Salah satu perkara yang paling penting sebagai ketua negara adalah memastikan imej dirinya sentiasa berada di paras terbaik. Melalui pemerhatian kami, nampaknya Muhyiddin Yassin tengah mengalami sesuatu yang pernah dialami oleh Najib Razak sebelum PRU-14 dulu; kebanyakan rakyat datang ke media sosialnya untuk melakukan kritikan atau makian. Keadaan ini berlaku kerana manifestasi rasa tak puas hati rakyat tentang apa yang berlaku.
Walaupun kita boleh berhujah orang-orang yang mengkritik adalah penyokong-penyokong pembangkang; kita juga harus akui ada netizen non-partisan turut marah dengan PM kita. Ia adalah sesuatu yang biasa dalam negara demokrasi, apa yang luar biasalah adalah – hantaran sosial media pemimpin nombor satu negara dibanjiri komen-komen negatif terhadapnya. Hari ini kami cuba selami beberapa perkara yang mungkin menyebabkan naratif ‘abah’ telah kalah di media sosial.
PRN Sabah: Mereka mungkin telah memenangi Sabah, tapi telah kehilangan Malaysia
Bagi mereka yang tak tahu, Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 berlangsung pada 26 September 2020 bagi memilih 73 anggota DUN baharu. DUN Sabah sebelum ini dibubarkan pada 30 Julai 2020 selepas permohonan pembubaran dewan diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin hari tersebut.
Keadaan ini berlaku kerana ada beberapa ADUN Sabah yang lompat secara berjemaah di Sabah, menyebabkan Shafie Apdal, Ketua Menteri Sabah ketika itu kehilangan majoriti. Masa ni diorang nak main game macam dekat Melaka dengan cara beberapa ADUN melompat untuk menjatuhkan kerajaan secara menghilangkan majoriti tanpa melalui pilihan raya.
Akibat daripada PRN Sabah ini, kes baharu Covid-19 semakin meningkat dan menggila. Keadaan ini menyebabkan rakyat marah kerana; mengapa tidak dihalang PRN ini berlaku. Ada beberapa kaedah; pertama larang gerakan lompat ADUN yang dimotori Musa Aman. Andai acara lompat-melompat ini tidak terjadi, maka pastinya PRN Sabah tidak akan diadakan. Mereka mungkin menang Sabah, tapi nampaknya mereka hampir kehilangan Malaysia.
Jumlah kes Covid-19 yang semakin meningkat, rakyat mula persoalkan tindakan kerajaan
Sebab yang kedua ini berpunca daripada sebab yang pertama jugak. Pada awal bulan ini, ada laporan yang mengatakan Malaysia dijangka akan rekodkan peningkatan jumlah kes Covid-19 sehingga 8,000 kes sehari pada akhir Mei, jika kadar infektiviti negara berterusan pada 1.1.
Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah ada menunjukkan kemungkinan senario untuk negara sekiranya gagal menurunkan Covid-19 kepada R-naught, yang kini berada di sekitar 1.1. Angka R-naught digunakan oleh ahli epidemiologi untuk menerangkan tahap keseriusan sesuatu penyakit berjangkit. Kadar di atas menunjukkan bahawa infektiviti semakin meningkat.
“Perhatikan kepada kes harian Covid-19 dan jangkaan unjuran kes dari 4 Januari sehingga 31 Mei 2021 dengan kadar kebolehjangkitan Ro/Rt pada 1.1 dan 1.2 di Malaysia,” – DG Noor Hisham melalui Twitternya.
Dengan angka 1.1, KKM unjurkan bahawa jangkaan peningkatan 3,000 kes sehari pada minggu kedua bulan Februari dan terus meningkat menjadi 5,000 kes sehari dalam minggu kedua bulan April. Sekiranya berterusan, jumlah kes harian akan meningkat menjadi 8,000 pada minggu keempat bulan Mei.
Apabila kes Covid-19 kelihatan tak terkawal di Malaysia, rakyat tentunya akan mula resah dan bertanya kepada kerajaan mengapa keadaan ini boleh terjadi. Ketika rakyat melihat salah satu sebabnya kerana politik, maka ia menyebabkan rakyat menjadi marah. Keadaan ini menyebabkan populariti PM semakin merosot.
SOPs yang dikeluarkan sesekali jadi bahan jenaka netizen kerana tak masuk akal
Salah satu contoh yang paling mudah adalah kerajaan dikatakan dah lakukan “kesilapan” dalam prosedur operasi standard (SOP) terbaru untuk perayaan Tahun Baru Cina minggu depan. Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker dalam catatan di Facebooknya berkata senarai yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu mesti ditarik balik dan diganti dengan versi yang disemak semula.
Senarai tu mengatakan bahawa kerajaan hanya benarkan keluarga yang tinggal di rumah yang sama untuk makan malam untuk memperingati majlis tu. Pada Khamis, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan membenarkan aktiviti majlis ‘makan besar’ bersama keluarga serta upacara sembahyang di rumah dijalankan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada 11 dan 12 Februari depan.
Bagaimanapun, katanya, aktiviti persembahan dan kebudayaan seperti tarian singa, naga, perarakan tanglung dan chingay serta persembahan opera Cina tak dibenarkan. Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menerusi Twitter menjelaskan maksud makan besar untuk mereka yang tinggal di rumah sama oleh Ismail hanyalah bermaksud makan malam biasa dan bukan makan besar Tahun Baru Cina.
Sekali lagi, benda-benda macam SOP yang kelakar ni buatkan ramai orang hilang kepercayaan kepada kerajaan. Lebih-lebih lagi ia melibatkan benda-benda penting seperti sambutan perayaan dan aktiviti seharian masyarakat. Semenjak pandemik ni berlaku, ada beberapa SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan selalu dijadikan sebagai jenaka.
Kalau momentum macam ini diteruskan, berkemungkinan Perikatan Nasional akan kalah
Sekiranya momentum ini diteruskan oleh kerajaan, kemungkinan besar Perikatan Nasional menghadapi kesukaran untuk menang pada PRU15. Diorang kena kurangkan pengumuman-pengumuman yang tak beritahu benda-benda penting, dan fokus untuk bantu rakyat keluar daripada kesukaran-kesukaran pandemik. Ebit Lew dah jadi lagi popular bantu orang berbanding kerajaan pada hari ini.