Semalam hangat cerita Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang katanya ingin dihidupkan semula oleh Menteri Pendidikan kita, Tun Mahathir. Berita ini telah datangkan pelbagai reaksi dari netizen, seperti kebanyakan isu; sudah tentu ada orang yang menyokong dan menentang. Sekarang ni ‘pakar-pakar’ sosial media tengah berbincang dengan rancaknya.
Mari kita tinggalkan sebentar persoalan tu dengan baca satu perkongsian yang dibuat oleh seorang ahli Parlimen ni. Dia bincangkan persoalan isu jawi dan kepentingan bahasa kebangsaan.
Ahli Parlimen ni bincangkan kontroversi tulisan jawi, dan kepentingan jawi dalam sejarah Malaysia…
Ramai yang beranggapan bahasa Melayu tidaklah sehebat bahasa Inggeris kerana ia bahasa ‘business’. Kita tak nafikan kepentingan bahasa Inggeris – terutamanya dalam sektor pekerjaan dan keilmuan – ia penting kerana aktiviti penterjemahan di Malaysia terlalu layu. Banyak karya-karya penting di peringkat global tidak diterjemahkan dalam bahasa Melayu.
Kami tertarik dengan tulisan oleh ahli Parlimen Setiawangsa, YB Nik Nazmi apabila dia bincangkan hal bahasa Melayu dengan lebih menyeluruh.
Dia mulakan dengan kata tahun 2020 merupakan tahun penuh kontroversi, perang budaya di antara kaum dan agama semakin membara. Baru-baru ni cadangan nak jadikan khat jawi sebagai satu elemen dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah buat ramai gelabah. Ia telah undang macam-macam reaksi, dan ramai yang ulas dari sudut perkauman. Lebih malang, ada pihak tak bertanggungjawab jadikan cadangan tu sebagai modal meraih sokongan politik.
Tulisan jawi ni adalah antara bahagian penting dalam sejarah Malaysia. Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 ditulis dalam bahasa Melayu (tulisan jawi) dan bahasa Inggeris tanpa ada versi bahasa Melayu rumi. Ironinya, ramai orang hari ini kurang arif dengan tulisan jawi.
Dalam sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah atau Hikayat Merong Mahawangsa dan manuskrip penting yang lainnya ditulis menggunakan jawi. Namun, ada karya-karya lain yang dilupakan orientalis barat kerana tak memenuhi stereotaip bahawa semua karya sastera Melayu berbentuk mitos dan legenda.
Contohnya manuskrip Taj-us Salatin atau Mahkota Raja-Raja yang ditulis pada tahun 1603 di Aceh Bukhara al Jauhari. Ia terbit hampir 50 tahun sebelum ahli falsafah Inggeris, Thomas Hobbes menerbitkan buku Leviathan.
Karya itu antara karya terawal yang menyentuh undang-undang perlembagaan dan kontrak sosial seperti Leviathan mengulas perjanjian antara Tuhan dengan manusia serta hubungan antara pemerintah dengan rakyatnya.
Ada yang berpandangan bahasa kebangsaan tak penting, pejuang ‘Melayu’ pulak bersifat ironi
Ada sebilangan rakyat Malaysia yang anggap bahasa kebangsaan tak penting, pandangan tu dangkal. Bahasa Melayu bukan sahaja bahasa kebangsaan tetapi lingua franca. Apabila YB Nik Nazmi ni bertemu ahli politik dan pegawai kerajaan Singapura, diorang ada luahkan kekesalan terhadap tindakan yang mengabaikan bahasa Melayu.
Dalam memoirnya, Lee Kuan Yew menulis: “Di rumah saya menggunakan bahasa Inggeris dengan ibu bapa saya, bahasa Melayu Baba sejenis dialek Melayu dicampur perkataan Cina dengan datuk dan nenek saya dan bahasa Melayu dengan campuran sedikit Hokkien dengan kawan-kawan.”
Pesanan ini bukan sahaja untuk bahasa Melayu tetapi juga untuk bahasa Mandarin, bahasa Tamil dan bahasa-bahasa ibunda lain. Majoriti rakyat Malaysia masih ada asas untuk bertutur dalam bahasa Melayu tak kiralah bahasa pasar atau guna dialek tempatan. Realitinya penting untuk semua rakyat tanpa mengira kaum untuk memahami dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Cuba tengok video ‘prank’ dari Singapura ni tentang orang Singapura cakap bahasa Melayu.
Ironisnya, ada orang yang lantang bermati-matian pertahankan tulisan jawi dan isu-isu Melayu tapi anak-anak mereka tak boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Apa yang diperlukan adalah kepercayaan dan hubungan baik di kedua-dua belah pihak. Kita juga perlukan pemimpin yang ada keazaman politik dan kewibawaan untuk membincangkan perkara ini.
Dalam Islam, anjuran lita’arafu atau saling mengenali antara satu sama lain amatlah penting terutama dalam masyarakat majmuk. Menurut Nik Nazmi, di Setiawangsa ada sebuah surau yang mengadakan sambutan Tahun Baru Cina. Pada tahun ini, dia berharap dapat mengadakan majlis berbuka puasa pelbagai kepercayaan dengan pemimpin pelbagai agama.
Bahasa Melayu harus dikembangkan sebagai bahasa ilmu, perbincangan pulak akan hindarkan prejudis
Bahasa Melayu penting dikembangkan sebagai bahasa ilmu. Amat malang bagi kita apabila banyak perbincangan kritikal yang melibatkan Malaysia dibincangkan dalam bahasa asing; tanpa diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu harus dilihat melangkaui alat perpaduan semata-mata; ia bahasa ilmu. Biar lebih ramai lagi orang terlibat dengan perbincangan-perbincangan ilmu; ia akan jadi mangkin untuk masyarakat yang kritikal.
Untuk masyarakat pulak, ‘kepercayaan’ di antara satu sama lain penting untuk menghapuskan prejudis dalam kalangan kaum yang berbeza. Oleh sebab itu kita perlukan lebih banyak perbincangan yang sihat sebelum memberikan apa-apa reaksi terhadap isu yang boleh timbulkan ketegangan kaum. Macam yang orang Malaysia selalu kata; benda boleh bincang, buat apa nak gaduh?
Artikel ini diambil dan disunting daripada artikel Bahasa dan hidup bawah tempurung tulisan YB Nik Nazmi Nik Ahmad, diterbitkan oleh Sinar Harian.