Baru-baru ni, tular sebuah video yang paparkan sekumpulan individu dengan beberapa anggota polis di depan tokong. Sesetengah anggota polis dipukul dengan objek tumpul, ada jugak ditumbuk dan ditendang oleh kumpulan tersebut. Manakala ada jugak yang dibalas kekasaran tu oleh pihak polis, bertujuan untuk mempertahankan diri. Video tersebut buat ramai gusar; adakah mungkin berlaku peristiwa 13 Mei buat kali kedua?
Nasib baiklah takde sesiapa yang cedera teruk, dan takde masuk hospital disebabkan tu. Malah, rata-rata warganet kecam tindakan kasar macam ni dan menuntut penjelasan daripada kedua-dua pihak mengenai perkara tersebut. Nampaknya walaupun sentimen perkauman selalu dimainkan oleh orang politik, tak bermakna ia dapat tempat dalam hati rakyat bila berlaku peristiwa macam ni. Kami jelaskan punca kenapa boleh sampai ada ‘rusuhan’ kat situ..
Semuanya cuma salah faham, ada orang hasut kata pihak polis nak robohkan tokong
Setakat ni, kami tak jelas tentang siapakah pihak yang ‘hasut’ bahawa diorang nak runtuhkan tokong tu. Tokong yang dimaksudkan ialah Tokoh Chee How di Salak Selatan, Kuala Lumpur. Tokong tu takdelah besar sangat, tetapi ada bahagian kecil tanah yang memisahkan tokong dengan SJKC Tai Thung di bahagian selatan. Sebenarnya pihak berkuasa bawa jentolak pun sebab nak buat pagar penghadang di sebelah tokong.
Mengikut foto yang disediakan oleh Malaysiakini, ruangan berpagar tu menghala ke tanah baharu di belakang tokong tu. Tanah tersebut dihasratkan untuk membina satu lagi sekolah menengah kat sana. Berdekatan dengan tokong dan projek pembinaan sekolah baharu tu, terletaknya SJKC Tai Thung. Namun bagi orang yang mungkin tak jelas dengan niat pihak berkuasa, diorang fikirkan nak runtuh satu tokong tu untuk bina jalan masuk menuju ke projek pembinaan sekolah baharu di sebelah belakang.
Menurut peta lakaran Malaysiakini, kita dapat lihat memang takde jalan dah nak ke sana melainkan melalui sebuah jalan kecil di sebelah tokong tu je. Jalan utama pun dah ditutup kerana kerja pembinaan. Jadi nak tak nak, mesin jentolak dan lain-lain akan terpaksa lalu jalan kecil sebelah tokong tersebut.
Malangnya, ia berpagar dan memang dah lama wujud pertikaian tanah di sana antara pihak SJKC dan kerajaan. Namun kita pun kenalah fikir, kerajaan takdelah jahat sangat nak runtuhkan bangunan sekolah mahupun ibadat bukan Islam yang lain. Belum ada kejadian sebegitu berlaku, termasuklah pertikaian tanah antara tapak masjid dan kuil di Tampin baru-baru ni. Tu pun selesai di meja rundingan je.
Rakaman video tu ditularkan oleh anggota tarian singa yang ada kaitan dengan tokong tersebut. Sekarang ni video tu dah tak dapat dikenalpasti lagi sebab dah dipadam. Berkaitan dengan isu ni, pihak tokong dah memohon maaf dan akan tarik semula tuntutan terhadap tanah (jalan kecil berpagar) tersebut dan akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan Kementerian Pendidikan.
“Kami dengan rasa amat kesal dan memohon maaf berhubung kekeliruan dan kontroversi yang timbul dari insiden itu. Kami akan menyerahkan kunci pagar yang berdekatan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Kementerian Pendidikan agar mereka dapat melakukan kerja-kerja pembinaan yang sewajarnya,”- pihak pengurusan tokong, seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Semuanya kerana salah faham, ada masalah dengan urusan tuntutan tanah antara SJKC manakala kerajaan pun gagal berkomunikasi dengan baik
Sebelum niat nak bangunkan sekolah berdekatan dengan SJKC, tanah kosong kat belakang tu dijadikan sebagai laluan utama untuk guru dan pelajar. Tetapi bila dah ada pelan kerajaan nak bina sekolah di situ sejak beberapa tahun lalu, diorang terpaksa guna laluan masuk belakang yang lebih sempit. Sekolah tu pun sebenarnya dah lama memohon pemilikan tanah dengan kerajaan sejak akhir 1990-an, dan selama tu jugak, ia memang dah lama jadi laluan masuk utama ke sekolah.
Pertikaian untuk pemilikan tanah terhenti pada 2015, apabila Kementerian Pendidikan dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan benarkan sekolah menduduki 2.607 ekar tanah rizab kerajaan secara percuma. Korang boleh tengok semula peta, yang mana ia ditandakan #6 untuk rujukan kefahaman korang. Tetapi ada terma dan syaratnya; Malaysiakini dakwa diorang dah lihat persetujuan bertulis antara sekolah dengan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada 2015. Dalam surat tu, ada dinyatakan bahawa sekolah kena serahkan semula tanah tersebut tanpa pampasan apabila kerajaan perlukannya semula.
Pada 2017, bagaimanapun, tiba-tiba kerajaan batalkan persetujuan dan tuntut balik tanah tersebut bagi membina sebuah sekolah baharu. Hal ni lah yang menyukarkan keadaan, iaitu kerajaan jugak gagal berkomunikasi dengan baik dengan pihak SJKC. Sejak tu jugaklah, SJKC Tai Thung jalankan kempen untuk yakinkan kerajaan benarkan diorang terus duduki tanah tersebut. Terutamanya untuk laluan masuk utama tu, SJKC dah lama merayu dengan kerajaan agar benarkan diorang miliki kawasan tu untuk memudahkan pelajar dan guru SJKC.
“Perkara ini berlanjutan sehingga 6 Mei lalu, apabila pejabat tanah tiba-tiba menghantar surat meminta kami mengosongkan tanah itu dalam masa 14 hari,”- Lim Teong Kwee, pengerusi lembaga sekolah, seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Tentulah perkara ni tambah menyulitkan keadaan. Dah tunggu rayuan dapat jawapan, tiba-tiba surat pengosongan kawasan pulak yang diorang terima. Bagi Lim, kerajaan tak patut tutup laluan masuk utama sehinggalah perkara ni selesai demi keselamatan pelajar dan guru. Buat masa ni, diorang gunakan pintu kecemasan untuk masuk ke sekolah, yang tak sesuai untuk jangka masa panjang.
Mengikut kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Dr. Mah Hang Soon pulak, Kementerian Pendidikan memperlihatkan bahawa kerajaan takde niat nak robohkan keseluruhan SJKC pulak. Katanya, dia percaya tanah di sebelah SJKC Tai Thung dan Tokong Chee How adalah lokasi paling strategik untuk bina sekolah menengah baharu yang akan beri manfaat kepada penduduk setempat, khususnya komuniti flat kos rendah.
Tanah yang dipertikaikan dan dituntut semula dalam kes ni adalah kawasan tempat letak kereta, pintu masuk utama dan gelanggang bola keranjang. Setakat ni, SJKC Tai Thung dah belanjakan RM700,000 untuk membina kemudahan sekolah tersebut. Sementara kami turut tak dapat mengesahkan sejauh mana isu tuntutan tanah mempengaruhi pihak pengurusan tokong dan komuniti penganut kat sana, ni sedikit sebanyak membenihkan salah faham bahawa kerajaan nak robohkan salah satu daripadanya.
Timbalan Menteri Pendidikan hargai usaha pihak tokong nak pulihkan keadaan, pertemuan baharu diadakan
Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Son kata usaha presiden Tokong Chee How, Yap Chee Fong yang memohon maaf dan jelaskan situasi tu kepadanya. Dalam satu kenyataan hari ni, Mah kata pertemuan dah diadakan antara kementerian, Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan, serta pihak-pihak yang terlibat untuk jelaskan pembinaan sekolah menengah baharu di sebelah tokong tersebut.
“Kejadian yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan polemik dan provokasi, diputar belit dengan fakta sebenar. Oleh itu, berdasarkan kenyataan dari Yap sebagai presiden tokong, saya menggesa supaya semua pihak untuk melihat kejadian ini secara menyeluruh dan rasional untuk kesejahteraan semua.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tokong yang berjanji untuk menyerahkan kunci pagar dan tanah itu kepada Pejabat Tanah dan Galian dan Kementerian Pendidikan kerana meneruskan kerja-kerja,”-seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Yang menjadi persoalan kami pasal tokong tu pulak adalah, apakah pihak kerajaan tak berurusan dahulu dengan pihak pengurusan tokong bagi memudahkan jentolak masuk ke kawasan pembinaan di belakang diorang? Apakah mungkin sekali, pihak tokong sendiri tak diperincikan tentang hal ni, ataupun pertikaian tanah SJKC tu? Salah faham sebegini memberi tanda bahawa kerajaan perlu menjadi lebih proaktif dalam urusan komunikasi bersama pihak-pihak terlibat.
Walau bagaimanapun, kami lega masalah ni dah selesai dan dah dapat perhatian umum. Bila dah dapat perhatian umum, kita jugak dapat mengikuti perkembangan isu tersebut dan boleh menuntut agar ia diselesaikan dengan baik. Bagi SJKC, masalah utamanya adalah pasal laluan utama masuk yang mudahkan pergerakan guru dan pelajar. Bagi kerajaan pulak, diorang nak ruangan yang lebih luas untuk bina sekolah. Bagi tokong pulak, laluan kecil tersebut kini akan jadi laluan jentolak keluar masuk.