Hubungan Malaysia dan Indonesia lebih dari sekadar sejarah, bahasa, budaya dan makanan. Kita jugak berkongsi tenaga kerja, dari peringkat tinggi hinggalah ke peringkat domestik seperti tenaga kerja amah. Amah ni penting jugak, ditambah lagi dengan keadaan sosioekonomi yang menuntut keluarga majikan agar keluar bekerja meninggalkan anak diorang. Namun begitu dengan peranan amah ni yang amat penting, diorang tuntut gaji minimum diorang dinaikkan. Tuntutan ni jugak disokong oleh Indonesia sendiri, jadi apa reaksi Malaysia tentang isu ni?
Kementerian Sumber Manusia Malaysia sahkan terima tuntutan, beberapa inisiatif diwujudkan sebagai perlindungan
Kementerian Sumber Manusia pada 8 Disember tahun lalu sahkan dah terima permohonan untuk tingkatkan gaji minimum pekerja asing kepada RM1,500. Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan kata permohonan ni dikemukakan oleh rakan sejawatannya dari Indonesia, Ida Fauziyah dalam satu pertemuan di Jakarta.
Bagaimanapun, pihak Malaysia cadangkan gaji minimum pekerja asing ditetapkan bermula dari RM1,200 tanpa sebarang had diletakkan. Dalam masa yang sama, Malaysia tak jugak halang mana-mana syarikat atau majikan tawarkan gaji lebih kepada pekerja asing.
“Satu isu yang dibangkitkan ialah Indonesia memohon gaji minimum RM1,500 tapi saya telah mencadangkan kita tidak boleh menetapkan gaji minimum RM1,500 sebab kita masih kuat kuasa gaji (minimum) RM1,200… saya bersetuju gaji bermula RM1,200,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
Kata Saravanan lagi, apabila memorandum persefahaman (MoU) ditandangani kedua-dua negara pada bulan ni; bukan je pembantu rumah, bahkan para pekerja di sektor lain juga dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia. Memorandum persepakatan Malaysia-Indonesia ni turut memperlihat banyak inisiatif dijalankan bagi melindungi pekerja Indonesia di Malaysia. Contoh inisiatif terkini adalah pelancaran Pelan Tindakan Nasional dalam membanteras Buruh Paksa 2021-2025 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Salah satu Matlamat Strategik dalam Pelan Tindakan jugak adalah berkaitan Pengurusan Migrasi. Ia bertujuan untuk tambahbaik tadbir urus dan pengurusan pekerja asing di Malaysia secara keseluruhan. Selain tu, pengenalan e-Wages jugak dilaksanakan untuk pantau pembayaran gaji pekerja. Diorang jugak berusaha tambah baik tempat penginapan pekerja termasuk pekerja asing menerusi pelaksanaan Centralised Labour Quarters (CLQ).
Aplikasi Working for Workers dah dilancarkan pada 3 Mei 2021, membolehkan semua pekerja termasuk pekerja warga asing untuk suarakan aduan tanpa perlu hadir secara fizikal ke Pejabat Tenaga Kerja.
Sehingga 5 Oktober 2021, jumlah aduan yang diterima dalam aplikasi tersebut adalah sebanyak 12,132 kes. Aduan utamanya termasuklah gaji tak dibayar, pembayaran gaji lewat serta potongan gaji tak ikut undang-undang.
Indonesia kerap cadangkan kenaikan gaji sejak 2012, nak ikut paras Singapura ke?
Tahun lalu, Indonesia minta Malaysia naikkan gaji minimum amah Indonesia tu ke RM1,500. Namun sebenarnya sejak beberapa tahun lalu, dah banyak kali Indonesia minta naikkan gaji. Pada 2012, Indonesia pernah desak naikkan gaji bulanan pembantu rumah daripada RM500 kepada RM800. Kemudian pada 2015 pulak, kerajaan Indonesia usulkan lagi supaya gaji dinaikkan daripada RM700 tu kepada RM1,200.
Ketika ni, Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) pertikaikan tindakan Indonesia yang cuba tetapkan gaji pembantu rumah kerana menganggap kadar tu terlalu tinggi dan tak setaraf dengan status pekerja yang tak terlatih. Presidennya, Engku Fauzi Engku Mohsin kata, jumlah ni terlalu tinggi sedangkan gaji minimum untuk semua jenis pekerjaan bagi warganegaranya sendiri adalah RM900 sebulan.
“Jumlah tersebut tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan. Disamping majikan juga menyediakan bilik, makanan dan keperluan lain untuk pembantu rumah itu.
‘Kebanyakan pembantu rumah ini, juga tidak terlatih, malahan majikan terpaksa mengambil inisiatif untuk melatih mereka menggunakan pelbagai peralatan elektrik,”- seperti yang dilaporkan Benarnews
Sekarang pada tahun 2021, diorang desak lagi nak tinggikan gaji minimum sebanyak RM1,500 dah. Sekiranya Malaysia luluskan syarat ni, ni akan jadi kali ketiga Indonesia berjaya mendesak agar gaji untuk tenaga kerjanya ditinggikan. Malaysiakini melaporkan pada 12 Januari 2022, pembantu rumah Indonesia daripada pelbagai negara termasuk Malaysia tampil bersama dalam ‘kempen ketuk periuk’ untuk memperjuangkan perlindungan kerja yang lebih baik. Diorang rakam gambar ketukan 18 kali sebagai tanda kehampaan pada Rang Undang-undang (RUU) Perlindungan Pekerja Rumah Tangga yang tersangkut 18 tahun di parlimen Indonesia.
Antara RUU tu adalah pekerjaan pembantu rumah diiktiraf sebagai pekerjaan rasmi. Jika ia diluluskan di Indonesia, ia akan memberikan kelebihan buat diorang untuk perjuangkan perkara sama di luar negara. Di Malaysia sendiri, pembantu rumah tak diiktiraf sebagai pekerjaan rasmi bawah Akta Kerja 1955, lalu seringkali dapat gaji lebih rendah daripada gaji minimum RM1,200.
Sementara di Singapura, gaji amah dah naik ke RM1,700 pada 2015. Tetapi untuk perbandingan, hampir semua pekerja tempatan di Singapura akan menerima gaji sekurangnya RM4,332 pada 2023. Setakat ni, diorang dah semak semula gaji minimum pekerja sejak Ogos lalu iaitu sebanyak RM4,320. Berlainan pulak dengan pekerja tempatan di Malaysia, yang masih lagi pada gaji minimum RM1,200.