnya, KPM tak bagi biasiswa tapi masih lagi mengalu-alukan pendaftaran baharu untuk ijazah perguruan Bahasa Tamil. Pemberian Biasiswa ISMP ni hanya diberikan kepada pelajar cemerlang di universiti awam yang berada dalam peringkat tahun pertama atau kedua je. Siapa yang terima biasiswa ni akan dilantik menjadi guru dan bakal ditempatkan di sekolah menengah KPM. Oleh kerana sekolah menengah dah cukup cikgu Bahasa Tamil, ni bermakna sesiapa yang nak jugak boleh ambil… tapi kerajaan tak jamin lagi hingga 2025.

Yang kekurangan guru tu pulak di sekolah rendah. Ni bererti graduan perguruan Bahasa Tamil kena berhadapan dengan potensi diserap ke dalam sekolah rendah, bukan sekolah menengah. Apa yang kita boleh faham daripada maklumat edaran tu jugak, KPM tak menidakkan kemungkinan biasiswa tersebut akan ditawarkan semula sekurangnya pada 2026 bagi penempatan di sekolah menengah pulak.

Kira-kira 200 mahasiswa India bakal terjejas masa depan, manakala realiti di sekolah amat berlainan dengan data kerajaan

Tindakan ni mungkin nampak rasional atas kertas, tetapi bagaimana pulak nasib mahasiswa yang baru je ‘diputuskan’ tali hayat mereka? Kebanyakan mereka dah tunggu-tunggu permohonan biasiswa tu dibuka, tetapi berita ni mesti akan menggusarkan hati mahasiswa yang dah usaha capai syarat permohonan daripada maklumat tahun-tahun lepas berkaitan biasiswa tersebut. Ahli Exco Negeri Selangor, Ganabatirau Veraman mempersoalkan tindakan ni sebagai tindakan birokrasi yang berunsurkan rasisme.

Ini bukannya soal mengenai pengambilan BARU bagi pengajian dalam bidang Bahasa Tamil tetapi hebahan ini adalah untuk pelajar SEDIA ADA yang sedang mengikuti pengajian di peringkat Universiti bagi memohon biasiswa. Sekiranya bidang Bahasa Tamil tidak dipertimbangkan, maka ia seolah-olah menutup peluang bagi pelajar-pelajar India yang berkelayakan. Bagi sesetengah pelajar India terutamanya daripada golongan B40, peluang bagi memohon biasiswa ini merupakan peluang keemasan bagi mengatasi beban kewangan keluarga mereka. Adakah wajar KPM menutup peluang ini bagi pelajar-pelajar India? Adakah YB Menteri Kanan Pendidikan bersikap rasis? – Seperti yang dilaporkan Selliyal.com

ganabatirau veraman
Ni lah Ganabatirau Veraman, ahli Exco Selangor. Via Selliyal

Senada dengan tu, isu ni turut diulas seadilnya oleh sebuah akhbar Tamil, Makkal Osai. Dalam kolum lidah pengarangnya, pengumuman KPM yang nak hentikan biasiswa tu memberi kejutan besar buat masyarakat Tamil. Menurut akhbar tersebut, para mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian ISMP di universiti awam terutamanya Bahasa Tamil bakal pikul tanggungjawab besar untuk mendidik bahasa ibunda di sekolah menengah.

Kesemua mahasiswa tersebut jugak biasanya akan dipertanggungjawabkan untuk ajar subjek Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Bahasa Tamil. Tetapi secara realitinya, pihak pengurusan sekolah menengah sendiri dikatakan sedang alami masalah kekurangan guru untuk mengajar kedua-dua subjek tu untuk semua tingkatan. Oleh tu, Makkal Osai mengesyorkan agar KPM pertimbangkan semula keputusan ni, apatah lagi apabila ia akan menjejaskan kira-kira 200 mahasiswa India yang tengah mengikuti jurusan perguruan tu di universiti awam.

p. kamalanathan / buku panduan bahasa tamil
Via Beria Harian

Tambahan lagi, Makkal Osai turut menyeru agar ibu bapa ambil insiatif sendiri untuk hantar anak mereka ke sekolah Tamil, selain menggalakkan ambil pendidikan Tamil pada peringkat sekolah menengah dan universiti awam. Pelajar India jugak kena tunjukkan minat untuk mempelajari bahasa Tamil dan ambil subjek berkenaan dalam peperiksaan utama mereka. Bila ada permintaan, tentulah bekalan pun akan lebih banyak dan mungkin KPM takkan tarik balik biasiswa tersebut.

Konsep penguasaan multibahasa kena dilazimi ramai, tak sekadar memuliakan bahasa Inggeris semata-mata

Jika diteliti… bahasa Tamil seringkali disalahanggap sebagai bahasa yang takde nilai dalam masyarakat. Bahkan nak temui wacana berkenaan bahasa Tamil pun agak sukar jugak untuk menembusi sfera tahu khalayak luar penuturnya. Ramai lebih memilih untuk menguasai sekadar satu hingga tiga bahasa; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Kalau korang perasanlah kan, rata-rata masyarakat kita akan lebih minat belajar bahasa tu apabila mereka ‘nampak’ kepentingan nak belajar sesuatu bahasa tu. Adakah tu sebabnya Bahasa Tamil jarang mendapat tempat di hati orang ramai?

slip result spm
Via Varnam.my

Pada tahun 2019, FMT melaporkan kisah sekeluarga Melayu yang boleh bertutur dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin dan Tamil. Kisah mereka menjadi bukti bahawa konsep multibahasa termasuklah bahasa Inggeris tu lebih jauh dari sekadar mengukur kepintaran seseorang sebagaimana reaksi-reaksi lepas peristiwa sorang guru Sains yang tak lancar berbahasa Inggeris dikecam dan ditertawakan secara terbuka. 

Mungkin dalam suatu masa nanti, kita jugak boleh mencantumkan pilihan bahasa ni untuk ditawarkan kat sekolah hingga ke peringkat pendidikan dewasa. Galakan menguasai lebih dari tiga bahasa sentiasa terbuka, dan kenalah terus dibicarakan dari semasa ke semasa. Di masa hadapan yang kami impikan ini, pendidikan bahasa diberdayakan kerana semangat ingin tahu dan cintakan pengetahuan. Takde unsur negatif atau timbulnya unsur perkauman; hanya laparkan pengetahuan semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *